Syukur alhamdulillah. Allah mudahkan segalanya untukku. Dengan bantuan abang long, abang Amar juga Aiman, aku dapat kumpulkan beberapa maklumat tentang abang Uzair dan Chempaka. Dimana tempat tinggalnya dan juga dimana Chempaka bersekolah. Maklumat yang disertakan gambar terkini.
Melihat dirinya walau hanya dari sekeping gambar, yang tak pernah kuasuh tika kecilnya membuatkan rindu dihati semakin memberat. Jika ku turut rasa ini, mahu saja aku pergi dan bersemuka dengan abang Uzair. Membongkar segalanya agar mereka tahu yang aku sangat menderita dan kerinduan.
Mengertikah mereka betapa aku sengsara? Biarpun saat itu aku lepaskan dia pada yang berhak, namun separuh rela aku melepaskannya. Kerana terpaksa. Kerana saat itu, aku tidak berdaya. Sejak itu, apa yang terlihat diwajahku bukanlah menggambarkan apa yang terhampar dalam jiwaku. Duka yang bersenandung sering berirama pilu. Tangisan dihati kutelan dalam kepasrahan.
Dari maklumat itu, abang Uzair kini berada di Bangi. Tempat yang menjadi sejarah buat kami berdua. Pelik? Mengapa harus dia kembali dan menetap disitu semula? Bukankah dulu dia yang berkeputusan untuk pergi? Mengapa kini dia kembali semula ke tempat yang menyimpan kenangan kami?
"Jannah mahu akak temankan?" soal kak Balqis ketika kami sedang menonton TV.
"Tak perlu, kak. Lagipun, Jannah mahu lihat dari jauh dulu. Nak pastikan betul-betul. Chempaka tak pernah kenal Jannah. Dan, Jannah tak tahu samada dia tahu atau tidak yang Jannah ini mamanya. Jannah bimbang dia terkejut. Jannah takut dia fikir yang bukan-bukan nanti."
"Abang setuju tu, Jannah. Takut nanti lain jadinya. Persepsi orangpun kena ambil kira juga. Sekarang ni kes menculik remaja sekolah, semakin menjadi-jadi. Takut-takut salah anggapan, orang kata Jannah nak menculik pula. Dah jadi kes polis." Peringat abang Amar.
Aku bersetuju juga dengan pendapat abang Amar. Semua faktor perlu aku fikirkan. Walaupun hati meronta, aku harus bersandar pada kenyataan. Bertongkat pada bayang bimbang membawa rebah.
"Jadi, bila Jannah akan pergi?"
Aku hanya mengangkat bahu. Tidak dapat kupastikan lagi.
"Esok, Jannah nak ke café D'Melur dulu. Dah janji dengan Ezah."
"Are you sure?" soal kak Balqis.
Umi yang ada dihadapanku juga turut memandang padaku. Aku mengangguk beberapa kali.
"Jangan bimbang, umi."
"Umi tak kisah. Umi cuma mahu Jannah gembira. Bahagia. Umi selalu berdoa untuk Jannah dan anak-anak umi."
Itu sudah mencukupi. Doa umi. Doa ayah. Tidak mampu untuk menandingi apapun yang ada didunia ini. Aku pernah berpaling seketika dari mereka. Cukup membuat perjalanan hidupku terasa hambar. Seakan pincang. Walaupun aku punya segala, masih ada yang tidak mampu untuk menggembirakan hatiku. Jiwaku rasa kosong.
Seawal pagi aku sudah keluar dari rumah. Aku mahu sampai awal disana. Mahu membantu mana yang perlu. Teruja? Sudah pasti.
Aku tiba lewat dek kerana kesesakan dan hujan yang mencurah dipertengahan jalan. Sudah dapat ku jangka akan kelewatan ini sementelah terpaksa bersaing dengan mereka berburu ke tempat kerja.
Jam sembilan pagi. D'Melur sudah dibuka. Seingat aku, Ezah ada memberitahu dia akan memulakan perniagaannya seawal jam tujuh tiga puluh pagi. Disebabkan cafénya terletak dijalan yang menghubungkan beberapa bangunan dan pejabat, memulakan operasi seawal yang mungkin adalah salah satu tarikan dan tumpuan untuk mereka yang ingin mendapatkan sarapan pagi. Lagipun, harga yang ditawarkan oleh café D'Melur jauh lebih murah berbanding dengan café yang lain.