47 - Part 1 (unedited)

17 2 0
                                    

Aku berpaling dan memandang umi yang masih lagi lena dalam tidurnya. Mengantuk sangat barangkali. Hampir jam satu pagi baru kami melelapkan mata. Banyak yang kami perkatakan. Harapannya, impiannya dan banyak juga pesanannya. Hinggakan aku tertidur dalam dakapannya yang membawa lenaku hingga kepagi tanpa sedar. Jam berdering membuatkan mataku terbuka. 5 pagi.

Aku kejutkan umi. Bersedia untuk subuh. Nampaknya payah untuk umi membuka matanya pagi ini.

"Kenapa umi? Tak sihat?" soalku bila nampak dia memicit-micitkan kepalanya.

"Pening sikit."

"Boleh bangun tak?"

"Boleh." Aku membantu umi bersandar sebentar dikepala katil. Umi melemparkan senyumannya.

"Berkalih tempat kot. Umikan tak biasa kalau bertukar bantal. Semalam Jannah lupa ambil bantal umi. Terus hanyut tak sedar apa." Ujarku sambil tertawa kecil.

Umi juga tergelak halus. Pipiku ditampar perlahan. "Tak apa. Sikit saja ni. Mari, bantu umi. Umi nak mandi. Mungkin nanti sakit ni hilang bila dah kena air. Amin."

Aku memapah umi ke bilik air. Jauh sedikit dari bilikku. Kalau bilik umi memanglah dekat. Sengaja umi duduk dalam bilik yang terletak didapur. Aku tahu kak Balqis serba salah mulanya. Tapi, umi berkeras kerana mudah untuknya ke bilik air. Akhirnya, kami bersetuju.

Aku mandikan umi walaupun dia menghalang. Aku bimbang dia pitam dalam bilik air nanti. Darah umi yang kerap naik itu membuatkan dia terpaksa mengambil ubat secara berjadual.

Aku jirus air dan membasahkan rambut umi perlahan-lahan. Nampak dia menggigil sedikit. Aku gosok badannya dengan sabun. Dia hanya memandang padaku. Legat. Kami berbalas senyum.

Usai memandikan umi, aku minta dia tunggu aku sebentar untuk aku bersiap. Aku mahu berjemaah dengannya pagi ini. Dan dipertengahan jalan, aku nampak abang Amar dan kak Balqis sudah lengkap berpakaian solat. Aku minta mereka menunggu aku sebentar.

Hidup, walau apa pun yang terjadi harus diteruskan. Suka dan duka pasti akan datang silih berganti. Laluilah dengan hati yang terbuka.

"Pagi-pagi dah termenung. Ingatkan siapa?" sergah Ezah. Terkejut aku. Mencerun mataku memandangnya.

"Kau ni kenapa? Pagi-pagi dah mengejutkan orang. Dah tak ada kerja?" soalku. Sengaja aku keraskan suara.

"Tak ada. Kau ingatkan Ethan ye?" Terus saja dia mengusikku. Langsung tak diendahkan aku yang sudah menjegil mata padanya.

"Macamlah aku ni tak ada kerja lain yang nak dibuat selain ingat pada dia dua puluh empat jam."

"Manalah tahu."

"Tak ada maknanya. Banyak lagi kerja yang aku nak buat."

"Orang baru nak belajar bercinta ni, lain sikit."

"Apa yang lainnya? Aku sama aje."

"Eleh! Macamlah aku tak tahu." Ezah terus-terusan mengusik. Penat aku melayan. Tapi, sebenarnya dialah yang membawa ceria dalam hidupku. Yang membuatkan aku bisa ketawa semula. Aku sangat berterima kasih pada sabahat baikku ini.

"Abang Uzair masih mengharap." Ujarku perlahan. Aku terdengar Ezah mengeluh.

"Habis tu kau?"

"Hati aku sudah aku beri pada orang lain. Takkan aku nak minta semula. Itu buruk siku namanya." Sengaja aku bersenda untuk membuang rasa tidak enak dalam hati.

Ezah tertawa kecil. Tapi bagaikan terpaksa.

"Apa pun keputusan kau, aku hormati, Jannah."

"Apa yang telah diputuskan, itulah hingga keakhirnya. Takkan pernah berubah. Aku dah cakap pada dia, akan ada yang terluka dan dilukakan. Aku harap dia mengerti."

Ezah terangguk-angguk tapi dia tidak membalas kata.

"Amani juga dah jumpa dengan aku." Kali ini pandangannya pula mencerun kepadaku. Tajam sekali!

"Apa? Bila? Di mana? Kenapa aku tak tahu? Dia serang kau?" Macam peluru soalan yang keluar dari mulut Ezah.

"Semalam. Lepas abang Uzair balik. Aku bawa dia ke tempat lain. Aku takut kau serang dia pulak. Aku rasa pada mulanya dia memang nak serang aku. Tapi, setelah berbincang, kami okay. Alhamdulillah."

"Kau jampi dia ke?"

Meletus ketawa aku dibuatnya. Ada ke patut dia tuduh aku begitu.

"Kau ingat aku pergi dari sini tu, aku pergi bertapa? Menuntut ilmu ghaib?"

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now