FahriGELISAH!
Entahlah. Aku sendiri tidak tahu dari mana datangnya keberanian yang mendorong aku melakukan hal seperti tadi. Tidak sangka aku akan seberani itu apabila hanya berdua dengannya dalam keadaan seperti tadi.
Aduh, pasti dia bertambah membenciku sekarang ini. Fahri, apalah bodoh sangat kau ini? Rambutku, aku raup kasar.
Ahh, apa yang sudah merasuk diriku?
Bodoh!
Bodoh!
Niat baik aku awalnya, telah menjadi separah ini. Aku, risaukan dia sebenarnya.
Sungguh!
Sudah lewat, tapi kereta dia masih lagi terpakir di bawah. Bila aku cuba memeriksa, ternyata pintu pejabatnya masih lagi tidak ditutup. Tapi, bila aku masuk ke dalam, keadaan pejabatnya sudah gelap. Ingatkan terjadi sesuatu yang buruk padanya.
Manalah tahu, kalau dia pengsan kerana terlalu penat. Aku maklum, dia sangat sibuk sepanjang minggu ini. Dia bakal bertunang hujung minggu ini. Aku tahu itu dan kerana itu juga, lebih meyakinkan aku yang ada sesuatu terjadi kepadanya. Tapi, rupa-rupanya dia cuma bekerja lebih masa. Kenapa aku langsung tidak terfikir akan hal itu.
Arghhh...
Tapi, bila mana mataku dan matanya bersatu, aku seolah tidak mampu lagi mengawal diriku. Aku seolah-olah sudah dijampi.
Dipukau!
Aku tidak lagi mampu berfikir dalam keadaan waras. Lebih bahaya apabila aku juga turut merasa yang dia dan aku seolah berkongsi perasaan yang sama. Daripada cara dia memandang aku, sepertinya penuh dengan perasaan cinta. Kerana itu, aku menjadi lebih berani. Berani untuk meluahkan segala apa yang telah sangat lama terbuku dalam hati ini.
Tapi...
Kerana hal itu juga, dia sudah tersalah tafsir. Pasti dia fikir aku ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Aduh... macam mana ni? Ada lagikah ruang untuk aku jernihkan semula keadaan?
Perlu ke, Fahri? Bukan lebih baik keadaan ini terus begini? Dia akan jadi tunangan orang! Pandangan dia, walaupun seburuk apa pun terhadap kau, seharusnya tidak lagi menjadi kepentingan untuk kau!
Allah... sakitnya sebuah perasaan. Mengapa saat aku sedang belajar untuk redha yang dia bukan jodoh untukku, hatiku ini menjadi semakin sakit?
Juga tidak rela!
Walau aku sangat sedar, aku bukan yang terbaik untuknya dan aku, bukan lelaki yang layak untuk dia cintai.
'Lepaskan dia, Fahri. Biar dia mencari kebahagiaan dia sendiri.'
Kata hatiku ini, sangat bertentang dengan apa yang aku inginkan. Tapi, kalau itu yang terbaik, mampukah aku melawannya?
Biarlah. Biarlah aku yang menderita. Menanggung segala kesakitan dan keperitan. Biar hanya aku sahaja yang menderita. Asalkan bukan engkau yang akan menderita dan tersiksa bersama denganku.
Sesungguhnya aku lakukan semua ini hanya kerana aku sayang padamu.
Aku... sangat cinta padamu, Arianna.
****
Arianna
HARI yang dijanjikan telah tiba. Janji untuk aku diikat menjadi tunangan, kepada bekas abang iparku sendiri.
Tetamu telah memenuhi ruang tamu di tingkat bawah. Aku pula, masih di dalam bilik. Perasaanku ketika ini?Kosong!
Ya, kosong.
Aku tahu. Sepatutnya, saat ini aku perlu memikirkan Abang Adam, memikirkan betapa bahagianya hidup kami kelak apabila disatukan. Menganyam angan. Merasa bahagia.
Tapi....
Tapi, apa yang ada dalam fikiranku saat ini, hanya Fahri.
Ya, Fahri.
