Abang, ruang apakah yang masih lagi wujud antara kita? Semuanya sudah tertutup rapat. Andai hati Jannah yang abang maksudkan, ia sudah lama terkunci. Tidak untuk abang atau sesiapapun. Bukan untuk menghukum tapi Jannah takut. Apakah masih ada ruang bahagia untuk Jannah setelah melewati musim duka yang menyakitkan itu? Apakah masih bisa untuk Jannah bergantung pada harapan sedangkan dahan itu sudah patah dan tidak tumbuh kembali? Jadi, Jannah lebih senang begini.
Cukuplah untuk Jannah terus berkorban. Jiwa ini sudah lama terkorban. Selama menanggung penasaran yang bergelodak, nadi ini yang menjadi taruhan. Abang tidak pernah tahu bagaimana deritanya hati Jannah. Sepanjang pelarian itu, jalannya ditaburi duri tajam. Jannah terpaksa juga melangkah biarpun Jannah tahu akan terluka. Dan darah yang mengalir tidak pernah kering hingga kini.
Bagaimana untuk Jannah menyimpul semula kasih yang sudah terlerai? Bagaimana untuk Jannah membina semula tembok yang sudah rebah dihakis ombak? Bagaimana untuk Jannah menyulam semula kesetiaan dan kepercayaan setelah abang mendustainya? Katakan pada Jannah, bang? Tunjukkan caranya? Jannah tidak mahu hanya bergantung dengan kata-kata sedangkan harapan itu masih lagi ditiup bayu, terawang entah dimana. Cukuplah sekali terluka. Jannah tidak mahu terus merana.
Ya Allah, sesungguhnya bukan mudah untuk aku bangkit kembali. Membina semula semangat yang sudah direntap pergi. PadaMu ya Ilahi, kutadahkan tanganku ini. Memohon perkenanMu tanpa henti. Semoga jiwa ini tidak longlai kembali biarpun kadangkala aku terasa sudah terjunam kelautan api. Hanyut dan kelemasan ditepian yang tak bertepi.
Sekali lagi. Dengan keadaan yang sama. Seperti mula-mula aku sampai kesini. Mata ini hanya tertutup rapat. Namun lena makin menjauh.
Lalu, aku perhambakan diri pada Dia. Kuadukan dukaku pada Dia. Hanya Dia yang mampu mendamaikan hati.
Setiap yang berlaku, punya cerita sendiri. Dan inilah hikmahnya. Ada kenikmatan disebalik setiap sakit yang sedang engkau tanggung, Jannah. Andainya engkau tidak pernah terluka, adakah dirimu akan begini? Sentiasa mengingati Dia yang Maha Segala? Ataupun engkau terus hanyut bagai dermaga yang hampir karam ditengah lautan.
Aku menoleh saat terdengar pintu bilikku diketuk dari luar. Tentu umi. Dia yang selalu mengejutkan aku. Sama seperti dulu.
"Mari solat berjemaah. Semua dah tunggu tu." Ujarnya. Aku anggukkan kepala. Tanpa menanti sesaatpun, aku terus mengekori umi keruang tamu.
Abang Amar dan kak Balqis sudah sedia menanti kami. Begitu juga ayah yang sudah bersedia dihadapan. Inilah rutin kami hari-hari. Seawal pagi kami mulakan hari dengan sujud padaNya. Memohon keredaan dan kerahmatan. Hanya Dia, maha Pencipta pemilik hati dan nurani.
Suasana masih awal. Usai berjemaah, kami masih lagi berkumpul disejadah. Suasana yang menyamankan ini amat menenangkan. Jiwaku tiba-tiba jadi lapang. Ya Allah, adakah Engkau sedang melorongkan aku untuk berterus terang melalui rasa yang enak ini? Detik hatiku. Lalu, kupandang wajah-wajah yang aku sayangi ini satu persatu.
"Umi...ayah, Jannah ada sesuatu yang nak diberitahu." Ujarku perlahan.
Kak Balqis dan abang Amar yang sudah melangkah untuk naik semula ke bilik terus berpaling pada kami.
"Ada apa, Jannah?" soal umi perlahan.
Aku menunduk. Tidak tahu dari mana harus ku bermula. Aku tidak pasti untuk menyusun bicara. Bersimpang siur pula jalan cerita. Tapi, satu yang pasti. Chempaka sudahpun aku jumpa.
Ku pandang tunak wajah umi yang masih menanti aku memulakan cerita.
Bismillah....
"Umi tahukan, semalam Jannah berjumpa dengan anak Jannah?"