SELEPAS sarapan, kami berkumpul di ruang tamu. Walaupun televisyen terpasang, tapi tiada siapa yang memberi perhatian di situ.Abang Adam masih melekat dengan Raysha. Anak kecil itu, sedikit pun tidak mahu berenggang dengan papanya. Dia tahu mungkin bahawa dia akan ditinggalkan lagi dan entah bila pula papanya akan kembali menjenguknya.
"Adam minta maaf emak, ayah. Entahlah, bukan tak ingat dekat Raysha, tapi apa yang dah jadi ni, betul-betul buat saya hilang arah."
Abang Adam memulakan kembali perbualan tadi. Pertanyaan tentang keadaannya saat ini.
"Selama ni, semua arwah yang uruskan. Lagi-lagi kalau bab Raysha. Bila dia dah tak ada..." Kata-kata Abang Adam terhenti di situ. Sugul wajahnya.
"Jangan diikut sangat perasaan tu. Kita semua sayang dekat arwah. Tapi, Allah lebih sayangkan dia," kata ayah.
Abang Adam kulihat menyapu matanya lagi. Hari ini sahaja sudah dua kali aku melihat dia dalam keadaan sebegitu.
"Adam ingat nak minta tolong mak dan ayah. Itu pun kalau tak keberatan." Kami semua memandangnya.
"Kalau tak menyusahkan, saya ingat nak biar Raysha sementara kat sini. Sampai saya dah boleh atur semula hidup ni. Nak tinggalkan kat mama, takut Raysha tak biasa." Mama yang dimaksudkan Abang Adam adalah ibunya sendiri.
"Eh, kenapa pulak susahnya? Emak lagi suka kalau Raysha ada kat sini. Sekurangnya, tak adalah mak ni sunyi. Cuma, kamu tu selalulah datang jenguk dia. Kesian dia rindu." Abang Adam mengangguk berkali-kali. Raysha di atas ribaannya didakap lembut.
"Adam..." Kami semua berpaling kepada ayah.
"Ayah faham apa yang kamu lalui sekarang. Ya, semua ni tak mudah. Tapi ingat, kamu masih ada kami semua dekat sini. Jangan rasa susah sendiri. Ada apa-apa, jangan segan nak minta tolong kat sini. Lagi satu, rumah ni, masih alu-alukan kedatangan kamu. Rumah ni, masih juga rumah kamu. Ikatan antara kita tak habis setakat ni je. Ingat!"
Aku yang mendengar turut merasa tersentuh dengan kata-kata ayah. Aku tahu, Abang Adam memang menantu yang ayah sayang. Apatah lagi dia dapat menerima kakak seadanya. Ayah pasti terhutang budi. Apatah lagi setelah melihat hebatnya kasih sayang yang terbina antara mereka. Ya, ayah memang tidak pernah salah dalam membuat sesuatu keputusan.
"Terima kasih ayah," lirih suara Abang Adam ketika ini. Pasti, dia lebih terharu dari aku.
"Kalau kamu rasa susah nak atur semula hidup kamu, carilah seseorang yang boleh bantu kamu. Bagi pihak ayah, tiada langsung halangannya."
Eh, aku blur sekejap. Apa maksud ayah?
"Cari pengganti arwah." Terkedu aku.
Tak cepat sangat ke? Aku terus melihat Abang Adam. Reaksinya lebih kurang seperti aku juga. Pasti tak percaya.
"Kadang-kadang, untuk melupakan sesuatu yang dah sebati dalam hidup ni, kita kena ada sesuatu yang baru sebagai ganti. Tak semestinya kalau kamu kahwin lain, kamu tak sayang lagi arwah. Tapi, untuk kebahagiaan kamu juga."
Aku menelan air liur. Benarkah perlu begitu?
"Lagi pun, Yani dah pergi. Selamanya... Kamu carilah yang lain. Yang boleh terima kamu dan Raysha. Emak pun tak akan halang."
Perlukah perkara ini dibincangkan? Kakak baru sebulan pergi meninggalkan kami, dan Abang Adam sudah disuruh mencari pengganti. Aku langsung tak setuju. Baguslah kalau Abang Adam terus setia pada kakak. Bukan ada masalah pun. Kenapa perlu nak kahwin lain?
Bolehkah perempuan lain itu menerima Raysha? Menjaga Raysha seperti kakak? Sayangkan Raysha sepenuh jiwa?
Haishh.. Peninglah fikir masalah macam ni. Aku tak setuju! Tapi, penting pula pendapat aku?
Hurmm...
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...