Fahri yang sepatutnya sudah aku lupakan. Malah, aku sepatutnya membenci dirinya. Tindakannya petang itu, masih lagi bebas bermain dalam fikiranku. Hanya dengan mengingatkan sentuhannya pada tanganku, masih lagi mampu mengalirkan renjatan gementar di dadaku.
Aku tahu, semua ini tidak sepatutnya berlaku. Di bawah saat ini, majlis pertunangan aku dan Abang Adam sedang berlangsung, tapi aku pula sedang memikirkan lelaki lain.
Ya Allah, apa kena dengan aku ini?
Kenapa terlalu susah untuk aku membuang dia dari ingatanku? Hapuskan dia dari fikiranku? Lenyapkan dia dari hatiku?Susah!
Sangat susah!
"Arianna..." Emak terjengul di muka pintu.
"Jom turun, nak sarung cincin." Aku hanya diam. Pantulan wajahku di cermin kupandang. Mana seri aku sebagai tunangan orang?
Tiada.
"Cepatlah..." desak emak.
Aku bangun perlahan. Berbelah sungguh hatiku. Untuk meneruskan semua ini atau berhenti setakat ini sahaja.
Aku saat ini sangat ingin mengetahui jawapan dari Fahri. Jawapan dari soalan yang tak mampu aku tanyakan pada hari itu.
Kenapa?
Kenapa dia bertindak begitu padaku?
"Yana..." Emak sudah memegang lenganku. Memimpin aku untuk keluar dari bilik seterusnya turun ke bawah. Ke majlis pertunangan aku.
Langkahku beriringan dengan emak. Tapi fikiranku masih menerawang jauh. Apa agaknya yang mendorong Fahri berkelakuan seperti itu? Tanda tanya yang aku tidak tahu mampukah aku mendapat jawapannya.
"Duduk Yana."
Oh, aku sudah sampai di tingkat bawah. Emak membawaku ke pelamin kecil dan dudukkan aku di situ.
Aku?
Hanya menurut tanpa perasaan.
Sebab?
Perasaan aku tiada di sini. Ianya sudah beterbangan jauh. Di sebelah aku, bakal emak mertuaku tersenyum manis memandangku.
Allah.
Aku seolah baru tersedar dari mimpi yang panjang. Aku melihat sekeliling. Tetamu semua yang mana kebanyakan saudara terdekat aku, juga mungkin saudara sebelah Abang Adam. Tidak ramai, tapi cukup penuh ruang tamu itu. Mata mereka semua tertumpu ke arahku. Ya, kerana akulah watak utama untuk hari ini.
Aku menarik nafas panjang. Kerana asyik memikirkan Fahri, aku seolah terlepas segala apa yang telah berlaku. Tahu-tahu sudah duduk di sebelah bakal mertuaku.
Aku akhirnya mengukir senyuman saat emak mula mengarahkan aku menghulur tangan untuk sesi menyarungkan cincin pertunangan. Senyuman yang entah bgaimanalah rupanya.
Kini... aku sah bergelar tunangan Adam Arman bin Dato' Amran.
Selesai majlis, bila ramai tetamu sudah keluar untuk menjamu selera, aku dapat menangkap susuk Abang Adam.
Eh, dia turut hadir? Dari jauh lagi dia sudah asyik merenung aku. Menambahkan ketidakselesaan aku.
Rupanya, Abang Adam diminta masuk untuk sesi bergambar.
Alamak!
Perlu ke?
Abang Adam segak berbaju melayu sedondon denganku. Aku tidak nafikan yang bekas abang iparku ini opss... bukan. Tapi tunang aku, alahai kekoknya, dia merupakan seorang yang kacak. Sangat! Tapi, entah kenapa aku tidak mampu terpaut padanya.
Semasa sesi bergambar, aku yakin Abang Adam pasti mampu merasai ketidakselesaanku. Mana tidaknya, aku langsung tidak mampu mengikut arahan jurufoto yang ingin merakam aksi yang agak mesra. Aku cuma memberi alasan yang kami baru sekadar bertunang, belum bernikah.
Hurmm... akhirnya, gambar yang diambil hanya biasa-biasa sahaja. Baguslah, ada juga gambar.
Tapi, aku tahu. Masanya sudah sampai untuk aku belajar menerima Abang Adam dalam hidupku.
Tapi, mampukah aku?
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...