12

30 3 9
                                    


Umi... Ayah... Percayalah, walau sejauh ini Jannah melangkah, kalian tetap Jannah rindukan. Bukan berdendam cuma mahu mengubati luka dan kecewa agar derita yang bersarang ini, berlalu.

Rindu yang makin membuak ini membuatkan aku nekad. Terselit rasa gentar namun aku percaya inilah yang terbaik. Saat keampunan itu masih dilorongkan jalannya untukku, aku harus teguh dengan keputusanku biarpun perasaan was-was masih ada.

"Maaf, Ethan. Dalam beberapa hari ini hatiku berat memikirkan tentang keluargaku. Sukar untuk aku jelaskan padamu. Tapi, naluriku kuat mengatakan yang aku harus pulang menemui mereka terutama umi dan ayah."

Terdengar keluhan darinya.

"Kamu kecewa?"

Dia anggukkan kepalanya.

"Adat berkelana, Ethan. Sampai masa camar tetap akan hinggap dibelakang kerbau juga. Itu hukum alam. Siapa kita untuk menidakkan."

"Sanggup kamu pergi meninggalkan aku sendirian disini?"

Nafas aku tarik perlahan. "Bukan sanggup ataupun tidak. Kala ini, aku rasa inilah yang terbaik. Aku percaya, kamu tidak akan kembali menjejak luka silam. Benar?"

Sengaja aku bermain dengan kata-kata. Bukan untuk memujuk tapi aku mahu dia lebih rasional bila berbicara soal hati.

"Kita bukan muda lagi untuk menjerumuskan diri pada keadaan. Akal ini sudah terlalu matang untuk menentukan arah mana yang harus kita pilih untuk pengakhiran yang baik. Bukan begitu?" Soalku.

Jeda.

"Lalu, boleh aku ikut pergi bersamamu?" soalnya lagi bila aku terus membisu. Pandangannya penuh pengharapan.

Aku telan liur. Permintaannya kali ini sukar untuk aku tunaikan. Aku sendiri tidak pasti adakah kepulanganku nanti akan menjadi kenangan yang terindah atau sebaliknya. Sedangkan aku sendiri berasa was-was dengan keputusanku, lalu, bagaimana harus aku membawa dia menemaniku?

"Maaf Ethan. Bukan aku tidak mahu tapi buat masa ini, aku lebih memerlukanmu disini. Hanya kamu yang aku percaya untuk mengurusi caféku ini. Aku tidak mahu berterusan menyusahkan kak Yati. Kasihan aku padanya. Jauh untuk dia berulang alik ke sini setiap hari. Buat masa ini, biarkan saja aku pulang dulu, sendirian. Insya Allah, andai ada jodoh, kita pasti akan bertemu semula." Jawabku berlapik agar hatinya tidak aku lukai. Dia teman yang sangat baik. Punya hati yang luhur. Bukan untuk aku biarkan dia terus dalam kekecewaan. Sedikit sebanyak hatinya perlu aku jaga.

Benar aku akan pulang tapi jiwaku masih lagi diselubungi keresahan. Bimbang dengan penerimaan mereka setelah sekian lama aku membawa hati. Gentar. Andai mereka menolak aku sekali lagi, haruskah terjadi dihadapan Ethan? Sedanglan dia masih tercari-cari mengapa aku hidup dalam duniaku sendiri? Sedangkan dia masih tidak mengerti mengapa aku terusan mengunci bibirku untuk bercerita? Sering menolak andai jiwa dan rasa yang menjadi topik perbualan antara kami.

Berbelas tahun. Rahsia ini tetap aku kunci rapat. Biarpun kami bersahabat bukan untuk aku berkongsi rasa yang menyakitkan ini. Biarkan saja aku melipatnya dalam lipatan kenanganku. Jauh disudut hati.

"Sebenarnya, aku takut akan terus kehilanganmu, Jannah." Luahnya.

"Jangan begitu. Insya Allah, silaturahim ini akan terus utuh seperti janjiku kepada Allah. Tidak ada apa yang harus kami takuti."

Dia mengeluh sekali lagi. "Maaf, aku masih belum yakin dengan agamamu. Jadi, aku sukar untuk memegang pada janji. Aku tidak percaya semua itu." Ujarnya terus terang.

