16

32 3 2
                                    


Mata terarah memandang lelangit kala baring begini sedangkan akal masih merawang memikirkan hal yang lain. Ya, menghubungi abang long. Cuma kala ini, hatiku sedikit gentar.

Bagaimana penerimaan abang long nanti. Marah? Atau abang long akan memutuskan talian? Bagaimana kalau abang long tidak mahu membantu dan mengusirku sekali lagi? Bagaimana kalau...

Tiba-tiba aku jadi takut. Takut memikirkan reaksi abang long. Takut memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Ya Allah, bantulah aku...

Sebu perut untuk aku menjamah apapun. Seleraku seakan mati. Apatah lagi untuk turun ke restoran. Malas! Sudahnya, aku hanya memesan dari 'room service' sahaja yang akhirnya aku hanya mampu memandang. Untuk menelan, entah kenapa aku rasakan ada sesuatu yang menyekat ditekak.

Usai Isyak, aku masih memegang telefon. Tertera nama abang long yang sudah aku simpan dalam senarai panggilan. Hanya menanti untuk menekan butang hijau sahaja. Itupun kurasakan payah. Tubuhku dibasahi peluh sedangkan ruang bilik ini semakin dingin.

Ya Allah, seharusnya aku kuat. Bukankah ini yang Engkau mahu aku melaluinya? Mengapa masih ada rasa ragu?

Kukuatkan hati. Deringan yang pertama. Tidak bersambut. Aku terus menanti. Berdebar. Resah. Gelisah.

Bagaimana kalau abang long tidak menjawab panggilan ini?

"Assalamualaikum..." Dup! Serasa jantungku berhenti berdenyut. Suara perempuan.

"Wa...waalaikumsalam. Hmm... Boleh saya bercakap dengan Shahir?"

"Shahir?"

"Ya."

"Siapa ni?"

Belum sempat aku menjawab, kedengaran suara abang long menyapa bertanyakan sesuatu.

"Tak tahu. Dia nak bercakap dengan abang." Jawab perempuan yang menjawab panggilanku.

"Assalamualaikum..." Kali ini telefon sudah bertukar tangan. Suara abang long kedengaran dihujung talian.

Sebak rasa hatiku tiba-tiba. Rindu! Ya Allah, sudah terlalu lama.

"Waalaikumsalam. Abang long." Tergagap-gagap aku menjawab salamnya. Kutahan tangisan yang ingin bertandang.

"Siapa ni?"

Liur ku telan payau. "Ini Jannah, abang long."

"Siapa?" soalnya sekali lagi. Mungkin dia terkejut atau inginkan kepastian agar dia tak salah mendengar.

"Jannah."

"Jannah?"

"Ya, abang long. Ini Jannah. Adik abang long." Jawabku sedikit tegas.

"Ya Allah! Allah... Allah... Allah... Jannah! Jannah! Jannah dimana, dik." Terdengar suara abang long yang begitu teruja bila ku sebut namaku buat kali yang ketika. Meyakinkan dia yang dia tak salah mendengar.

"Ada. Disini." Airmata yang cuba kutahan tidak mampu lagi untuk terus bertahan. Lalu merembes laju membasahi pipiku. Aku tersedu.

"Jangan menangis, Jannah. Disini? Disini tu dimana? Beritahu abang long. Abang long datang ambil Jannah sekarang. Beritahu saja Jannah dimana?" Soal abang long tanpa henti.

"Betul abang long akan ambil Jannah?" Soalku sedikit tidak pasti. Bimbang andainya abang long menyimpan rasa amarah walaupun yang kedengaran hanyalah suara keterujaannya.

"Jannah beritahu saja dimana Jannah berada. Abang long datang sekarang juga."

"Jangan! Esok saja abang long. Dah malam sangat ni. Jannah tunggu abang long disini. Jannah ada di Cyberview, Cyberjaya."

"Jannah tunggu abang long ya. Jannah jangan pergi kemana-mana. Tunggu sampai abang long datang."

"Baik abang long. Jannah tunggu."

Itu saja yang mampu terucap bila aku makin larut dalam tangisan yang menggila. Ya Allah, sungguh besar anugerahMu hinggakan tidak mampu untuk aku zahirkan dengan kata-kata. Dan, airmata inilah jawapannya. Yang gugur ini adalah titis kegembiraan yang aku nantikan selama ini.

Aku terduduk dibirai katil. Menangis dan terus menangis bagai tiada hentinya. Tiada kata yang dapat aku luahkan. Andai dapat kukira setiap detik yang berlalu, pasti akan aku hitung satu per satu.

Jannah... sedikit saja lagi. Bersabarlah.

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now