AriannaPAGI Isnin itu aku menjadi semakin lesu. Fikiranku semakin serabut. Kini, tinggal cuma kurang dua bulan untuk aku menamatkan zaman gadisku. Namun, aku semakin dapat merasakan bahawa aku tidak mahukan semua ini.
Keserasian antara aku dan Abang Adam juga masih samar. Kalau dahulu, semasa dia bergelar abang iparku, aku masih lagi boleh bertegur sapa, berbual, tersenyum, tapi kini... setelah gelaran itu bertukar, aku semakin tidak dapat menyesuaikan diri.
Petanda apakah ini? Abang Adam semakin rajin berkunjung ke rumah. Tidak kira waktu. Kalau dahulu alasannya hanya Raysha, tapi sekarang tanpa segan silu aku dan Raysha dijadikan alasan. Emak suka, malah terlalu suka akan keadaan itu. Tapi, yang kena berkahwin dengan Abang Adam itu aku! Emak, tidak sedarkah?
Pernah aku tekadkan hati untuk berterus-terang dengan emak, tapi apa alasan terbaik yang boleh aku bagi? Kalau cinta yang menjadi alasan, aku yakin emak pasti akan menyuruh aku untuk terus mencuba. Lagipun, masa masih ada lagi. Alah, emak punya perangai aku sudah hafal sangat. Yang penting, aku turutkan kehendaknya. Apa yang nak jadi belakang hari, tidak langsung diambil peduli. Haih....
Tengah hari itu, aku turun ke kedai makan di tingkat bawah seperti biasa. Lesu langkahku, selesu keadaanku ketika ini. Dalam fikiran masih terus memikirkan segala masalah yang aku sedang hadapi kini. Aduh, serabut sungguh otak aku. Abang Adam, permintaan emak yang bersungguh, dan wajah ayah yang hanya berserah silih berganti dalam fikiranku.
Sedang aku asyik mengelamun, tiba-tiba aku merasakan satu rempuhan yang sangat kuat di badanku. Aku terus terpinga-pinga melihat sekeliling. Seperti baru tersedar dari sebuah mimpi yang panjang. Entah apa yang terjadi, semuanya masih samar. Apa yang pasti, aku kini sudah terduduk di lantai kaki lima bangunan tersebut. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan.
Suasana agak riuh saat ini. Rupanya, bukan aku sahaja yang terduduk di situ, tidak berapa jauh dari aku kelihatan seorang pemuda yang sudah tersungkur. Agaknya, dia yang merempuh aku tadi. Peliknya, semua orang berlari ke arahnya dan mengabaikan aku. Kasihan!
Eh, kejap!
Peragut?
Ya Allah, rupanya pemuda yang merempuh aku tadi adalah peragut. Dia merempuh aku saat percubaan untuk melarikan diri. Patutlah ramai yang mengerumuninya sambil marah-marah. Riuhnya keadaan ketika ini, bagai pasar malam layaknya. Sehingga aku yang ayu sedang bersimpuh di kaki lima ini, tidak langsung menjadi tumpuan. Haha.
Beberapa ketika, aku seperti baru menyedari keadaanku ketika ini. Rasa sakit menjalar di merata badanku. Aku mengurut-urut perlahan bahu sebelah kiri yang dirempuh kuat sebentar tadi. Bukan di situ sahaja, belakang badanku, pinggang dan punggung juga terasa sakit. Mungkin terhentak saat aku terjatuh tadi. Aku berkira-kira untuk bangun sebelum di hampiri seseorang.
"Arianna..." suara itu!
Pantas aku mendongak. Benar telahanku. Fahri sedang melutut dengan sebelah kaki dihadapanku. Aku memandangnya. Cemas wajahnya.
"Awak, okey?" soalnya.
Ah, mengapa dalam ramai-ramai manusia di sini, dia juga yang perasan akan keadaanku ini.
"Arianna, hey Arianna..." Dia melambai-lambai tangan di hadapan mukaku. Mungkin kerana aku hanya diam tidak bereaksi dan hanya memandang dia sedari tadi.
"Saya okey... kot? Terkejut je sikit." Lambat-lambat aku menjawab.
Tiba-tiba Fahri memegang lenganku. Semerta kejadian petang itu terlayar di fikiranku.
"Eh, tak apa. Saya boleh bangun." Aku terkejut dan cuba mengelak dari sentuhannya.
Aku tidak mahu kejadian sama berulang lagi. Aku takut aku akan menjadi lemah seperti sebelum ini. Mendengar suaraku yang kecemasan itu, Fahri cepat-cepat melepaskan tangannya lalu mengubah posisi dan bercangkung dihadapanku.
"Okey, okey... " Fahri mengangkat kedua belah tangannya seolah memberi isyarat supaya aku bertenang.
"... dah lama awak duduk kat sini. Saya ingat awak sakit dan tak boleh nak bangun. Sebab tu saya... " Fahri tidak menghabiskan ayatnya. Tapi aku faham maksudnya. Lama sangat ke aku dah terduduk kat sini?
"So, cuba awak bangun sekarang. Kalau betul awak tak apa-apa, baru saya akan tinggalkan awak." Aku mendongak memandang ke dalam matanya. Begitu juga dengan dirinya.
Tiba-tiba aku merasa sebak. Terasa perit dadaku. Adakah, dia lelaki yang sering menjadi igauan aku ini sedang mengambil berat akan diriku?
Inikah rasanya apabila orang yang kita kasihi mengambil berat tentang kita? Terharu!
Aku memandangnya lagi. Sebak di dada cuba kutahan seboleh mungkin. Fahri mengangkat kening. Isyarat supaya aku bangun sendiri.
"Auchhh..." Oh, sakitnya aku rasakan di kaki kiriku. Baru aku mahu gerakkan sedikit sudah sesakit ini. Terbuntang mata si Fahri mendengar jeritanku.
"Okey, tak?" soalnya cemas.
Aku memandangnya lagi. Mataku mula berkaca-kaca. Air mata yang cuba aku tahan, akhirnya mengalir juga.
"Arianna..." panggil Fahri perlahan. Seperti memujuk nadanya.
"... sakit sangat, ke? Tak boleh bangun?" Mendengar soalannya itu, menambah sebak di dadaku.
Entah mengapa aku harus berperasaan begini. Sedih, apabila baru sekarang Fahri sedar akan kewujudan aku. Mengambil berat akan aku. Fahri, saya dah bertunang. Kenapa sekarang? Kenapa awak semakin kerap hadir dalam hidup saya?
"Arianna, awak okey tak? Jangan menangis macam ni, saya ada, kan?" Fahri mungkin bertambah cemas kerana aku langsung tidak menjawab sebarang soalannya dan hanya menangis sedari tadi.
"Sakit, kaki saya sakit," kataku dalam sisa tangisan. Suaraku juga hampir-hampir tidak terkeluar.
"Macam ni, saya papah awak. Kita pergi klinik dulu. Periksa keadaan awak. Boleh?" Aku menelan liur.
Boleh ke? Tapi, aku memang tak boleh bangun sendiri. Sakit sangat. Aku memandang sekeliling. Tapi, semua orang sibuk menonton drama peragut itu dibelasah dan diikat. Berkerumun orang di situ.
Hurmm... sudahnya aku mengangguk setuju. Debaran itu muncul lagi. Saat dia memeluk pinggang kuerat dan memapah aku masuk ke dalam keretanya. Duduk sahaja di kerusi penumpang, aku terus memegang dadaku.
Sesak!
Kenapa? Hanya dengan Fahri aku merasakan begini?
Kenapa?
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...