"Seperti yang pernah aku jelaskan padamu dulu, Ethan. Aku tidak pernah memaksa kamu untuk mempercayainya. Atau berpegang pada janji-janjiku kerana tiada paksaan dalam Islam. Kalau aku ingin memaksa, sejak dari dulu lagi, Ethan. Tapi, aku tidak pernah jemu berdoa agar dirimu akan menemui nur dan hidayah yang akan menerangi kehidupanmu satu hari nanti. Amin. Dan, tidak salah jika aku ucapkan insya Allah, kerana maksudnya jika diizinkan Allah. Kehidupanku ini hanya milik Dia. Begitu juga kamu dan seluruh semesta. Dia pemilik takdir. Hanya Dia yang bisa menentukanNya."

"Jadi, kapan kamu bisa kembali semula kesini?" soalannya seakan mahu melarikan terus topik yang baru kami perkatakan. Perihal agama. Aku mengerti dia tidak selesa walau sudah bertahun lamanya. Namun dia masih sahabatku. Walaupun kami berbeza agama dan fahaman, dia tetap menghormati aku malah sering mengingatkan aku apabila sampai waktu solat. Dia memang baik cuma aku dapat merasakan seakan ada sesuatu yang sedang dia sembunyikan dariku, yang menghalangnya dari terus bercerita. Rahsia hatinya. Seperti aku, dia memilih untuk berdiam. Dan aku hormati keputusannya. Ianya bukan satu halangan buat aku untuk terus bersahabat.

"Secepat mungkin. Insya Allah."

"Kita akan ketemu lagi, bukan?" ulangnya lagi sekali.

"Insya Allah. Doakan saja semoga segala urusanku dipermudahkan."

Dan, usai segala urusanku, berangkatlah aku meninggalkan seketika tempat yang telah menemaniku sejak berbelas tahun dulu. Aku tinggalkan sebentar segala yang aku ada disini.

'Ya Allah, dalam gentar ini aku tidak pernah jemu memohon padaMu. Tenangkanlah jiwa ini. Andainya ini adalah perjalananku yang terakhir, permudahkanlah ia. Aku perlukan ketenangan. Hanya padaMu aku bertawakal. Amin.'

Perlahan-lahan kapal terbang ini bergerak meninggalkan landasan. Dari celah tingkap aku memandang sepi tanah Ratu yang sudah sebati dalam diri. Terbanglah aku kembali pada tanah kelahiranku yang sudah terlalu lama aku tinggalkan. Berkelana membawa hati yang sudah hancur berderai. Tujuh belas tahun aku cuba untuk melupakan kisah yang memilukan itu. Membina kekuatan, menjerat tabah agar hinggap dalam jiwa. Tapi sayang, ianya tetap mengekori saban waktu. Rasa pedih tetap menjalar ke seluruh nubari. Kadangkala aku tewas lalu teralirlah rasa sakit yang mencengkam ini dengan jejeran airmata. Hanya itu penawar duka.

Pertama kali menjejakkan semula kaki disini, aku terkaku seketika. Bukan kerana perubahan fizikalnya. Cuma rentak jantungku berlari laju. Bimbang adakah keputusan ini akan membuatkan aku bahagia atau tersulamkah lagi derita yang sudah lama menghuni hati? Ya Allah, Engkau yang telah melorongkan aku melalui jalan ini. Pintaku, tetapkanlah hatiku untuk melaluinya walaupun dihadapanku terbentang ranjau berduri.

DemiMu, ya Ilahi... hanya Engkau yang tahu apa yang bergelumang dalam jiwaku. Kepulanganku bukan kerana umi dan ayah semata. Aku juga pulang kerana 'dia'. Dia yang selama ini aku rindukan. Cuma sayang, yang termampu olehku hanya merinduinya dari kejauhan. Bukan pintaku atau mahunya. Kami terpaksa kerana dipaksa. Bukan kerana keadaan tapi kerana ada yang mengikut perasaan.

Aku pernah salah percaturan. Khilaf memilih jalan hidup. Bertahun berkelana membawa hati dan perasaan. Kini aku tidak mahu lagi kesilapan masa lalu terus menjadi satu kesilapan hanya kerana keegoaan. Aku tidak mahu 'dia' terus terhukum dan dosa ini terus terpalit pada diriku selamanya.

Pernah aku berjanji tidak akan kembali lagi kesini dek kerana amarah yang mencengkam. Luka ini terlalu perit untuk aku cari penawarnya. Namun, siapalah aku untuk menidakkan apa yang sudah ditakdirkan. Kini, aku jejakkan semula langkah ini untuk mencari titik mula. Kala ini apa yang bermain dalam akal, setelah sekian lama, mampukah aku berdepan dengan realiti yang akan tersirna nanti?

Ya Allah, kuatkah hati ini untuk menempuh ujian yang bakal melanda?

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now