Akal. Biarpun aku cuba menidakkan, fikiran ini tetap memikirkan masalah yang baru timbul. Sepanjang perjalanan pulang, fikiranku menerawang memikirkan tentang lamaran abang Uzair dan perasaan Ethan. Tidak pernah aku menyangka akan berada didua persimpangan yang memerlukan aku membuat pilihan. Terpilih atau dipilih, siapa yang akan terluka lagi?
Ethan. Hadirmu bagaikan mentari yang memancar diwaktu siang. Menghangatkan. Laksana bulan yang selalu setia pada malam. Mendamaikan. Saat aku tenggelam dalam derita perasaan yang bagaikan tak berpenghujung, kau tetap menjadi pendamping setia. Kesetiaanmu tidak dapat aku hitung biarpun hujan yang turun menyimbah bumi itu bisaku kira titisnya. Dirimu selalu ada saban waktu. Aku masih lagi teraba mencari kasih tersua, sedangkan engkau sudah nampak cahaya didalamnya. Bisakah aku meletakkan harapan hanya pada sinaran yang memancar?
Ethan, aku tahu. Dirimu sedang memintal benang kasih lalu menyulamnya untuk dijadikan hamparan cinta kita. Cuma, detik ini, aku masih lagi mencuba untuk meleraikan simpulan yang masih tersimpul erat. Aku masih lagi terkial-kial untuk mengaitkan benang kasihmu dengan jiwaku. Bukan aku buta untuk menilai dimana erti keikhlasan cuma entahlah. Aku tidak mengerti mengapa sehingga kini aku masih belum mampu untuk menjemput dirimu mendiami seluruh naluriku. Adakah kerana aku masih terbelenggu dengan cinta lama?
Abang Uzair... kasih semalam masih hangat dalam ingatan. Engkau membawa aku kesatu daerah yang tak pernah aku lalui. Segala-galanya aku rasakan tika bersamamu. Yang manis, yang indah dan juga yang memeritkan. Walaupun derita itu menjadi hadiahnya, percayalah, hingga detik ini aku masih sukar melenyapkan dirimu dari hatiku. Aku masih payah untuk menjemput benci agar aku dapat membenci dirimu. Walaupun aku tersiksa, aku tidak pernah membuang dirimu jauh-jauh dari jiwaku.
Cuma, perasaan itu sudah tidak sama. Tiada lagi rasa cinta yang membara. Tiada lagi rasa rindu yang mengasyikkan, sayang yang mendesah saban detik. Rasa itu sudah menjauh. Apakah aku mampu untuk menyambung kembali kasih kita yang sudah lama terputus? Benar, engkau masih ada dalam hati ini. Tapi, untuk menyemai cinta baru, aku tidak pasti. Ada hati yang perlu dijaga. Ada jiwa yang akan parah terluka. Ada bimbang pada kasih akan kita bina. Adakah nanti akan gugur jua akhirnya? Adakah aku mampu bertahan untuk kali kedua?
Hati ini hanya satu. Pernah disayangi. Pernah dikasihi. Pernah dicintai. Dan ingatlah, ianya juga pernah dilukai. Dulu. Payah aku merawat luka.
Dalam pelarian ini, aku tidak mahu terus meredah derita. Jalanan berduri itu sangat menyakitkan. Pedih dan memeritkan. Hanya sekali, biarkanlah aku terus begini. Sendirian dalam melewati hari-hariku, sudah cukup membahagiakan. Hanya dengan memikirkan umi dan Chempaka, aku sudah bisa tersenyum semula. Hanya mereka yang bisa membuatkan aku bahagia. Merekalah yang selalu mendamaikan jiwa. Bukan dia dan juga dia.
Tanpa sedar, airmata ini menitis lagi. Kali ini, aku sendiri tidak pasti sebabnya. Tidak pernah aku terfikir untuk melewati semua ini. Tersepit antara dua jiwa. Pada dia yang pernah aku sayang. Pada dia yang membuat aku kembali menyayangi. Tapi hatiku ini satu.