4

24 3 2
                                    

Benarlah telahanku. Dalam senyuman yang terukir ada sedih yang masih terperangkap dalam hatinya. Pada setiap langkah yang dia aturkan, masih ada kesal yang menemani. Ya, aku juga berharap agar dengan kehadiran zuriat kami ini, akan menamatkan 'hukuman' yang tidak ada penghujungnya ini.

Kami berdoa padamu, Ya Ilahi.

Trimester pertama aku lalui dengan kesukaran. Bukan sekadar berat kepala, tubuhku juga lemah akibat muntah yang berlarutan. Semalam, abang Uzair dan kak Shamsiah yang merupakan jiranku terpaksa berpagian diruang kecemasan hospital Kajang. Semuanya gara-gara aku yang pitam akibat muntah setelah makan pisang goreng.

Disaat ini, akal terus membawa aku mengingati seseorang. Umi. Ah, alangkah indahnya jika umi ada disisiku kala ini. Sekurang-kurangnya tangan umi bisa meredakan rasa berat kepalaku saat ini. Sungguh, aku mahukan umi saat ini.

"Umi... Jannah rindu. Rindu sangat-sangat." Bisikku perlahan. Airmataku mengalir lesu.

Abang Uzair terpaksa juga ke kilang kerana sudah dua hari menemaniku dirumah. Hanya pada kak Sham, jiranku yang baik dia tinggalkan pesan.

Kak Sham yang sudah kami anggap seperti keluarga sendiri seringkali menjadi sandaran pada kami yang masih ketandusan pengalaman lebih-lebih lagi dalam keadaan mengandung sulung.

Ibu tunggal yang begitu gigih menerjah kehidupan untuk membesarkan dua anaknya yang masih kecil, Aiman dan Nasuha. Diraut wajahnya yang sedikit dimamah usia tergambar beban yang terpikul. Namun riak senyuman yang sentiasa menghiasi bibir kadang sukar untuk menelah apakah derita itu sudah ada penawarnya.

Walau tidak kutahu apa yang sebenarnya terjadi padanya, tapi aku dapat mengagak. Seringkali kata yang terlafaz terselit rasa kesal pada perkahwinan tanpa restu hingga dia terpinggir disini. Melewati sisa hidup saat suami pergi selamanya dari sisi.

'Kak Sham, dapatkah Jannah menjadi sekuat akak yang kuat menongkah arus?'

Kupinjam kata-katanya, 'jangan pernah menyesal pada apa yang sudah berlaku kerana Allah tidak akan menguji kita diluar kemampuan. Terus melangkah kerana disebalik rasa sakit itu, Allah sentiasa ada.'

Aku gagahkan diri untuk bangun sebaik mendengat ketukan pintu hadapan yang kuat. Kak Sham pulang sebentar kerumah untuk siapkan makanan pada Nasuha yang perlu ke sekolah. Mahu tak mahu aku terpaksa bangun. Kepala yang kembali berpusing, membuatkan aku terduduk seketika dibirai katil.

"Allahuakhbar!"

Sambil mengambil tudung yang tersangkut dibelakang pintu, aku melangkah keluar untuk melihat siapa yang datang petang begini. Atau mungkin kak Sham yang datang. Tapi, bukankah abang Uzair sudah berikan padanya kunci pendua. Abang Uzair bimbang kalau-kalau aku pitam sendirian dirumah. Jika kak Sham tidak ketempat kerjanya, abang Uzair minta kak Sham datang menjengukku.

Terkejut. Itulah reaksi pertama dariku. Terus saja sakit ini lenyap ketika melihat tetamu yang tidak diundang berdiri dihadapanku.

"Jemput masuk, kak Bada... abang Indera..." pelawaku. Walau tiada senyuman yang dilemparkan untukku, tetamu wajib dilayan sewajarnya.

"Aku bukan kakak kau. Jadi, jangan panggil aku kakak. Uzair mana?"

Belum apa-apa lagi dah kena sembur. Aku langsung terdiam. 'Kalau tak boleh panggil kakak, nak panggil apa?' Gerutuku dalam hati. Aku menggaru-garu kepala yang tak gatal.

Tanpa dipelawa, mereka terus duduk. Aku pula yang mematung ditepi dinding. Tak tahu nak tanya apa. Mati kata-kata. Nanti diherdik lagi. Orang kalau dah tak suka, sampai kesudahpun tidak sudi memandang walau hanya dengan sebelah mata.

"Aku tanya ni, Uzair mana? Dah bisu ke nak menjawab?" soal kak Bada. Keras. Lagak orang kaya saja. Oh, sememangnya mereka kaya. Siapa yang tidak kenal dengan keluarga mertuaku. Pantang ada yang mahu menjual tanah, pasti merekalah orang yang dicari. Tanpa banyak cerita, mereka akan membelinya. Aku tahupun ketika mendengar ayah bercerita pada umi tentang pembelian tanah dihujung jalan kampung. Tanah pusaka Nek Yam yang selama ini menjadi rebutan anak-anaknya. Akhirnya, bertukar milik pada ayah mentuaku.

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now