Sendirian. Aku kembali semula ke sini. Aku telusuri jalan yang sudah lama aku tinggalkan. Ya, tujuh belas tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Lihatlah dikiri dan kanan jalan, sudah banyak yang berubah. Hinggakan aku hampir saja kesesatan untuk sampai ke kawasan perumahan ini.
Aku keluar dari kereta dan memandang sekeliling. Aku memerhati persekitaran yang jelas berbeza. Ada sesuatu yang singgah dihati. Aku jadi berdebar.
Disini bermulanya kisah. Dan, sini jugalah akhir ternoktah. Bukan pintaku juga mahunya. Bukan juga takdir yang harus dipersalahkan. Cuma jodoh kami sudah tertulis begitu.
Jika dulu pasti aku akan banjir dengan airmata bila terkenang. Kini, aku sudah mampu menyimpannya jauh disudut hati. Bukan mahu melupakan cuma pabila kenangan datang menjengah, derita itu makin perit terasa. Lalu, biarkan saja ianya berlalu bersama bayu yang menderu.
Aku berjalan perlahan. Mendekati rumah yang terukir sejuta kisah. Kisah tentang hidupku bersama kebahagiaan yang tidak kesampaian. Apakah aku akan terus diusung duka?
Aku naiki tangga untuk ke tingkat satu. Semuanya masih sama cuma penghuninya saja yang sudah berganti. Aku berpaling ke kanan. Mata memandang kearah pintu kedua dari hujung. Berharap sangat agar kak Sham masih lagi menjadi penghuni disini. Itulah tujuan aku kemari sebagaimana yang aku khabarkan pada umi dan kak Balqis yang bertanyakan padaku pagi tadi.
Langkah kuatur perlahan dan kini aku berdiri betul-betul dihadapan rumah kak Sham. Debaran makin kuat terasa. Tangan kanan ku angkat dan pintu ku ketuk perlahan sambil memberi salam. Daun pintu terbuka dari dalam. Muncul seorang anak muda yang lebih tinggi dariku. Masing-masing terperanjat.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumsalam... "jawabnya lembut. "Ya? Cari siapa?" soalnya.
Aku menelan liur. Saat harapan terpasak setinggi langit, melihat realiti hadapan, masihkah aku mampu membina impian?
"Maaf kalau mengganggu. Saya mencari kak Shamsiah? Dia masih tinggal disini?"
"Kak Shamsiah? Ya, ini rumahnya tapi, cik ni siapa?" soal pemuda dihadapanku dengan kerutan didahi.
"Saya Jannah. Nurul Jannah."
Kaget! Dia seakan-akan memikirkan kata-kataku. Berulang kali dia mengulang menyebut namaku. Siapa dia? Takkan...?
"Aiman?" "Kak Jannah?" soal kami serentak.
"Ya Allah... Allahuakhbar! Kak Jannah! Apa khabar?" Nada suaranya kedengaran nyaring. Teruja!
"Ya Allah. Syukur alhamdulillah. Aiman! Tak sangka dah besar panjang! Akhirnya akak dapat juga jumpa dengan Aiman."
"Aimanpun macam tu juga. Aiman tak sangka akhirnya akak kembali semula ke sini. Eh, masuklah kak." Pelawanya.
Aku membuka kasut dan melangkah masuk. Walaupun keluasannya masih sama tapi hiasan dalamannya sudah berubah. Cantik! Sejak dulu kak Sham memang pandai menghias rumah. Letaklah apa saja, pandai saja tangannya menggubah. Pasti cantik dipandangan mata yang memandang.
"Ibu mana?"
"Ibu keluar. Sekejap lagi baliklah dia tu. Duduklah dulu kak. Nanti Aiman call ibu."
"Eh, tak payah susah-susah, Aiman. Biar saja akak yang tunggu dia." Jawabku sambil melabuhkan punggung diatas sofa berangkai tiga. Mata ini masih lagi meliar memandang sekeliling. Aiman duduk dihadapanku.
"Dah besar Aiman ya? Akak tak kenal tadi. Dah kahwin?" soalanku membuatkan dia ketawa besar.
"Kenapa mesti tanya dah kahwin ke belum? Tanyalah Aiman ni sihat ke tidak?" guraunya.