FahriDALAM perjalanan menghantar Arianna, aku cuba mengambil kesempatan untuk bertanya lebih lanjut tentang hubungan antara dia dan tunangnya. Tambahan pula, aku melihat sendiri reaksi Arianna sewaktu berdepan dengan tunangnya tadi. Pelik!
"Arianna..." Dia pantas menoleh memandangku.
Aku mengulum senyum. Aku sudah dapat menghafal tindak balasnya setiap kali aku memanggil namanya. Pasti begitu.
"Kalau saya tanya sikit, boleh?" Dia mengangkat kening.
"Awak dengan tunang awak..." Aku terdiam.
Perlukah aku teruskan? Ketara sangat yang aku sedang sibuk mencampuri urusan peribadinya. Nanti, apa pula yang dia fikirkan.
"Kenapa?" soalnya apabila aku terus mendiamkan diri. Aku tersengih. Macam mana nak mulakan ni?
"Tak, cuma saya rasa pelik tengok awak dengan tunang awak tadi." Terkerut dahinya memandang aku. Aku menelan air liur. Dah tersalah cakap ke apa aku ni?
"Pelik? Ye, ke?" soalnya pula. Aku mengiakan.
"Pelik macam mana, eh? Saya rasa biasa, je." Aku mengetap bibir. Biasa dia kata?
"Awak memang macam tu eh dengan tunang awak?" Aku teruskan bertanya.
Dia mengangguk sambil mengembungkan pipinya. Eh, comel je dia buat macam tu. Geram pulak aku!
"Kenapa awak tanya?" Alamak, nak bagi jawapan apa ye?
Ha, gatal lagi masuk campur urusan peribadi orang. Aku menggaru pelipisku. Mencari jawapan sesuai.
"Taklah. Saya pelik je tengok awak dengan tunang awak tu..." kataku terhenti di situ kerana Arianna tiba-tiba menyampuk.
"Panggil dia Adam je." Aku terpinga-pinga. Tak faham. Seolah mengerti, Arianna menerangkan padaku.
"Tak perlulah asyik mention tunang-tunang tu. Nama dia Adam."
Ha, nampak! Dia macam tak mahu aku ingatkan dia tentang tunang dia, kan?
"Okey," jawabku dan menyambung semula kata-kataku sebentar tadi.
"Saya pelik tengok awak dengan Adam. Sebab, biasanya mana-mana perempuan kalau nampak tunang dorang, dia punya happy tu, memang tak payah nak cakaplah macam mana, kan? Lagi-lagi kalau dalam keadaan macam awak sekarang ni. Tapi tadi, saya tengok awak bila nampak Adam, macam tak selesa. Ke, saya je yang salah faham?" Aku memandang ke sisiku. Dia, hanya menundukkan wajah sambil bermain dengan jari-jemarinya.
Adakah, dia tidak selesa dengan soalan aku tadi? Aduh, aku dah melampaui had agaknya. Hubungan kami, baru sahaja nak baik, aku pula tiba-tiba ajukan soalan peribadi macam ni. Ada ke patut?
"Hurmm, tak apalah Arianna. Lupakan jelah apa yang saya dah cakap tadi. Sorry kalau saya dah menyinggung perasaan awak." Arianna tiba-tiba menoleh memandangku.
"Betul ke, Fahri? Nampak sangat ke yang saya ni tak selesa dengan Abang Adam, tu?" Aku terkesima.
Ada dua benda yang buat aku terkesima.
Pertama, dia tahu nama aku? Dari dalam klinik tadi aku tertanya-tanya. Tapi, mustahillah aku tanyakan padanya sekarang kan. Tak sesuai.
Kedua, kerana aku perlu bergelut memikirkan jawapan untuk soalannya itu. Tapi, belum apa-apa, Arianna menyambung lagi.
"Entahlah, Fahri. Saya tak tahulah mana silapnya. Dah hampir dua bulan. Selama itulah saya berusaha untuk terima dia. Tapi..." kata-katanya itu segera mengingatkan aku akan perbualan aku dengan Wan tempoh hari. Benarkah, Arianna tidak menyintai, Adam?
"Maksud awak? Awak tak cintakan Adam?" soalku tanpa berselindung. Arianna mengangguk lemah.
Kejamkah aku, kalau aku katakan saat ini hatiku sedang berbunga riang? Merasakan, terselitnya sebuah harapan untuk aku dan dia? Akan wujudkah ruang untuk aku dan dia bersatu?
"Kalau macam tu, macam mana awak dengan Adam boleh bertunang?" soalku semakin ingin tahu.
Arianna hanya mengangkat kedua belah bahunya dan melepaskan keluhan.
"Sebenarnya, Abang Adam tu bekas abang ipar saya. Baru-baru ni, kakak saya meninggal dunia. Jadi, sekarang..." Arianna diam. Tapi, aku faham apa yang ingin dia sampaikan.
"Tapi, kenapa awak tak menolak?" Dia memalingkan wajah memandang ke luar tingkap. Aku menjadi semakin tidak keruan di sebelahnya. Hatiku menjadi gelisah. Dia tidak gembira dengan pertunangan ini. Aku perlu berbuat sesuatu.
"Saya dah bersetuju, Fahri. Jadi, saya harus belajar untuk terima dia dalam hidup saya." Serta-merta azam yang aku bina tadi berderai sekelip mata.
Jantungku bagai berhenti berdegup. Dia nekad untuk belajar menerima Adam?
Atau sebenarnya Adam sudah mendapat tempat dalam hatinya?
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...