Bab:42 ☑

4.1K 155 3
                                    


Arianna

SARAPAN pagi itu, hanya aku, ayah dan juga Fahri. Emak, langsung tidak menunjukkan muka.

"Emak tak turun sekali, ayah?" Aku masih juga mahu bertanya, walaupun aku sedar akan kemarahan emak. Lagi-lagi dengan kehadiran Fahri, pasti emak tidak selesa.

"Biarkanlah emak tu, Yana. Lapar nanti, pandailah turun cari makanan." Aku menggigit bibir. Pandangan kuhalakan ke arah Fahri. Dia sekadar tersenyum hambar.

"Kamu berdua, tak perlu nak terasa hati dengan emak, tu. Orang tengah marah. Nanti-nanti, okeylah tu." Ayah meneruskan suapan.

Nasi lemak yang aku sediakan awal pagi tadi, sangat menyelerakan, namun dengan ketiadaan emak sekali, aku menjadi hilang selera.

"Makanlah, sedap nasi lemak ni." tegur Fahri. Aku mengembungkan pipi.

"Dah siap berkemas?" soal ayah. Aku mengangkat muka memandang ayah.

"Sudah. Barang Yana bukan banyak pun. Lagipun, Yana tak bawa semua." Ayah mengangguk berkali-kali.

"Nanti, pandai-pandai bawa diri. Ingat, jadi isteri solehah. Dengar cakap suami. Kalau ada apa-apa masalah, jangan pendam. Bawa berbincang. Agak-agak tak boleh nak selesai, ingat ayah ada je kat sini untuk kamu berdua." Aku menggigit bibir. Terharu. Air mata sudah mula bergenang. Namun sedaya upaya aku cuba tahankan.

Dari awal pagi lagi, hingga kini emak masih juga tidak menunjukkan mukanya. Berkurung sahaja di dalam bilik. Aku semakin resah. Aku dan Fahri sudah ingin bertolak. Kalau boleh, aku mahu bertemu emak. Mahu mengucup tangannya. Mahu memeluknya, erat.

Tapi, entahlah.

"Sabarlah, nanti bila mak dah sejuk, semua akan okey. Percayalah." Fahri menggosok perlahan di tepi bahuku.

"Yana ingat nak jumpa mak kejap." Ayah memandang ke atas. Ke arah bilik yang dihuni emak.

"Terpulanglah. Tapi, kamu tahu perangai emak, kan?" Aku mengangguk.

Tanpa membuang masa, langkah kuatur ke tingkat atas. Aku terus menuju ke bilik emak. Sampai sahaja di depan pintu, aku semakin resah. Masih berkira-kira sama ada mahu mengetuk pintu bilik tersebut atau tidak.

"Emak..." seruku.

Agak lama namun masih tiada sahutan. Perasaanku sudah bertukar sebak.

Emak denganku memang tidak terlalu rapat. Tapi kami juga tidak terlalu renggang. Emak akan selalu membebel biar untuk perkara yang kecil.

Marah?

Itu sudah menjadi lumrah bagi emak. Tapi, aku faham segala tindakannya adalah wajar bagi seorang ibu. Seorang ibu yang inginkan segala yang terbaik untuk anaknya.

Tapi, setiap kemarahan emak tidak pernah berlanjutan sehingga tidak mahu bertegur sapa denganku. Marah emak kali ini, sangat berlainan. Aku sepertinya telah menjadi orang asing dalam sekelip mata.

"Emak..." seruku lagi dengan beberapa ketukan di muka pintu.

"Yana dah nak pergi ni. Mak tak nak jumpa Yana, ke?" Aku menahan sebak di dada. Sakit kurasakan.

"Emak, maafkan Yana. Halalkan semua yang dah mak bagi kat Yana, ye." Setitik air mata jatuh di pipiku.

Aku masih berdiri statik di hadapan pintu bilik emak. Masih berharap agar emak sudi menunjukkan wajahnya. Sudi memelukku.

