HANYA tinggal dua minggu untuk mengakhiri tempoh pertunangan antara Adam dan Arianna. Persiapan sudah hampir semuanya disediakan. Tetapi, semakin dekat tarikh perkahwinan, Adam terasa dirinya semakin jauh dari Arianna. Bukannya dia tidak perasan tentang perasaan Arianna padanya.Pada mulanya, sangkanya mungkin Arianna hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Tetapi, sehingga kini Arianna tetap tidak berubah. Di antara mereka berdua langsung tiada wujud kemesraan.
Arianna dingin. Malah semakin hari, semakin dingin. Setiap kali keluar bersama, ada sahaja alasannya supaya dia dihantar pulang awal. Bercakap, hanya pada perkara yang penting sahaja. Nak berbual, macam berbual dengan patung cendana.
Adakala, tertanya juga Adam, adakah Arianna terpaksa menerima hubungan ini? Semakin hari, semakin jelas penolakan dari Arianna. Namun, dia tiada keberanian untuk terus meneka. Dia takut, andai apa yang berada dalam benaknya itu adalah kenyataan sebenar.
Kalaulah Arianna tidak mahu meneruskan semua ini? Oh, tidak! Arianna pasti akan meneruskannya. Dia harus menjadi pengantin perempuan bila tiba harinya nanti. Kalau tidak, sia-sia sahaja semua persiapan yang telah disediakan semua ini. Lagipun, takkan Arianna tergamak menjatuhkan air muka kedua belah keluarga?
***
AriannaDUA minggu? Cepatnya masa berlalu. Aku membelek kelendar. Mengira-ngira sekali lagi. Empat belas hari. Betullah, tinggal dua minggu sahaja lagi. Rumah aku sudah mula bersepah dengan segala persiapan. Walau hakikatnya, akan hanya ada majlis pernikahan, tetapi persiapan yang dibuat, hurmmm....
Aku tahu, emak sangat teruja dengan semua ini. Walaupun, seharian dia mengikut mama Abang Adam membeli-belah untuk persiapan pernikahan, tetapi dia masih lagi tersenyum penuh semangat sepanjang hari.
Aku, serahkan segalanya kepada emak. Perasaan teruja dan bersemangat seperti emak, memang tidak mengalir dalam diri aku. Masa semakin suntuk, tetapi aku masih belum bersiap sedia untuk menjadi seorang isteri kepada Abang Adam.
Dalam masa yang sama, aku turut berperang dengan perasaanku sendiri. Entah mengapa, semua tidak seperti yang aku harapkan. Ingatkan, selepas insiden tempoh hari, hubungan di antara aku dan Fahri akan menjadi lebih baik. Tapi yang terjadi, sebaliknya.
Fahri, masih juga seperti Fahri yang dahulu. Kalau kami terserempak pun, paling tidak, dia hanya akan tersenyum. Puas aku fikirkan tentang sikapnya itu.
Atau, sebenarnya dia begitu kerana status aku. Tunangan orang? Di tambah pula dengan sikap Abang Adam semasa kami terserempak di dalam klinik tempoh hari. Adakah dia risau, kalau hubungan kami bertambah baik, akan memporak-perandakan hubungan di antara aku dan Abang Adam?
Tapi, bukankah dia sudah maklum, aku tidak cintakan Abang Adam? Aku bertunang bukan sepenuhnya di atas kerelaan aku.
Sekejap! Boleh jadi, kerana dia tahu aku tidak cintakan Abang Adam, dia risau untuk rapat dengan aku? Dia takut aku akan jatuh cinta dengan dia dan lari tinggalkan Abang Adam?
Arghhhh, mengarut apa ni, Arianna oi?!
***
Fahri
"TAK fahamlah aku dengan kau ni, Fahri. Peluang dah ada depan mata, kot." Aku membatukan diri.
"Tulah, perangai kau! Orang bercakap, kau buat tak tahu." Wan mula naik angin apabila aku tidak mengendahkannya.
"Habis tu, kau nak aku buat apa?" tanyaku malas.
Keluhan kecil aku lepaskan. Serabut!
"Weh, kau kan dah tahu. Dia bukan suka pun dengan abang ipar dia tu." Wan mengingatkan aku.
"Wan, sudahlah. Dia sendiri yang pilih jalan ni. Lagipun, bukan boleh nak buat apa pun." Wan mencebik.
Bagaimana aku ingin memperjuangkan perasaan aku, sedang dalam masa yang sama aku tahu dia juga sedang berperang dengan perasaannya sendiri? Aku tidak mahu mengambil kesempatan.
"Masalah kau ni, takut nak mencuba. Jap, cuba kau buka fikiran kau, pas tu fikir, agak-agak kau kan, macam mana dia boleh senang nak mengaku perasaan sebenar dia dekat kau, padahal korang baru kenal hari tu?" Aku diam.
"Lagi satu. Dia tak mahu pun tunang dia sendiri papah dia balik. Tapi, dengan kau? Kau tak fikir ke semua, tu?" Aku memicit dahi.
Serabut dengan semua ini. Tidak cukupkah hati dan perasaan aku sudah terdera? Kenapa perlu Wan ingin menambah luka di hati ini?
"Wan, kau tahu aku sayangkan dia. Tapi, buat apa aku bersama dia kalau aku tahu, dia tak akan boleh terima aku. Baik dia hidup dengan Adam. Sekurangnya, Adam akan berusaha untuk bahagiakan dia." Wan menghela nafas kasar.
"Itu kata kau. Ah, lantak kaulah! Aku dah ingatkan. Jangan bila dah terlambat, baru kau nak rasa sesal. Tak guna dah semua tu." Wan berlalu masuk ke biliknya. Meninggalkan aku sendirian meratapi luka yang terus dihiris.
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...