"Ceritalah Jannah. Dari manapun, kami mahu dengar dari Jannah sendiri. Selama ini, semuanya seakan tergantung." Ujar kak Hanis. Semua yang ada didalam rumah kak Balqis bagaikan bersetuju dengan anggukkan.
"Jannah tak tahu nak mula dari mana."
"Apa yang jadi sebenarnya? Mentua Jannah datang sambil hulurkan surat cerai. Kami terkejut! Yang lebih pedih lagi, dia kata Jannah yang nak bercerai. Jannah yang tinggalkan Uzair dan pergi entah kemana." Cerita Kak Hanis lagi. Diantara kami adik beradik, kak Hanis memang seorang yang lantang bersuara.
Aku menelan liur. Pahit!
"Macam Jannah cakap pada abang long pagi tadi. Biarpun bukan keluar dari mulut abang Uzair sendiri, cukuplah dengan sepucuk surat darinya. Walaupun memang niat asal, Jannah yang inginkan perpisahan, tapi apa yang terjadi sebaliknya. Jannah reda. Lebih baik begini. Jannah melangkah tanpa rasa terbeban. Tanpa rasa berdosa. Biarlah apa anggapan mereka, yang pasti Jannah tahu apa yang Jannah buat."
"Tapi kenapa sampai bercerai?" soal kak Balqis pula.
"Hidup kami bukan tak bahagia. Sangat bahagia. Abang Uzair baik. Dia sayang pada Jannah. Dia lindungi Jannah dari terluka. Dia buat yang terbaik pada Jannah walaupun masa tu hidup kami sendiri serba kekurangan. Tapi, bila kak Bada datang dan khabarkan ibu sakit, segalanya berubah."
Ku ceritakan satu per satu. Apa yang terjadi. Apa yang aku lalui. Apa yang membuatkan aku nekad untuk berpisah.
"Mujur ada insan yang baik. Terlalu baik. Bonda Sharifah sekeluarga dan kak Sham. Merekalah yang banyak membantu Jannah."
"Kenapa Jannah tak hubungi kami? Tak call abang long? Kak Balqis atau sesiapa saja?"
"Jannah malu, abang long. Malu sangat! Jannah fikir ayah dan umi masih marah dengan Jannah. Selebihnya, mungkin inilah balasan dari Allah pada Jannah kerana menderhaka."
"Jannah, jangan cakap begitu, Jannah." Tegur umi.
"Maaf umi. Tapi masa tu, itulah yang Jannah rasa. Bila fikir semula, Jannah rasa macam tak percaya yang Jannah dapat lalui dugaan itu."
Dan yang menjadikan keadaan semakin meruncing, bila ibu dan kak Bada datang untuk ambil Chempaka. Bukan ambil tapi mereka rampas Chempaka dengan kasar. Mereka culik anak Jannah. Mereka kejam. Mereka tolak Jannah sampai Jannah tumpah darah semula. Sampai Jannah masuk hospital. Mereka buat Jannah sampai kemurungan."
Tiba-tiba tubuhku terasa sakit. Menyengat tiap kali aku terkenang kisah itu.
"Jannah tak buat laporan polis ke? Itu dah jadi kes culik. Mahkamah dah tentukan hak Chempaka pada Jannah. Mengapa mereka tergamak buat macam tu?" Soal Kak Balqis.
"Jannah tak pasti, kak. Memang Jannah ada buat laporan polis. Memang ada kes bila kak Sham dan Bonda menjadi saksi. Juga beberapa orang jiran. Ramai yang ingin bantu Jannah tapi..."
Aku menelan liur sebelum meneruskan kata-kata.
"Tiba-tiba Jannah padamkan niat. Bukan tidak mahu mempertahankan hak. Bukan mahu berpisah dengan anak tapi ketika itu Jannah tahu Chempaka selamat. Jannah tahu Chempaka ada dengan abang Uzair. Jannah fikir sedalam-dalamnya. Bukan mudah untuk Jannah buat keputusan. Tapi, memikirkan keadaan Jannah yang masih terumbang ambing ketika itu, Jannah tahu abang Uzair akan berikan yang terbaik untuk Chempaka. Jannah tahu abang Uzair akan sayang Chempaka dengan seluruh raganya. Jannah yakin."
