FAHRI terus membawa Arianna ke rumah Mak Ngah. Alang-alang sudah di sini, tidak manis pula rasanya jika tidak singgah sebentar.
Arianna, selepas di pusara tadi, dia banyak termenung pula. Entah apa yang dia fikirkan.
Fahri hanya membiarkan sahaja. Mahu melihat dahulu perkembangan Arianna setelah di bawa ke pusara anak mereka sebentar tadi.
Sekarang pula, mereka sudah sampai di rumah Mak Ngah. Besar harapan Fahri, agar Arianna akan kembali seperti semula.
"Honey, jom!" Arianna terpinga-pinga.
Sah, dia pasti hanyut dengan lamunannya sepanjang perjalanan tadi.
"Kita singgah dulu rumah Mak Ngah. Tak baik, kita dah sampai sini. Apa kata Mak Ngah nanti."
Arianna gigit bibir bawahnya. Tangannya diramas.
Fahri terus genggam tangan Arianna yang sedang sibuk diramasnya itu.
"Jom..." pujuk Fahri lagi.
Arianna tetap juga diam. Dia pandang Fahri... sekejap sahaja kemudian dia alihkan pula pandangan, memandang tangan mereka yang sedang bersatu.
Dalam masa yang sama, terlihat Mak Ngah yang sedang menuruni tangga. Terkocoh-kocoh Mak Ngah berjalan menghampiri kereta.
Mak Ngah merasa sangat gembira. Dia rindukan Arianna. Dia mahu memeluk Arianna. Tapi, Mak Ngah juga sedar... Arianna yang berada di dalam kereta itu bukan Arianna yang sering bersamanya dulu.
Mak Ngah sengaja, pergi terus mendapatkan Arianna. Biar dia tidak boleh lagi mengasingkan diri. Biar dia tidak sempat lagi, mahu melarikan diri.
Arianna pandang Mak Ngah yang semakin menghampiri. Serta-merta perasaannya bertukar sebak.
Wanita itulah yang sentiasa ada bersamanya, saat dia tenggelam di lautan sepi. Bersendiri di tempat yang asing ini.
Sehingga, dia sedikit pun tidak merasa janggal untuk hidup di tempat yang dia tidak punya sesiapa. Kerana, Mak Ngah telah melengkapkan segalanya. Sehingga dia selesa, seolah berada di rumahnya sendiri.
Lalu, pintu kereta dibuka. Walau masih kekok langkahnya, namun dia tetap teruskan...
Mak Ngah terus sahaja memeluk Arianna... mesra.
"Allah, rindunya Mak Ngah dengan Yana."
Arianna cuba mengukir senyuman, namun terasa ganjil senyumannya itu. Fahri mendekati, terus memaut bahu Arianna yang sudah terlepas dari pelukan Mak Ngah.
"Naiklah dulu. Mesti penat, kan?" pelawa Mak Ngah.
Fahri mendorong Arianna supaya bersama melangkah menuju ke rumah Mak Ngah. Berat langkah Arianna, namun dia tetap akur.
Sampai di muka pintu, Pak Ngah pula menyambut kedatangan mereka. Fahri dan Pak Ngah berpelukan dan bertanya khabar.
Sementara itu, Arianna terpandangkan pangkin tempat biasa dia menghabiskan masa sepanjang dia berada di sini tempoh hari. Langsung, dia mengatur langkah menuju ke pangkin tersebut.
Arianna gigit bibir bawahnya. Perutnya, diusap perlahan. Di sini, adalah tempat di mana dia sentiasa bersama bayinya. Sepertinya, masih lagi dapat dia rasakan gerakan bayinya.
Ah, dia rindu.
Terlalu rindu.
Dia duduk di tempat biasanya. Mengenang semula kenangan indah saat perutnya sedang membesar.
Ini, tempat dia meluah rasa kepada Mak Ngah. Tempat dia mengadu segala kebimbangan tentang semua perkara baru yang harus ditempuh.
Juga, tempat dia bergelak ketawa dengan acik serta si Nadia, sahabat sejatinya itu.
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...