Aku dan dia memilih tempat lain untuk berbincang. Bukan di sini. Itu putusku. Aku tidak mahu Ezah memikirkan yang tidak-tidak. Aku bimbang persepsinya pada Amani berbeza kerana pertemuan pertama mereka tidak indah.
Aku tinggalkan Chempaka dengan Intan. Aku pasti Chempaka tidak kekok kerana Ezah pasti akan melayan dia.
Disini, aku nampak bagaimana cara Amani memujuknya bila dia turut mahu mengkuti kami pergi. Lembut sahaja suaranya.
"Janganlah menangis. Ibu bukan pergi jauh. Ibu ada perkara yang dibincangkan. Selesai saja, ibu jemput Chempaka semula. Okay?"
Aku memerhatikan saja mereka. Biarpun terbit rasa cemburu disatu sudut, aku bersyukur kerana dia menyayangi puteriku. Sekurang-kurangnya kegelisahan aku dapat aku noktahkan disini.
Dalam hati ada getaran. Dan akal mula menyusun soalan. Kami masih lagi membisu. Aku membawa dia ke Starbucks KLCC. Tempat yang paling baik untuk berbincang kerana suasananya sedikit tenang.
Janggal. Itu yang aku rasa saat ini. Saling memandang tapi kami masih membisu. Entah siapa yang harus memulakan. Aku bagaikan hilang kata untuk menutur.
"Jannah......" perlahan dia memanggil namaku. Setelah sekian lama, akhirnya namaku meniti bibir itu. Aku memandang tepat padanya.
"Katakan apa saja, Amani. Aku sedia mendengarnya."
"Sungguh, aku bersalah pada kau, Jannah. Terlalu besar kesalahan yang aku lakukan."
"Apa maksudmu?"
"Cuba memisahkan kau dengan Chempaka dan menidakkan hak kau sebagai mamanya." Aku lihat dia mula meramas-ramas jemarinya hingga kemerahan.
Aku terus menanti kata-kata seterusnya. "Tapi...." suaranya tersekat.
"Tapi?" soalku.
"Aku tahu aku bersalah. Aku tahu aku tak layak untuk meminta apapun. Tapi, aku tetap mahukan kau pergi dari sini. Maafkan aku, Jannah." Ujarnya perlahan.
"Apa?" Sungguh, aku terkejut dengan permintaannya. Tergamak dia berkata sebegitu padaku?
"Maafkan aku Jannah. Maafkan aku."
"Maaf? Kau minta maaf dengan aku dan sekarang kau minta aku pergi dari sini pula. Apa sebenarnya yang kau mahu, Amani?"
"Tolonglah, Jannah. Demi kebahagiaan aku, aku merayu."
"Amani... Jangan bimbang. Tanpa kau suruhpun, aku akan pergi dari sini. Aku sedang membilang hari. Aku hanya menanti Chempaka selesai segala-galanya di sini. Aku akan pergi bersama dengannya seperti mana yang aku beritahu pada abang Uzair."
"Tapi, aku mohon. Jangan bawa Chempaka dari aku. Hanya dia yang aku ada. Dia nyawa aku, Jannah."
"Nyawa aku juga, Amani. Aku tidak perlu mengulang kembali apa yang sudah terjadi. Aku rasa kau dah tahu. Jadi, sudah masanya untuk aku dan Chempaka bersatu." Jawab aku tegas.
"Tapi......"
"Aku sudah menjelaskan segala-galanya pada abang Uzair. Tentang Chempaka. Tentang kepulanganku. Juga tentang apa yang aku rasa pada dia. Jadi, jangan kau bimbang. Aku hanya meminta apa yang menjadi hak aku saja. Dulu dinafikan dan sekarang aku mahu dia dikembalikan. Itu saja. Aku bukan mahu mencari musuh tapi aku ingin membina semula kasih yang terlerai."
Dia diam. Menunduk sambil menyapu air matanya yang mengalir.
"Jangan bimbang, Amani. Aku tidak akan mengambil abang Uzair dari kau. Aku sudah berterus terang pada dia. Juga siapa yang menjadi pilihan aku. Jelas, aku tidak mampu untuk menyimpul kembali kasih yang sudah putus. Selamanya dia tetap milik kau. Cuma, kami sudah mencapai kata sepakat. Chempaka akan tinggal bersama denganku usai dia menjalani peperiksaannya."
"Jannah...."
"Aku harap kau mengerti perasaan aku, Amani. Aku tidaklah sekejam yang kau bayangkan hinggakan aku sanggup menepikan perasaan kau terhadap Chempaka selama ini. Sepanjang usianya, dia hanya mengenali kau sebagai ibunya tanpa mengetahui hakikat sebenar. Aku amat berterima kasih pada kau kerana menjadikan dia seorang yang baik pekertinya. Aku tidak nafikan. Tapi, tidak terselitkah secebis rasa simpati pada aku yang selama ini mendambakan rasa kasih darinya. Aku kepingin sekali menjadi seorang mama pada dia, Amani. Panggilan yang sering aku rindui selama ini."
Dia menangis tersedu-sedu. "Maafkan aku Jannah."
"Bukan salah sesiapa. Allah sedang menguji kita. Pasti ada hikmahnya. Kau seorang ibu yang baik, Amani. Jujur, aku pernah berprasangka buruk dengan kau. Aku kira kau juga merancang agar semua ini terjadi kerana berdendam. Tapi, aku lupa pada setiap kebaikan yang kau curahkan dalam membesarkan Chempaka. Kau yang ada saat dia menangis dan ketawa."