Fahri"ENCIK Fahri, ada orang nak jumpa."
Interkom yang berbunyi aku pandang. Terus aku tekan punat untuk menjawab."Siapa?" Pelik juga. Setahu aku masa ini aku tiada sebarang temu janji.
"Katanya, Encik Adam Arman." Terhenti terus segala kerjaku.
Apa yang dia mahu sehingga ke sini mencari aku?
"Suruh dia masuk," arahku pada Zaida.
Sambil menunggu, aku kemaskan meja kerjaku yang agak berselerak. Entah kenapa, aku mahu kelihatan bagus di mata Adam Arman itu.
Tidak lama, pintu terkuak. Muncul Zaida di muka pintu. Seketika kemudian baru Adam Arman muncul.
Zaida terus sahaja meminta diri. Adam pula, dia tidak terus duduk di kerusi yang terdapat di hadapanku. Tetapi, matanya meliar memerhati ruang kerjaku.
"Boleh tahan," komennya ringkas.
Aku berdiri, sebagai menghormati tetamu. Menunggu penuh sabar tujuan kedatangan Adam ke sini.
Baru sahaja aku berniat mempelawa dia duduk di hadapanku, Adam terlebih dahulu mengambil tempat di sofa yang terletak di ruang kiri pejabatku.
Aku lepaskan keluhan kecil. Mahu tidak mahu aku menuju juga ke arahnya dan duduk di sofa yang bertentangan.
"Ada hal apa sampai ke sini?" soalku terus padanya. Dia pula mempamerkan sebuah senyuman sinis.
"Saja," ujarnya.
Terus-terang, aku tidak selesa dengan kehadirannya ke sini. Entah apa tujuan dan mahunya. Dengan sikapnya yang begitu pula.
Aku cuba mengawal kesabaran. Aku sedar dia sekadar mahu menguji. Tidak mengapa, aku akan ikut rentaknya.
"Aku, dari pejabat Yana tadi." Adam menjeling sekilas padaku.
Aku agak tersentak, namun aku cuba mengawal riak wajah.
Apa lagi mahunya mencari Arianna? Sehingga ke pejabat? Tapi, aku tidak menyoal langsung. Cuba berlagak tenang!
"Macam nilah Fahri. Aku rasa, ada baiknya kau lepaskan Arianna."
Terbuntang mataku. Eh, mudahnya dia mengarahkan begitu.
"Tak ada sebab aku nak kena lepaskan Arianna," tawa sinis Adam kedengaran.
Aku toleh memandang wajahnya. Cuba untuk membaca riaknya, namun gagal!
"Serius? Serius kau memang rasa langsung tak ada sebab?" Soalan Adam mula menggugat ketenteraman jiwaku.
Aku sendiri tidak yakin tika ini. Entah apa yang ada dalam pengetahuannya, hingga seyakin ini dia berdepan denganku!
Mustahil tentang rahsia yang aku simpan rapi itu...
"Kalau kau, tak ada perasaan terhadap Yana... kan lebih baik kalau kau lepaskan dia. Huh, kalau aku yang jadi suami Yana, sumpah aku tak akan sia-siakan dia macam yang kau buat sekarang ni."
Aku telan liur. Lega kerana bukan rahsia itu yang Adam tahu. Tapi....
Mustahil Arianna menceritakan segalanya kepada Adam. Cerita kisah rumah tangga kami yang kononnya suami isteri namun tinggal bersama tidak ubah seperti rakan serumah?
Aku mula merasa tidak sedap hati. Tapi, kalau bukan dari mulut Arianna sendiri, macam mana Adam boleh seyakin ini.
Adakah penyesalan sudah mula terbit di dalam hati Arianna?
Melarikan diri di malam pernikahan dia dan Adam, sedangkan Adam yang dia perlukan?
Arghhh...
Aku mula merasa tidak senang! Tidak sanggup aku menerima hakikat yang satu ini.
"Kenapa diam?" Pantas wajah kualih memandang Adam. Aku gelengkan kepala sambil senyuman aku paksa ukir di bibir.
"Dia isteri sah aku..." Ayatku tergantung di situ saat Adam mencelah.
"Isteri yang tidak punya rasa cinta? Itu maksud kau?"
Aku ketap rahang. Masih cuba menyemai rasa sabar yang semakin menipis.
"Jujur, aku tak faham apa lagi yang kau harap. Look... Arianna, dia sanggup lari daripada kena bernikah dengan kau. Maksudnya apa? Kalau benar cinta isteri aku ada pada kau, dia tak mungkin lari mencari aku malam itu."
Adam pantas berdiri sebaik habis aku berkata. Wajahnya bengis. Turun naik nafasnya jelas kelihatan.
"Soal hati Arianna, tak akan ada siapa yang mampu menebak. Begitu juga apa yang ada dalam hati aku. Kau tak akan pernah tahu. Yang jelas, Tuhan dah tetapkan aku untuk Arianna, juga sebaliknya. Aku Adam... bukan kau atau sesiapa. Maka, aku akan berusaha menjaga amanah Allah ini sebaiknya. Insya Allah. Kau jangan risau."
Adam mula menghantar jelingan tajam kepadaku dan terus berlalu keluar.
Aku hela nafas yang agak panjang!
Arianna, apa sebenarnya yang terjadi agaknya?
Satu yang aku tanamkan dalam hati, aku tak akan mudah percayakan anasir luar. Yang sudah tentu terang-terangan mahu menggugat keharmonian rumah tangga milik aku.
Ya, aku perlu yakin dengan ketentuan.
Semoga Arianna selamanya dipinjamkan kepadaku. Hingga akhir nafas.
***
Ampunnnnn...
Sis tak sangka ada juga yang bertanyakan update BKATC ni...
Bukan tak nak update, tapi saya sangat kesuntukan... Adeh!
Tapi saya akan cuba. InShaAllah, saya akan cuba. Harap2 saya boleh!
Sorry, saya tahu bab ni pendek. Nanti saya update lagi..
✌😫😫
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...