Pintu bilik emak kupegang. Tanganku semakin melurut jatuh ke bawah. Sampainya hati emak. Tapi, itu bukan salah emak. Aku yang bersalah. Aku berdosa. Aku menderhaka. Allah, ampunilah hamba-Mu ini.

"Emak..." seruku untuk sekalian kali.

Namun hanya aku yang mampu mendengarnya. Suaraku telah sebati dengan tangisan. Perasaan sebak semakin hebat melanda jiwa. Aku sudah tidak mampu bertahan lagi.

Akhirnya, aku akur. Emak pasti tidak akan bertemu denganku. Biarlah. Aku yakin, semuanya pasti akan kembali seperti biasa semula. Yang penting, aku harus bersabar.

Dengan langkah yang maha berat, aku kembali menuruni tangga. Setiap langkahku, diiringi dengan jatuhan air mataku. Kabur pandanganku dek kerana air mata yang galak mengalir. Tersedu-sedu aku menahan tangis.

Sebelum sampai di tingkat bawah, aku menyapu kasar air mata. Tidak mahu ayah risau akan keadaan aku. Biarlah ayah melepaskan aku pergi dengan hati yang lapang. Biarlah, hanya aku yang menanggung akibat segala tindakan nekadku. Biarlah. Biarkan sahaja.

Sampai sahaja di tingkat bawah, aku terus mendapatkan ayah dan Fahri yang sedang berdiri sambil berbual sesama mereka. Perbualan mereka terhenti sebaik aku berdiri di sebelah Fahri.

"Sabarlah Yana." Ayah mengusap bahuku.

Ah, aku memang gagal menyembunyikan sisa tangisan sehingga dengan mudah ayah dapat menebaknya.

Aku hanya menunduk. Tidak sanggup bertentang mata dengan ayah. Apatahlagi Fahri, seorang lelaki yang baru dalam hidupku.

"In Sha Allah. Tak lama lagi, mak okey. Yana dah faham perangai emak, kan?" Aku mengetap bibir.

Lebih banyak bicara ayah, lebih mengusik perasaanku. Aku tahu, ayah bersedih dengan sikapku. Malah, aku tahu ayah sangat kecewa denganku. Tapi, ayah masih sudi memujuk aku yang bersedih dengan sikap emak di atas tindakan nekadku.

Ayah menarik aku ke dalam pelukannya. Semakin sebak aku rasakan. Di dada ayah, aku melepaskan senduku. Ayah hanya mengusap perlahan belakangku.

"Anak ayah ni, memang manja. Kamu kena bersedia Fahri," seloroh ayah tiba-tiba. Terdengar ketawa kecil Fahri.

"Sudahlah..." Ayah meleraikan pelukan. Ubun-ubunku diusap penuh kasih. Pipiku juga turut diusapnya.

"Maafkan Yana, ayah," kataku dalam sebak yang masih menguasai diri.

"Ye, ayah dah lama maafkan. Ayah yakin, mak pun sama." Aku menarik nafas panjang. Perlahan-lahan aku lepaskan. Untuk melapangkan dadaku.

"Hurmm, saya rasa elok kami bertolak sekarang," celah Fahri.

Ayah memberi izin. Menghantar kami sehingga ke kereta.

"Jaga diri baik-baik," pesan ayah lagi.

"Jaga anak ayah baik-baik," pesan ayah kepada Fahri pula.

"Baik ayah. In Sha Allah," balas Fahri lalu masuk ke tempat pemandu.

Aku pula masih berdiri di tepi ayah. Mataku masih memandang ke dalam rumah. Mengharapkan kehadiran emak.

"Masuklah. Nanti, mak dah reda, Yana datanglah." Aku melepaskan keluhan. Akur.

Kereta Fahri meninggalkan perkarangan rumah. Mataku, masih tidak mahu lepas dari memandang rumah, rumah yang pernah menjadi syurga bagiku. Aku memandang ke tingkat atas, manalah tahu akan terlihat kelibat emak.

Namun, sampai ke hujung jalan, sehingga bayang rumah itu lesap di pandangan, aku masih tidak dapat melihat wajah emak.

Sayu, sungguh sayu hatiku.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now