39

18 4 0
                                    

"Jadilah seorang pemaaf." Pesan ayah yang terus terngiang-ngiang didalam kepala.

Saat bekas ibu mentuaku menarik dan memeluk tubuhku erat, aku terus kaku. Kata-kata yang sudah aku susun sebentar tadi, hilang entah kemana.

"Maafkan ibu, Jannah. Maafkan ibu. Ibu berdosa." Hanya itu. Raungannya yang memenuhi ruang tamu rumah.

Dia pernah membenciku, menghinaku tapi tubuh tua itu tetap aku peluk. Pipi dan tangannya tetap aku cium. Kerana dia pernah memberikan aku peluang untuk merasai hidup sebagai menantu padanya dan isteri pada anaknya. Walaupun pengakhirannya cukup melukakan, sekurang-kurangnya aku pernah merasai nikmat dan bahagia hidup sebagai isteri dan menantu walaupun tanpa restu. Bukankah takdir Allah itu indah?

Jujur, untuk kembali semula kesini, aku perlu bina kekuatan. Melewati pemandangan disepanjang perjalanan bukanlah satu momen indah yang perlu diingati semula.

Biarpun abang Uzair mahu aku pergi bersamanya, aku menolak. Seperti juga aku, dia tahu apa sebabnya. Tak perlu untuk aku ulang berjuta kali. Riak wajah yang mencuka bukanlah sebab untuk aku tunduk pada kehendaknya. Aku masih ada harga diri.

Kala aku melangkah masuk kedalam rumah yang sudah berubah bentuknya, ramai yang menanti. Aku terngadah. Dan, melihat wajah bekas mentuaku yang uzur, membuatkan hati hati sayu.

Mengakui kesilapan dan memohon maaf itu adalah perbuatan yang baik. Tapi memberikan kemaafan itu lebih mulia disisi Allah. Sekali lagi pesan ayah terlintas dalam kepala. Ketika ini, aku sedang mencari, dimana sinar keikhlasan itu tersembunyi.

"Ibu dan ayah sihat?" soalku sebaik keadaan kembali reda.

Mereka hanya menganggukkan kepala. Namun, saat aku mahu memegang kaki ibu, kurasakan ruang itu kosong. Terkejut! Mataku terus memandang padanya. Menagih jawapan.

"Balasan dari Allah." Jawapan darinya bagaikan tiada perasaan.

"Jangan fikir begitu, ibu. Setiap yang berlaku, ada sebab." Pujukku.

Diraut wajahnya tergambar sejuta kesalan. Seribu bebanan yang sedang terpikul. Ya Allah, semoga akhiran ini akan membahagiakan. Semoga setiap persoalan itu terjawab dengan sendiri. Semoga penantianku ini tidak sia-sia untuk membuka hijab kebenaran kerana setiap persoalan itu masih terpatri kukuh tanpa jawapan.

Bukan niat untuk merembeskan dendam tapi aku mahu membersihkan segala kekotoran yang terpalit agar tirai kejernihan menebari selagi nyawa menghuni diri.

"Maafkan kami, Jannah. Maafkan ayah dan ibu. Tak sepatutnya ibu bertindak sebegitu pada Jannah."

Dia ambil jemariku dan digenggam erat. Aku tersenyum pahit.

"Ibu... ayah... lupakanlah semuanya. Benar, Jannah pernah berdendam. Benar, Jannah pernah marah. Payah untuk Jannah ikhlaskan hati untuk memaafkan atas apa yang terjadi. Jannah tak henti berdoa agar Allah bukakan pintu hati Jannah ini sekali saja untuk menjadi seorang yang ikhlas memberikan maaf. Tapi, bila Jannah fikir semula, Jannah juga ada buat silap. Bukan semua salah ibu dan ayah. Bila Jannah reda dengan semua yang terjadi, hati Jannah rasa tenang."

Sungguh, saat aku melafazkan bait-bait ini, hati ini terasa sejuk bagaikan disirami air dingin yang mengalir tenang menuju kali. Damai. Adakah aku sudah menemui kunci keikhlasan?

"Jadi, Jannah mahu kita semua lupakan apa yang terjadi. Leraikan segala dendam yang tersemat. Tak ada gunanya untuk kita terus menyimpan rasa sakit hati. Hidup ini singkat. Jadi, jangan bazirkannya dengan mengenang kisah lalu." Pujukku.

Benarlah, jalan dihadapan pasti terbentang luas saat kemelut itu terlerai. Bukan lagi memendam perasaan dengan penuh kebencian. Haruskah aku terus teraba dalam kegelapan sedangkan tebaran cahaya itu sudahpun menerangi disepanjang jalan ini? Lingkaran hitam yang membelit diri itu datangnya dari nubari sendiri, bukan dari sesiapa kerana dosa itu tidak ada pewarisnya.

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now