Arianna
PAGI minggu, awal-awal lagi Abang Adam sudah berada di rumahku. Raysha awal-awal lagi sudah bangun, mandi dan bersiap cantik-cantik untuk bertemu papanya. Malam semalam, seawal jam sembilan malam , Raysha sudah sibuk menggesa aku supaya masuk tidur bersamanya.
Katanya, pagi esok dia mahu bangun awal, kerana papanya mahu datang dan dia sangat teruja dengan hal itu.
Pagi ini, kegembiraan Raysha berganda kerana papanya ingin membawanya keluar bersiar-siar. Sewaktu dia diberitahu tadi, dia sudah melonjak-lonjak gembira sehinggakan sarapan paginya pun tidak dihiraukan lagi. Aku, turut sama merasakan kegembiraan si anak kecil itu.
"Tapi, Adam ingat nak bawa Yana sekali," suapanku semerta terhenti. Kenapa pula aku nak dibawanya sekali?
"Itupun, kalau mak dan ayah izinkan," sambung Abang Adam lagi.
Amboi, bukan main minta-minta izin nak bawa anak dara orang keluar. Aku memandang emak dan ayah silih berganti.
Emak hanya tersenyum lebar. Ayah pula, hanya diam dan memandang aku. Kalau sudah begini situasinya, ada baiknya aku yang bagi jawapan.
"Eemm... hari ni Yana ingat malas nak keluar. Nak duduk rumah, nak rehat." Lega apabila berjaya memberikan alasan. Lagipun, tiada kepentingan untuk aku bersetuju. Aku meneruskan lagi suapan.
"Oh ye ke. Kalau macam tu..." Aku rasa Abang Adam sudah mahu membatalkan niatnya yang mahu membawaku sekali sebelum emak mencelah tiba-tiba.
"Alah, Yana. Pergilah kejap. Temankan Abang Adam. Boleh tengok-tengokan Raysha sekali. Abang Adam kau ni mana pandai nak uruskan Raysha tu." Eh, emak ini.
Ayat langsung tidak bertapis. Kecil hati pula Abang Adam tu nanti. Semerta aku memandang Abang Adam.
Tapi, dia tersengih pula seakan mengakui kata-kata emak itu. Aku mula serba salah.
Alahai, macam mana ni? Aku tidak biasalah keluar berdua dengan mana-mana lelaki. Ya, Abang Adam itu adalah bekas iparku, tapi mana pernah aku keluar berdua dengan dia. Kekok!
"Tak apalah. Kalau Yana penat biar abang keluar berdua jelah dengan Raysha."
Aku memandang Abang Adam sekilas. Terbit pula perasaan kasihan. Lagipun, apa yang emak katakan itu benar.
Abang Adam tidak biasa menguruskan Raysha sendiri. Selama ini, dia hanya sibuk bekerja. Arwah kakak yang uruskan semuanya. Kalau jadi apa-apa pada Raysha, aku jugak yang akan rasa bersalah. Alah, tak sukalah perasaan macam ini.
"Okeylah, Yana ikut," kataku lemah.
Namun aku lihat, semua yang berada di meja makan itu tersenyum. Senang hati mungkin. Risau agaknya nak melepaskan Abang Adam berdua dengan Raysha.
Hurmm....
***
KAMI ke KLCC. Semasa melihatkan bangunan berkembar itu dari luar, Raysha sudah tidak sabar mahu menjelajah ke dalam.
Bising mulutnya bertanyakan itu dan ini. Masuk sahaja, matanya sudah meliar. Terlopong mulutnya melihat keadaan di dalam.
Aku yang memimpin tangannya juga terpaksa berhenti apabila dia banyak kali berhenti dan melihat sesuatu. Pasti dia sangat teruja melihat sesuatu yang baru untuknya.
Pertama sekali Abang Adam membawa kami ke taman permainan. Aku melepaskan Raysha namun sentiasa mengawasinya. Pada mulanya, aku lihat Abang Adam seolah hilang arah. Dia seperti tidak tahu mahu berbuat apa. Sampailah Raysha mendekatinya dan menarik tangannya untuk turut bermain bersama, perlahan-lahan aku lihat akhirnya Abang Adam sudah semakin selesa.
Selepas itu, kami ke kolam mandi yang ada tersedia di situ. Aku menukarkan baju Raysha. Dia sudah melompat-lompat tidak sabar untuk masuk ke dalam air. Selesai sahaja menukar baju, terus sahaja Raysha berlari masuk ke dalam kolam mandi tersebut.
Mujur Abang Adam sudah bersedia awal. Laju juga dia mengikuti Raysha dari belakang. Sementara itu, aku hanya memerhati dua beranak itu di kerusi yang telah tersedia.
Abang Adam meninggalkan Raysha bermain air seorang diri apabila melihat dia sudah selesa dan duduk disebelahku. Kami sama-sama memerhatikan Raysha yang kelihatan gembira bermain air, apatah lagi dia juga sudah mendapat kawan. Apabila duduk berdua dengan Abang Adam, aku jadi kelu untuk berkata. Jenuh aku berfikir untuk memulakan perbualan.
Tiba-tiba teringat soal perkahwinan Abang Adam yang dikatakan emak tempoh hari.
"Hari tu, mak cakap kat Yana, Abang Adam dah nak kahwin. Betul ke?" Aku memulakan bicara. Abang Adam tersentak sedikit. Tidak selesa agaknya apabila aku mengungkit akan hal peribadinya.
"Entahlah Yana. Abang belum confirm lagi. Kalau pihak perempuan setuju, jadilah kot," jawabnya bersahaja.
"La, belum confirm lagi, ke? Masa mak bercerita tempoh hari, macam esok lusa je Abang Adam nak kahwin." Abang Adam tertawa.
"Kalau cepat pihak perempuan bagi jawapan, esok lusa pun abang boleh kahwin." Eh, macam tu pulak.
"Betul ke Abang Adam rasa dia calon yang sesuai?" Abang Adam mengangguk.
Yakin sungguh!
"Kalau macam tu, tunggu apa lagi? Parents dia tak suka dengan Abang Adam ke?" Amboi, sempat pula nak mengorek rahsia orang aku ni pun. Abang Adam tertawa lagi. Apa yang kelakar, aku pun tidak tahu.
"Kalau parents dia, memang tak ada halangan. Cuma, nak tunggu tuan punya badan bagi lampu hijau. Kalau dah dapat lampu hijau, barulah boleh siapkan semuanya."
Ooo... nak tunggu tuan badan bagi lampu hijau. Kalau macam itu, aku rasa tidak lama lagilah Raysha akan dapat mama baru. Mustahil perempuan itu mahu bertangguh lama-lama untuk bersatu dengan kekasih hati.
Tapi, pelik juga, kan? Entah bila masa Abang Adam berkenalan dan bercinta. Nak kenal hati budi lagi. Bukankah terlalu singkat masa yang diambil untuk membuat keputusan sebesar ini?
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...