Saat kepala menjamah bantal, Iphoneku bergegar lagi. Jika tadi aku berbalas mesej dengan Ethan, kini nama abang Uzair pula. Apa mahunya? Dahiku berkerut.
Jannah,
Abang sudah cuba kuatkan hati dan berjalan diatas kaca yang berserakan. Walaupun tahu akan terluka dan berdarah, abang tetap melangkah kerana abang yakin, dipenghujung jalan ini ada sinar yang akan menerangi... cuma...abang tidak mampu untuk berlalu dari hati dan jiwamu. Walau untuk menghela satu nafaspun abang terasa sakit. Apatah lagi berpisah denganmu. Pinta abang agar Jannah tidak membiarkan abang terus berjalan sendirian walaupun langkah Jannah semakin meninggalkan abang.... Jangan pernah tinggalkan abang, Jannah.
Terus aku bangun dari pembaringan dan duduk dibirai katil. Tanganku masih menggeletar.
'Abang Uzair, mengapa harus begini payah? Sukarkah abang faham dan mengerti?'
Ya Allah, apakah yang harus aku lakukan?
Aku tidak tega terus membiarkan dia begitu. Sungguh aku sayu. Hatiku jadi tidak menentu.
Aku menangis tatkala menatap kiriman dari abang Uzair. Berkali-kali kulang baca kirimannya. Selama mengenalinya, dia tidak pernah bersikap begini. Tunduk pada perasaan. Aku mahu dia menerima hakikat yang perasaan ini bukan untuknya lagi. Bukan terus menanam lara mengharap pada kasih yang sudah aku noktahkan?
'Maafkan Jannah, bang. Jannah tak mampu.'