Ini kali yang kedua. Pertemuan aku dan Chempaka selepas seminggu kami dipertemukan. Abang Uzair menghubungiku semalam dan terus sahaja aku bersetuju sebaik saja dia bertanyakan aku perihal perjumpaan ini.
"Boleh auntie. Chempaka ikut saja." Jawabnya perlahan.
Sebaik saja aku sampai tadi, riak wajahnya tidak secerah dulu. Aku nampak abang Uzair berkata sesuatu kepadanya sebelum dia melangkah ke arah aku yang menanti dikereta. Seakan memujuk. Ada sesuatukah yang sedang terjadi? Aku tertanya sendiri.
"Kenapa monyok saja ni?" soalku bila melihat dia lebih banyak membisu.
"Nothing."
"Kalau untuk perempuan, nothing means everything. You know that you can share everything with me."
"Tak ada apa-apa, auntie. Cuba Chempaka sedikit pelik dengan papa. Bukan Chempaka tak suka keluar dengan auntie. Cuma kali ni Chempaka rasa rasa pelik. Papa seakan memaksa." Ujarnya.
"Jadi, sebenarnya papa paksa Chempaka untuk keluar dengan auntie?" soalku. Aku memandang dia disisiku. Hatiku sedikit berdebar. Inilah yang aku khuatiri.
Dia sudah semakin matang untuk menelah apa yang sedang terjadi. Dia bukan lagi anak kecil yang perlu disogok dengan gula-gula. Melihat perilaku dan perubahan pada papanya, sudah tentu dia tertanya. Belum lagi reaksi ibunya. Tentu dia sudah dapat mengagak.
"Sebelum ini, papa cukup tegas dan tak benarkan Chempaka kemana-mana dengan orang yang baru kenal. Pergi tuisyen atau ulangkaji dirumah saja. Kalau nak pergi mana-mana selalunya dengan papa atau ibu. Dengan kawan-kawanpun Chempaka jarang keluar. Tapi, sekarang? Sorry auntie, bukan Chempaka tak suka keluar dengan auntie tapi Chempaka tertanya mengapa papa berubah."
Liur ku telan payau.
"Sorry, auntie tak tahu kalau papa paksa Chempaka. Kalau auntie tahu, auntie juga takkan bersetuju. Jadi, nanti kita sama-sama tanya papa, okay?" Pujukku.
"Sekarang papa dah lain. Susah nak faham. Perangai dia berubah. Mendadak. Setiap hari papa asyik termenung saja. Tenggelam dalam dunia dia sendiri. Kadang macam dia sedang ada masalah. Kadang macam orang sedang berkasihpun ada juga. Macam rindukan seseorang sedangkan ibu ada depan mata."
"Ya? Kenapa? Chempaka bimbang kalau-kalau papa ada 'love affair' ke?" soalku cuba berjenaka. Namun, bila aku memandang kesisi, dia sedang memerhatiku dengan tajam. Wajahnya turut masam mencuka.
"Sudah tentu. Hidup Chempaka hanya ada ayah dan ibu. Chempaka tidak perlu orang lain yang akan mengganggu gugat keluarga kami. Macam orang selalu cakap. Kalau berdua, 'just nice'. Bertiga, 'crowded'. Apatah lagi berempat." Jawapannya seakan amaran untuk aku menjauhkan diri dari kehidupan mereka. Jelas dia amat menyayangi Jannah Amani dan cuba melindunginya.
"Okay, mama sorry. Okay?" Ooopsss...
"Mama? Ibu... Chempaka panggil ibu. Bukan mama."
Walaupun jauh disudut hati mengharapkan panggilan itu terkeluar dari bibirnya, tapi setelah mendengar jawapan dia, impian yang mekar itu terkulai layu.
"Mengapa bukan mama?" soalku.
"Entah. Papa kata dia suka dengan panggilan ibu." Jawabnya pendek.
Bukan! Salah tu! Kerana panggilan mama hanya untuk aku. Itu yang abang Uzair pernah kata dulu. Sebaik saja aku disahkan hamil. Kata abang Uzair, panggilan mama amat sesuai denganku yang penuh dengan kelembutan.
"Maaf. Auntie terlepas cakap. Auntie faham perasaan Chempaka. Nanti auntie cuba cakap dengan papa, okay?"
Biarlah ku ubati rasa kecewa ini dengan kata-kata yang boleh menyedapkan hati. Aku tidak mahu momen indah ini hilang dek kerana rasa kecewa. Biarlah. Walau siapapun ibu dalam hidupnya, walau apapun panggilannya untukku, hakikat takkan pernah berubah. Akulah ibu kandung yang melahirkannya biarpun keadaan memaksa kami berpisah.