Bab:40 ☑

4.6K 154 10
                                    


Arianna

BUNYI pintu bilik dibuka mengganggu lenaku. Terpisat-pisat aku membuka mata.

Silau!

Aku memaksa mata berlawan dengan cahaya yang tiba-tiba menerangi ruang bilik. Jenuh aku mengecilkan mata, cuba melihat susuk yang berdiri di muka pintu. Agak sukar, aku terlena dalam tangisan yang panjang tadi. Kepala juga masih sakit akibat terlalu banyak mengeluarkan air mata.

Susuk itu perlahan-lahan semakin menghampiriku.

Terkejut bukan kepalang apabila aku menyedari yang dia adalah seseorang yang paling aku nantikan kemunculannya sepanjang minggu ini. Lebar senyuman terukir di bibir.

Akhirnya... penantianku tidak sia-sia rupanya. Aku agak teruja. Bingkas aku berdiri. Ikutkan hati, aku mahu sahaja berlari ke arahnya dan memeluknya erat.

Aku rindu!

Tapi, kenapa? Tiada segaris senyuman pun di bibirnya. Wajahnya ketat. Pandangan matanya tajam. Ah, hatiku mula berentak cemas. Adakah, semua ini bukan seperti yang aku harapkan? Sudah sampaikah masanya yang aku paling takutkan itu?

Senyuman lebar dibibirku juga terus hilang selepas aku benar-benar disedarkan akan situasi kami ketika ini.

'Bodohnya, Arianna! Apa yang kau harapkan? Ya, dia balik. Tapi, kau tahukah apa tujuannya? Jangan terlalu yakin, parah sakitnya nanti,'
kata hatiku menambah cemas di dalam lubuk hati.

Fahri semakin mendekatiku. Jelas ditangannya terdapat satu sampul surat berukuran agak besar berwarna putih. Dia menghulurkan sampul itu kepadaku. Teragak-agak aku menyambutnya.

"Saya minta maaf." Aku tidak peduli pun akan sampul ditanganku. Aku memandang sayu ke dalam matanya.

"Fahri?" Dia juga memandang dalam ke mataku. Tapi, pandangan matanya itu bukan mudah untuk aku mengerti.

"Apa semua, ni?" soalku bodoh.

Aku tahu apa yang ada dalam sampul itu. Pasti dokumen untuk memisahkan hubungan yang sangat baru terjalin ini.

Aku pasti!

Tapi, aku masih ingin mendengar sendiri dari mulutnya. Alang-alang sakit, biar aku terluka parah. Biar senang untuk aku kenangkan rasa sakit ini supaya aku tidak lagi terbuai dengan kemanisan cinta bertepuk sebelah tangan.

"Saya minta maaf," katanya sekali lagi. Maaf, lagi-lagi maaf. Bukan itu yang aku mahu dengar.

"Tak ada langsung ruang untuk saya dalam hidup awak? Sikit pun?" Aku seolah-olah sangat terdesak. Mengharap kasihku dibalas.

Namun, lain pula yang terjadi. Setelah aku mampu memilikinya, rupanya kepahitan yang teramat menanti di masa hadapan. Bagaimana agaknya aku dapat meneruskan hidupku selepas ini?

Fahri sekadar menggeleng. Menambah kesakitan yang melanda di dadaku. Aku tertunduk.

Cinta, tidak boleh dipaksa! Aku menolak Abang Adam, kerana aku tidak cintakan dia. Sekarang, aku ditolak oleh suamiku sendiri. Kifarah tuhan, agaknya.

Air mata bertakung lagi di kelopak mata. Tadi, baru sahaja aku menangis, kerana tidak tahan dengan kesinisan emak.

Sekarang?

Perlukah aku menangis dihadapannya? Manalah tahu kalau aku menangis dan dia kasihankan aku, dan menarik semula keputusannya? Tapi, mampukah bahagia itu hadir dengan hanya rasa kasihan dan simpati sahaja?

Tidak, aku tidak boleh menjadi kejam hanya kerana dia adalah kebahagiaanku. Kalau dia ingin melepaskan, aku harus redha dilepaskan. Itu yang aku minta, menjadi isterinya hanya untuk sehari, kenapa sekarang aku perlu bersikap tamak?

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now