Satu tujuan. Nekad. Dan aku seharusnya membuang jauh-jauh rasa ragu ini. Mengapa aku harus memikirkan natijah yang belum terjadi? Jangan terus bermain dengan bayang. Mungkin disebalik gelap masih ada sinar untuk aku berpaut harapan. Allah tidak pernah kejam.
Aku teruskan pemanduan sambil ditemani celoteh juruhebah dari radio yang sudah diset oleh Ezah. Di 'dashboard' terpapar sinarfm. Tidak lama kemudian berkumandang lagi dari Kumpulan Gingerbread, mengapa perpisahan yang kau pinta. Lagu lama yang masih lagi segar untuk didengari.
Tak kusangka walaupun usia Ezah masih muda kerana jarak usia kami berbeza lebih kurang tujuh tahun, tapi minatnya ke arah lagu-lagu 80an dan 90an. Rock kapak juga minah ni, omelku sendirian.
Bibirku sama-sama mendendangkan lirik-lirik yang sedang berkumandang sambil memerhatikan pemandangan disepanjang perjalanan. Banyak yang sudah berubah. Tidak seperti dulu. Jauh berbeza. Perubahan itu perlu untuk menikmati hasil pembangunan yang membawa kepada satu pembaharuan selari dengan peredaran zaman dan masa. Deretan kedai-kedai dan juga rumah-rumah yang tampak besar dan baru. Tertulis dipapan tanda, Sungai Haji Dorani. Kata Ezah, itulah kampung sebelah mamanya. Orang jawa rupanya Ezah ni.
Aku singgah sebentar di Teluk Intan untuk makan tengahari di restoran Mastan Ghani yang terkenal dengan mee rebusnya. Dahulu, ayah selalu membawa aku dan umi kesini. Restoran kegemaran ayah. Kata ayah, walau kemanapun dia pergi, tidak ada lagi yang standing mee rebus disini. Dek kerana sudah terlalu lama aku tidak menikmatinya, hampir saja aku mahu menambah pesanan untuk pinggan yang kedua. Tapi aku malu!
Usai solat Zuhur, aku teruskan perjalanan. Mengikut aplikasi 'Google Map' dan mengikut cara aku memandu, aku perlukan lebih kurang sejam setengah untuk sampai ke Beruas. Jujurnya, aku kekok memandu di sebelah kanan dek kerana terlalu biasa memandu di sebelah kiri. Jadi, meter memang tidak melebihi 80km/jam.
Aku memperlahan kereta sebaik saja sampai di simpang tiga pekan Beruas. Banyak yang berubah. Sudah ada lampu isyarat di simpang tiga ini.
Aku membelok ke kiri. Stesen minyak Shell masih lagi beroperasi seperti dulu. Cuma deretan kedai-kedai di sini sudah ada yang bertukar wajah. Masih adakah lagi 'roti benggali' yang diusahakan oleh salah seorang bapa kepada sahabatku? Atau hanya tinggal tapak sahaja?
Aku teruskan pemanduan sambil memandang ke arah kanan. Bimbang kalau-kalau rumah ayah terlepas pula. Payah untuk membuat pusingan 'U'. Aku harap pokok durian yang umi tanam dulu masih tegak berdiri. Ya, benih durian yang ayah ambil dari Bukit Merah. Sangat istimewa kerana benihnya telah diusahakan oleh keturunan ayah sejak dulu lagi. Aku? Memang tak pernah ambil tahu jenis durian. Asalkan durian, aku tak menolak.
Sebaik pasti rumah ayah, aku membei isyarat dan membelok ke kanan. Semak! Semuanya tak terurus. Lalang, daun kelapa dan juga daun pokok yang gugur memenuhi jalan masuk. Belum lagi buah kepala yang berselerakan membuatkan aku terpaksa memberhentikan kereta ditepi jalan besar dan keluar. Aku berjalan menyusuri semak samun untuk kerumah ayah.
Tatkala sampai di hadapan rumah tempat aku dibesarkan, segala-galanya hampa. Melihat keadaan sekeliling sudah cukup menjelaskan segala-galanya.
'Nampaknya ayah dan umi tak pernah balik semula kesini? Sejak dari kejadian itukah?' Omelku sendiri.
"Assalamualaikum..."
Suara salam yang menegur aku dari sebelah kiri membuatkan aku hampir saja menjerit kuat. Aku benar-benar terperanjat. Mataku terpejam serapat-rapatnya bersama nafas yang turun naik sambil mulut tak henti beristighfar dan berzikir.
"Anak ni cari siapa?" soalnya lagi.
Aku buka mataku perlahan-lahan. Memusingkan badan dan melihat siapa dia yang menegurku saat matahari tegak dikepala. Debaran dihati usah dicakap. Akal mula ligat berfikir. Dengan tangan yang kosong, apa yang mampu aku lakukan selain dari menjerit dan lari!
"Wa...waalaikumsalam. Saya cari tuan rumah ni." Jawabku tergagap-gagap. Tapi aku pasti dihadapanku ini adalah manusia bukannya seperti apa yang aku fikirkan.
