AdamKETAKUTAN aku adalah kehilangan orang yang paling aku sayangi. Serasa tidak betah lagi untuk meneruskan kehidupan apabila ianya berlaku. Membayangkan sahaja sudah nembuatkan aku merasa ngilu yang teramat.
Apatah lagi bila aku mengalaminya saat ini. Sudah dua minggu lebih isteri kesayanganku pergi meninggalkanku.
Meninggalkan aku keseorangan untuk selama-lamanya.
Hidupku terasa kosong! Ke mana sahaja mataku memandang, akan hanya terpampang memori sepanjang hidup kami bersama.
Perit!
"Sayang..!" Jeritan itu bergema ke seluruh pelusuk rumah yang sediakala sunyi.
Aku tahu, aku sedar. Jeritan dan raunganku tidak akan mengembalikan isteriku kembali. Namun, hanya itu yang mampu aku lakukan.
Hanya itu!
Aku sungguh tidak berdaya. Lemah segalanya. Fizikal juga mental. Kalau ada yang mampu aku lakukan, asalkan aku mendapat semula isteri kesayanganku, aku pasti akan lakukannya.
"Sayang... abang rindu!" Baju isteriku yang berada dalam genggaman aku cium. Sudah pudar bau yang sebelum ini melekat di situ.
Bau Arianni!
Aku menghidu di setiap penjuru baju tersebut. Mencari-cari bau yang aku mahukan.
Hampa!
Bau kesayanganku... semakin menghilang.
"Arghhhhhhhhh..." Menjerit lagi.
Bagaimana nanti aku mahu meneruskan hidupku. Mula-mula aku kehilangan dirinya. Tubuh yang sentiasa menghangatkanku. Tubuh yang sentiasa membelaiku. Menenangkan jiwa dan memberikan sejuta rasa.
Kemudian kini, aku bakal kehilangan bau yang menjadi pengubat di kala rinduku.
Nanti, apa pula?
Aku akan kehilangan memori kami berdua? Kenangan-kenangan indah? Pahit dan manis?
Adakah?
Benarkah aku benar-benar harus merelakan segalanya berlak? Akan tibakah harinya nanti aku akan benar-bebar mampu melupakan isteri kesayanganku dalam hidupku?
Tidak!
Tak mungkin!
Itu semua tidak mungkin akan terjadi. Aku menangis lagi.
Meratap, meraung. Malam yang sunyi ini, terus sahaja dicemari dengan tangisanku. Tangisan seorang suami yang benar-benar merasakan kehilangan seseorang yang amat beerti dalam hidupnya.
***
Fahri
SUDAH hampir setahun sejak aku memberanikan diri mengirimkan jambangan bunga untuk seseorang yang amat aku cintai.
Aku tahu, pasti akan ada yang mengatakan aku lelaki dayus! Pengecut!
Setahun!
Setahun adalah masa yang agak lama. Aku sedar akan hal itu.
Namun, aku masih lagi selesa begitu tanpa ada niat untuk memajukan lagi langkahku walau setapak ke hadapan. Aku akui, ada ketikanya hatiku memberontak untuk aku luahkan perasaanku terhadapnya.
Tetapi, niatku itu tidak akan kekal lama. Niat itu akan segera mati apabila aku menyedari akan kenyataan yang sebenarnya.
Huh!
Situasi antara kami tidak semudah yang dijangka. Mungkin bagi pasangan lain, andai ada menaruh hati, hanya perlu bersikap berani dan meluahkan rasa. Kemudiannya, terima dengan perasaan redha sama ada jawapannya positif mahu pun sebaliknya.
Selesai!
Tetapi untuk aku dan dirinya, ianya amat berlainan sekali. Semuanya tidak mudah!
Ya, aku akui aku takut! Bukan aku takut andai dia menolak cintaku. Tetapi, aku takut kalau dia membenci diriku selepas mengetahui akan hakikat siapa aku dan siapa pula dirinya. Aku adalah lelaki yang sepatutnya di benci olehnya. Tidak layak untuk dia sayangi jauh sekali mencintai.
Kuatkah hatiku ini, untuk menerima pembencian dari dirinya? Ah, sudah tentu tidak! Aku, lebih rela hidup dalam rahsia sebegini daripada menerima perasaan daripadanya, namun perasaan yang lahir hanyalah perasaan benci.
Untuk melupakan dirinya sahaja aku tidak berdaya. Entah bagaimana, wajahnya telah sedia bermukim dalam lubuk jiwaku yang terdalam. Aku sedar, aku selalu mengharapkan keajaiban bakal berlaku. Setiap kali sujudku, aku tidak pernah sekali pun terlupa untuk mendoakan supaya aku dan dia dipermudahkan untuk bersatu.
Aku tidak kuat untuk selamanya memendam perasaan. Hanya melihatnya dari jauh. Memerhatikannya, mencuri-curi memandangnya. Itu semua merupakan satu penyiksaan untuk diriku. Mungkin sukar untuk dibayangkan. Lelaki yang sepatutnya bersifat gagah dan berani, terpaksa menjadi sebaliknya semata-mata kerana tidak sanggup di benci oleh seseorang yang bertakhta dalam hati.
Penyiksaan sebegitu berterusan setiap hari, setiap saat di mana aku terpaksa berlakon seolah-olah aku lansung tidak punya perasaan terhadapnya saat mata kami bertemu pandang. Seolah-olah, kehadiran dirinya bagaikan lansung tidak memberi kesan, walau sedikit pun terhadapku.
Oh, hanya Engkau yang Maha Mengetahui hakikat sebenar apa yang aku rasa. Apa yang aku ingin. Juga, apa yang aku idamkan.
Hanya Engkau Tuhan.
Berilah kesempatan Ya Allah, pada aku dan dia. Tunjukkanlah jalan yang terbaik untuk kami. Sesungguhnya, aku takut kehilangan dirinya.
Membayangkan yang aku tidak mampu memilikinya kerana dia memilih lelaki lain, terasa terhenti sudah degupan jantungku. Bagaimanalah agaknya, apabila saat itu benar-benar tiba nanti.
Bagaimana?
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...