Bab:4 ☑

6K 206 41
                                    


SUDAH lebih dua minggu, keadaan Arianni masih tiada perubahan. Suaminya Adam masih tetap menjadi peneman setia di sisinya. Masih mengharapkan keajaiban. Ingin melihat isteri kesayangannya itu membuka mata dan tersenyum lagi padanya.

"Sayang, abang dah tak tahu nak buat apa lagi. Abang tak berdaya. Separuh nyawa abang macam dah hilang." Adam menggenggam lembut tangan Arianni.

Seandainya bisa, dia tidak mahu melepaskan tangan itu untuk selama-lamanya.

"Bangunlah sayang..." Air mata Adam mengalir lagi.

Tangan isterinya yang digenggam di bawa ke bibir dan dikucup perlahan. Tiba-tiba Adam dikejutkan dengan gerakan jari isterinya yang berada dalam genggamannya itu.

Diamati keadaan isterinya yang terbaring itu. Kelihatan bibir isterinya terkumat-kamit seakan ingin bersuara.

"Sayang..." Adam cuba memanggil.

Rambut isterinya diusap. Bibir isterinya masih bergerak-gerak, namun tiada suara yang kedengaran.

"Sayang, abang ada kat sini. Bangun sayang..." Adam memanggil lagi. Cuba memberi kekuatan kepada isterinya.

"A... aa... abang..." Akhirnya!

Walau terdengar lemah, sangat lemah suara itu, namun mampu menerbitkan senyuman lebar di bibir Adam. Mata Adam sudah berkaca.

Isterinya sudah sedar!

Inilah masa yang paling ditunggu olehnya.

"Ya sayang. Abang kat sini," sahut Adam teruja.

Saat itu mata isterinya terbuka perlahan-lahan. Wajahnya berkerut seolah menanggung kesakitan yang teramat.

"Abang..." Mata mereka bertaut. Adam tersenyum. Gembira sungguh dia rasakan.

"Alhamdulillah! Akhirnya sayang bangun juga. Lama abang tunggu..." Belum habis Adam berkata, isterinya mencelah dalam kepayahan.

"Yani sakit! Sakit bang!" Tersekat-sekat suaranya. Adam mula merasa cuak. Risau akan keadaan isterinya.

"Tunggu abang panggilkan doktor. Sabar sayang." Pemergian Adam ditegah isterinya. Malah, dia menarik Adam supaya lebih mendekatinya.

"Yani dah tak mampu nak tahan, bang. Yani, dah tak ada masa lagi." Adam sudah mula merasa tidak sedap hati.

"Jangan cakap macam tu, sayang. Sayang kena kuat!" Adam tahu, dia harus memberi kekuatan untuk isterinya, namun dia sendiri merasa lemah saat ini. Melihat keadaan isterinya begitu, hatinya bagai disayat.

"Janji dengan Yani. Jaga Raysha baik-baik. Yani sayang dia." Suara isterinya makin lemah.

Adam semakin cemas. Punat khas di tepi katil itu ditekan lagi. Sudah berkali-kali dia menekan dengan harapan doktor segera datang dan menyelamatkan isteriya.

"Janji dengan Yani, bang!" pinta isterinya lagi. Adam mengangguk sambil air matanya sudah laju mengalir. Dia tidak mampu. Sungguh, dia belum sedia untuk kehilangan isterinya itu.

"Mengucap sayang, mengucap." Adam membisikkan dua kalimah syahadah ke telinga isterinya.

Teresak-esak dia saat itu. Tidak lama, doktor tiba bersama beberapa orang jururawat. Mereka memeriksa keadaan Arianni. Saat itu, tangan Arianni yang berada dalam genggaman Adam terlepas.

"Encik Adam..." Doktor memegang bahu Adam. Mata mereka saling bertatapan.

"Maafkan saya..." kata doktor tersebut sambil menggelengkan kepala. Adam semerta terduduk. Doktor itu cuba untuk memautnya, namun dia lebih dahulu terjatuh ke lantai.

Adam menangis. Namun, tiada suara yang terkeluar. Hanya air matanya sahaja yang mengalir laju. Adam cuma memandang kosong ke arah jururawat yang menyelimuti jenazah isterinya.

Serentak itu juga pintu wad kelas satu itu dibuka. Arianna berdiri di muka pintu dan dia terhenti hanya di situ. Tidak mampu lagi melangkah saat melihat kakaknya diselimuti begitu.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now