"Ikut kami balik, Jannah." Ujar Ezah ketika kami sama-sama menikmati hidangan yang disediakan oleh kak Yati untuk para pelajar yang akan pulang ke tanahair. Kak Yati yang bermastautin disana amat dikenali oleh pelajar-pelajar dari Malaysia. Jadi, sebelum berpisah, selalunya kak Yati akan membuat sedikit keraian untuk meraikan mereka. Selalunya aku jarang untuk ikut serta. Aku lebih suka mengambil sikap 'low profile' dari dikenali oleh mereka.
Biarpun ada juga yang sudah mengenaliku samada dari kak Yati dan abang Mahmood atau sekuliah denganku, aku tetap menjarakkan diriku dengan mereka. Mengelak? Ya, selagi terdaya.
Ini adalah salah satu sebab mengapa aku mengambil keputusan itu berhijrah dari London ke Bath. Bukan tiada orang Malaysia datang ke situ tapi jumlahnya tidaklah seramai kota London. Dan, disebabkan aku semakin jarang berada di café, menjadikan aku tidak terdedah secara langsung. Aku lebih suka bekerja dibelakang tabir tanpa perlu berjumpa ramai orang.
"Kita buat semuanya sama-sama. Lagipun disini semuanya dah stabil. Boleh juga kau tunjuk ajar aku selok belok dunia perniagaan ni. Aku ni tak ada pengalaman langsung." Pancing Ezah.
"Aku yakin dengan kau, Ezah."
"Aku yang tak yakin dengan diri aku sendiri. Takutpun ada."
"Prinsip aku mudah. Hati kena kuat untuk ceburi bidang bisnes. Tak boleh ada rasa takut. Aku dulupun rasa macam tu juga. Tapi, aku kuatkan semangat. Nak mulakan langkah pertama ni sebenarnya mudah saja. Tapi, yang mencabar tu bila nak kekalkannya."
"Sebab tu aku ajak kau balik. So, aku akan jadi kuat bila kau ada."
"Insya Allah, aku akan balik. Satu hari nanti. Bukan sekarang. Masih ada sesuatu yang perlu aku lakukan disini." Helahku agar topik ini terhenti disini.
"Sebelum aku balik, aku tetap nak tanya walaupun kau dah remind aku. Apa sebenarnya yang menghalang kau, Jannah. Aku tak percaya kalau kau kata restoran kau disini ada masalah. Aku tengok maju saja. Kau selalu sibuk. Malah, sejak kau menceburi bidang hartanah disini, kau makin sibuk. Jadi, aku tak rasa kau ada masalah disini melainkan disana. Aku dapat rasakan sesuatu. Cuba ceritakan pada aku. Manalah tahu kalau-kalau aku boleh tolong."
Aku hanya mampu tersenyum. "Maaf, Ezah. Macam yang aku beritahu, belum masanya lagi. Mungkin satu hari nanti. Doakan aku, ya." Jawabku menutup perbualan perihal yang satu ini.
Terdengar Ezah mengeluh. Jelas terpamer wajahnya yang kehampaan.
Biarlah aku tinggalkan dia dengan sejuta persoalan. Biarlah dia meneka apa sahaja namun untuk berkongsi rasa, tidak. Bukan sekarang, mungkin bukan untuk selamanya.
***
"Hei, kau menungkan apa? Aku bercakap dari tadi kau boleh mengelamun?" Tepukan tangan Ezah ditanganku membuatkan lamunanku terbang.
"Tak ada apa-apa. Terkenang kisah semalam."
"Kisah semalam?"
"Kisah kau ajak aku balik dengan kau kesini. Tak sangka akhirnya aku balik juga."
"Ya, tapi setelah sepuluh tahun. Lama tu."
"Janji aku balik. Tak kiralah bila kan?"
"Tiap-tiap hari aku berdoa agar kau balik kesini, Jannah. Walau apapun yang pernah kau lalui, aku nak kau balik."
"Teruk betullah kau ni. Yang kau doa sampai minta aku balik ni, dah kenapa? Rindu sangat ke? Doalah aku sihat sejahtera ke? Cepat kaya ke?" kataku bersenda.
"Sihat? Aku tahu kau sihat. Kaya? Kau nak kaya yang macam mana? Duit dah berkepok dalam bank. Tujuh keturunanpun makan tak habis."
"Banyaklah kau. Mana kau tahu duit aku berkepok?"
Kami sama-sama ketawa.
"Sebenarnya, aku nak kau tengok apa yang kau dah bantu selama ini. Aku nak kongsi segalanya dengan kau. Walaupun kita selalu berhubung, belum cukup untuk aku untuk berkongsi semuanya dengan kau. Aku mahu kau disini. Aku nak setiap kejayaan ini kita raikan bersama. Kalau boleh aku nak beritahu semua orang, siapa kau. Insan yang terlalu baik untuk aku."
Tertawa aku dibuatnya.
"Jangan terlalu memuji aku, Ezah. Apa yang aku ada ni semuanya dari doa orang. Bukan usaha aku sendiri. Apa yang aku bantu ni tak seberapapun dari usaha yang kau taburkan. Kau layak untuk menikmati segala usaha dan penat lelah kau selama ini. Aku menolong dari segi kewangan saja."
"Yang paling penting, kau sentiasa positif, Jannah. Itu yang aku belajar dari kau. Kau sentiasa berfikiran jauh hingga kadangkala aku tak pernah terfikir untuk buat begitu. Idea kau sentiasa kreatif."
"Kita sama-sama berusaha. Selebihnya urusan Allah. Aku selalu pesan pada diri, tak kiralah dalam keadaan apa sekalipun. Pegang dada kuat-kuat dan cakap, Allah ada. Allah sentiasa ada. Setiap orang tu ada bahagian masing-masing. Lagipun, rezeki yang aku dapat tu, bukan semuanya hak aku. Ada hak orang lain. Jadi, aku pulangkan hak yang bukan hak aku. Aku takut disoal disana nanti."
"Jadi apa perancangan kau? Oh tak. Sepatutnya aku tanya begini, apa yang merubah fikiran kau untuk kembali semula kesini? Tanah tumpah darah kau? Mesti ada sesuatu."
"Bukan ada 'sesuatu' tapi kerana 'sesuatu'. Aku tak nafikan aku kembali kerana ada sebab. Oleh itu, aku perlukan pertolongan dari kau. Aku harap kau boleh bantu aku."
"Hei... jangan cakap macam tu, boleh tak? Jangan bagi aku nampak teruk sangat. Demi kau, aku turun pangkat jadi driver pun aku sanggup. Small matter lah." Jawapan Ezah disambut ketawa olehku. Ada saja jawapan darinya yang menceriakan hariku seperti dulu.
"Merepeklah kau ni. Perangai tak berubah langsung. Aku perlukan keretalah."
"Kereta? Kau nak pergi mana?"
"Adalah. Nanti aku beritahu. Boleh tak kau tolong uruskan?"
"Boleh, tak ada masalah. Kau nak sewa ke?"
"Beli terus rasanya. Kalau sewa, aku tak tahu sampai bila aku nak sewa."