Berbaju kurung kedah ditaburi bunga-bunga kecil dan berkain batik. Hanya tuala besar digunakan untuk menutup kepalanya. Sangat ringkas.
"Dah lama rumah ni tak berpenghuni." Jelasnya perlahan. Terdengar nafas dihela bersama keluhan.
Tapi... eh... nanti dulu. Aku amati wajah tua dihadapanku ini. Aku hampiri dia. Dan...
"Wan yong?" soalku. "Ini wan yong kan?"
"Siapa ni?" soalnya. Pelik barangkali.
"Wan yong tak kenal ke?" soalku lagi. Dia menggeleng.
"Ini Jannah, Wan yong. Jannah."
"Jannah? Jannah anak Rahman?"
"Iya. Ini Jannah, wan yong."
"Ya Allah! Allahuakhbar! Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah."
Tubuhku dirangkul dengan kudrat tuanya.
Tak berhenti Wan Yong mengucapkan syukur. Aku juga begitu. Pertemuan yang diluar jangkaan.
"Jannah dimana selama ni? Ke mana Jannah menghilangkan diri? Kenapa buat kami macam ni? Apa salah umi dan ayah? Apa salah kami sampai Jannah diam begini? Mengapa Jannah?"
Bertubi-tubi. Soalan demi soalan sebaik saja pelukan kami terlerai. Aku terbius bisu. Di mana harus aku mulakan penceritaanku ini. Fahamkah Wan Yong dengan semua yang terjadi? Fahamkah Wan Yong dengan apa yang telah aku alami?
"Jannah nak jumpa ayah dan umi. Wan Yong tahu di mana ayah dan umi?" Dengan tidak menjawab soalan darinya, aku pula yang bertanyakan tentang keberadaan ayah dan umi.
"Mari kerumah dulu. Kita cerita panjang. Mari!" Menjejer aku mengikut langkahnya yang perlahan itu apabila tanganku ditarik kemas.
Aku masuk ke rumah yang dulunya sering aku jadikan tempat persembunyian ketika umi marah atau aku merajuk. Disinilah, aku mengadu dan Wan Yong rajin melayan 'anak manja' ini. Kadangkala siap makan berhidang hingga ke dalam bilik, bila aku mulakan mogok lapar. Sejak kecil memang aku sudah dimanjakan oleh mereka semua.
Dulu rumah Wan Yong kosong saja. Perhiasannya tidak banyak. Ringkas. Senang kata Wan Yong kerana dia dan Ayah Chor selalu sibuk disekolah. Dua-duanya guru. Bukan seperti umi yang sememangnya seorang suri rumah.
"Minum, Jannah. Kebetulan Wan Yong buat kuih seri muka tadi untuk minum petang. Tiba-tiba macam terdengar bunyi pintu kereta ditutup. Bila jenguk dari pintu ni, nampak Jannah sedang berdiri. Itu yang Wan Yong beranikan diri datang dekat." Ceritanya.
Rajin Wan Yong. Walau tinggal sendiri masih lagi dengan rutin hariannya, menyediakan minum petang. Aku hirup air teh 'O' suam dihadapanku. Mata meliar memerhatikan sekeliling. Sunyi saja.
"Sunyi ya, Wan Yong."
"Biasalah. Dah bertahun macam ni. Mula-mula dulu janggal juga. Wan Yong dah biasa. Ingatkan dulu ada umi, bolehlah Wan Yong buat kawan bercerita bila dah tua-tua begini. Tapi...." Kata-kata Wan Yong terhenti disitu. Matanya legat memandang padaku memohon jawapan.
Aku tahu. Takkan setelah sekian lama, tidak ada satu soalanpun untuk aku. Bersediakah aku untuk menghuraikan satu per satu? Aku hanya lepaskan keluhan yang panjang.
"Apa sebenarnya yang dah jadi, Jannah? Cuba cerita pada Wan Yong. Merata kami cuba cari Jannah. Tak pernah putus asa. Tapi..." Sambung Wan yong lagi. Tak berputus asa.
"Panjang ceritanya, Wan Yong." Jawabku pendek.
"Wan Yong tahu. Cuba cerita pada Wan Yong. Bagi Wan Yong faham. Apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang menyebabkan Jannah menghilangkan diri secara tiba-tiba? Dan mengapa sebegini lama Jannah tak pernah balik seolah-olah Jannah dah buang kami semua."
Aku mengeluh. "Jannah tak tahu nak mula dari mana." Jawabku beralasan.
Aku tahu aku tidak mampu mengelak dari soalan ini tapi entah mengapa hingga kini aku masih belum cukup kuat untuk bercerita. Apatah lagi untuk berulang-ulang bercerita. Semuanya menyakitkan.
Mampukah aku menutup kemas setiap memori itu tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa?
"Jannah tahu Uzair dah kahwin lain? Dengan sepupunya yang sama nama dengan Jannah." Cerita Wan Yong yang membuatkan aku bertambah terkejut.
Sepupu abang Uzair? Siapa? Jannah Amani? Kepalaku tiba-tiba menyengat kuat.
"Jannah Amani?"