Bab:7 ☑

5.4K 178 6
                                    


PAGI minggu, kami sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran Abang Adam ke rumah.

Itulah buat pertama kalinya sejak pemergian kakak, kami dapat melihat Abang Adam semula.

Dia sudah berpakaian kemas! Wajahnya juga sudah semakin bersih. Sudah kembali seperti asalnya semula. Tapi, apa yang lebih penting apabila dia sudah mula merindukan puterinya yang comel itu.

Baguslah begitu. Kasihan Raysha! Sudah agak lama dia memendam rasa rindu terhadap papanya. Sudahlah dia baru kehilangan mamanya, tiba-tiba papanya juga tidak lagi peduli tentang dirinya. Mujur ada emak, ayah dan juga aku yang dapat memberikannya kasih sayang. Sekurang-kurangnya, tidaklah dia rasa tersisih atau tidak lagi disayangi.

Pagi itu, semasa Abang Adam sampai, Raysha masih lagi sedang tidur. Kerana, waktu itu belum pun lagi jam lapan pagi. Awal betul Abang Adam sampai. Sampai sahaja, dia meminta untuk bertemu terus dengan Raysha. Walaupun dia tahu Raysha masih sedang tidur.

Kerana kasihan, aku membawa Abang Adam ke bilikku. Selepas membukakan pintu bilik, aku terus sahaja turun semula dan menolong ibu membuat sarapan. Biarlah Abang Adam mencurahkan rasa rindunya tanpa gangguan sesiapa.

"Mana perginya Abang Adam kau?" Emak menyoal tatkala melihat hanya aku seorang sahaja ke dapur. 

"Ada. Dalam bilik Yana. Nak tunggu Raysha bangun," kataku sambil duduk di meja makan.

"Hurmm... rindulah agaknya tu. Dia orang pun dah lama tak jumpa."

Aku menongkat dagu di atas meja makan. Cuba untuk menghitung hari. Sudah lebih sebulan kakak pergi. Jadi, selama itu jugalah Abang Adam mengasingkan diri dari semua orang. Baru hari ini Abang Adam kembali.

"Hei, apa nak jadi anak dara ni!  Pagi-pagi lagi dah termenung." Tersentak aku apabila emak menampar lenganku.

"Dah. Pergi panggil Abang Adam kau tu, ajak makan sama. Panggil ayah sekali." Aku akur.

Sementara aku memanggil Abang Adam dan ayah, emak pula sibuk menghidangkan sarapan pagi.

Sampai sahaja di depan pintu bilik, langkah aku terhenti. Tangan yang pada mulanya mahu memulas tombol pintu kutarik semula.

"Papa dah lama tak tengok Acha. Acha ingat papa dah tak sayang  Acha lagi." Kedengaran rungutan  Raysha. Raysha memang sangat petah berkata-kata walaupun baru berusia dua tahun lebih. Cuma ada juga pelat yang terselit di sana sini.

"Papa saaayaaaaanngg sangat kat Acha. Papa bukan tak nak tengok Acha, tapi papa..." suara Abang Adam tidak kedengaran.

Mungkin diam untuk berfikir dan mencari alasan yang terbaik untuk Raysha.

"Haa...  Acha tahu! Papa sibuk, kan?" Terdengar ketawa kecil dari Abang Adam.

"Wah, pandailah anak papa ni. Siapa yang ajar, ni?" soal Abang Adam.

"Ibulah! Acha selalu tanya papa kat ibu. Ibu kata, papa tengah sibuk. Nanti kalau papa dah tak sibuk, papa akan datang tengok Acha. Betul kan, papa?".

Iya, aku sangat terharu mendengar kata-kata daripada anak sekecil Raysha itu. Betapa mudah dia mempercayai diriku walau sebenarnya itu semua hanyalah sekadar sebuah alasan.

Tanpa menunggu lebih lama, aku membuka pintu bilik. Kelihatan Abang Adam sedang menyikat rambut Raysha yang sudah siap dimandikan.

"Ibuuuu..!" Raysha terus berlari mendekati dan memelukku. Aku terus sahaja duduk untuk menyamakan ketinggian kami.

"Acha sayang ibu. Ibu tak tipu Acha. Tengok tu..." Jari telunjuknya di arahkan ke arah Abang Adam. Aku senyum.

"Acha sayang ibu." Raysha memelukku dan mencium pipiku berkali-kali. Mungkin itu cara untuk dia mengucapkan terima kasih kepadaku kerana tidak putus-putus memberikan harapan bahawa papanya pasti akan datang juga suatu hari nanti.

Pelukan erat dari Raysha menerbitkan perasaan sayu dalam diriku. Aku memandang ke arah Abang Adam yang sedang duduk di birai katil. Dia sedang menyapu matanya. Mungkin menangis atau mungkin juga menyesali perbuatannya kerana mengabaikan satu-satunya ikatan yang tertinggal di antara dirinya dan kakak.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now