Abdullah??
Apakah??
Tanganku menutup mulutku yang sudah ternganga luas selepas membaca email dari Ethan. Jujur, sukar untuk aku mempercayainya tapi hatiku menidakkan untuk aku berkata TIDAK! Apakah benar yang Ethan kini sudah menjadi seorang muslim? Apakah ini kiasannya padaku? Andainya benar, Ya Allah, aku bersyukur kehadratMu.
Ya Allah, lindungilah dia. Terangilah hatinya. Peliharalah setiap langkahnya. Semoga dia terus istiqomah dijalanMu, Ya Rab. Moga dia disinari dengan hidayahMu.
Aku tidak mahu bertanyakan apa alasannya. Aku bersyukur kerana dia akhirnya disinari hidayah Allah. Cuma ketika ini aku terkilan kerna tiada disisinya saat syahadah itu terlafaz dari bibir. Ethan, doaku takkan pernah putus agar engkau sentiasa terpelihara iman. Amin.
Pencarian ini belum menemui titik mula. Aku harus fikirkan apa yang perlu aku lakukan seterusnya. Disamping itu, aku sudah berbincang dengan umi dan ayah untuk mencari tempat teduh buat kami. Bukan tidak mahu tinggal bersama kak Balqis tapi ada yang membatasi. Adat orang datang bertamu, tidak boleh berlamaan. Takut nanti menjadi beban.
Biarpun umi dan ayah nampak kurang bersetuju, tapi bila aku suarakan ketidakselesaanku terutamanya ketika abang Amar dirumah, mereka memahami. Ya, antara aku dan dia masih ipar. Ada aurat dan tingkah yang perlu dijaga. Apapun, aku berjanji, ini hanya rancangan yang akan dilaksanakan sebaik saja semua urusanku selesai.
"Jannah keluar sekejap saja, umi. Jangan risau," ujarku pabila terpandang raut wajah umi yang kerisauan. Melihat aku bersiap ala kadar mata umi mula menjalar dari atas ke bawah. Tak perlu dia menyoal aku sudah menebak benaknya.
"Jannah nak jumpa Ezah. Jannah nak minta kerja dengan dia." Selorohku. Umi tetap tidak tersenyum.
"Kalau Jannah nak pakai duit, umi ada. Nanti umi bagi."
Aku tertawa. "Kesitu pulak umi ni. Takkanlah dah besar panjang ni, nak minta duit dari umi pulak. Sepatutnya Jannah yang beri umi duit."
"Kalau itu yang Jannah bimbangkan, tak apa. Umi tak kisah. Gunalah. Tapi, umi tak mahu Jannah pergi mana-mana."
"Umi... umi... dengar sini. Jannah nak pergi jumpa Ezah. Bukan nak balik London. Umi jangan risau. Lepas jumpa Ezah, Jannah baliklah. Okay? Lagipun, Jannah nak minta tolong suami Ezah, Iezat tu untuk carikan kak Sham. Manalah tahu kalau-kalau dia boleh bantu."
Dapatku lihat umi menarik nafas lega. "Nanti bila ayah bangun, umi cakap pada ayah, ya. Jannah tak mahu kejutkan ayah. Biar ayah berehat."
Usai bersarapan, ayah kata dia mahu baring dibilik. Penat. Jadi, sebelum ketempat kerja, abang Amar memimpin ayah kebilik. Syukur padamu Ya Allah, disebalik kekurangan pasangan ini kerana masih belum dikurniakan zuriat, kasih yang tertambat utuh dan ampuh. Bagaikan tidak akan lerai walau ada yang membadai.
Doaku agar kalian terus bahagia.