"Tapi, bagaimana dengan Jannah sendiri?"
"Semua terkejut dengan keputusan Jannah. Bonda dan kak Sham berkali-kali minta Jannah fikirkan semula tapi Jannah nekad. Jangan fikir Jannah mahu lepaskan tanggungjawab pada abang Uzair. Jannah sendiri terluka. Berpisah dengan Chempaka seumpama nyawa sedang ditarik dari tubuh Jannah.
Tapi, memikirkan keadaan Jannah yang semakin tak berdaya, Jannah malu untuk terus meminta tolong pada Bonda. Bergantung pada orang. Selama Jannah hamil, dialah yang banyak membantu selain kak Sham. Masa abang Uzair tinggalkan Jannah, hidup Jannah terumbang-ambing. Sampai bila Jannah mahu terus mengharapkan pertolongan orang. Jadi, ketika itu, Jannah fikir itulah keputusan yang terbaik agar kehidupan Chempaka terjamin."
"Jadi, selama ini Jannah dimana?" soal abang long.
"Melihat keadaan Jannah yang semakin teruk, Bonda sarankan Jannah ikut kak Yati. Kebetulan abang Mahmood diarahkan bertukar ke Indonesia dan kemudian Melbourne. Jadi, Jannah tinggal disana untuk beberapa tahun sebelum berpindah ke London sampailah sekarang."
"Jadi, Jannah di London?"
"Ya."
"Tapi dah banyak kali kami kesana, kenapa kita tak pernah jumpa ya?" soal kak Balqis.
"Sebenarnya, Jannah di London kejap saja. Kemudian Jannah berpindah ke Bath sampailah sekarang. Jannah rasa sesak tinggal ditempat yang terlalu ramai orang."
"Selama Jannah berkelana takkan sekalipun Jannah tak pernah tergerak hati mencari kami diinternet? Cuba menghubungi keluarga disini? Setidaknya, mencari Chempaka?" soal kak Hanis.
Ya, sesiapapun pelik dan akan tanya perkara yang sama. Maklumat sudah dihujung jari. Segalanya kemudahan ada. Apalagi yang aku nantikan?
"Jujurnya, Jannah pernah terfikir begitu. Tapi, ada yang menghalang untuk Jannah berbuat demikian."
Beban kesalan yang aku pikul selama ini. Beban doasa yang tidak terampun. Juga, aku harus mempersiapkan diri dalam peperangan perasaan yang entah bagaimana pula nanti. Semuanya aku fikirkan.
Mungkin ada yang menganggap aku bodoh kerana menanti selama belasan tahun untuk kembali sedangkan aku tidak perlu membazirkan masa yang ada. Aku tidak perlu terus leka dalam hanyutan perasaan. Berkata memang mudah. Tapi untuk berdepan dengan semua ini tidak semudah kata yang terlafaz. Andainya mudah, sudah lama aku kembali.
"Dan, apa yang membuatkan Jannah tergerak hati untuk balik kesini?"
"Allah yang gerakkan hati Jannah. Jannah selalu teringat pada umi dan ayah. Pada semua. Juga pada Chempaka. Sampaikan Jannah tak boleh fikirkan benda-benda lain. Jadi Jannah fikir mungkin inilah masa yang terbaik untuk Jannah balik. Untuk Jannah mendapatkan semula hak Jannah. Mungkin kekuatan tu dah ada untuk Jannah berdepan dengan apa yang akan berlaku nanti."
Aku sapu airmata yang mengalir. Cukuplah. Aku harap inilah yang terakhir. Untuk kisah duka ini dan juga airmata. Tidak mampu untuk aku hamparkannya sekali lagi.
Jujur, ketika itu aku tidak berdaya. Bukan untuk melepaskan tapi aku tahu dia mampu memberikan yang terbaik untuk permata hatiku.
Bukan sepenuhnya aku menyerahkan hak pada dia. Tidak ada sekelumitpun perkataan rela. Tapi memikirkan kehidupan sendiri yang terumbang ambing, aku tidak mahu dia tahu erti derita. Bukan kehidupan dia untuk aku pertaruhkan demi ego dan maruah. Ketika itu, aku hanya memikirkan tentang nasibnya.
Benar, Allah Maha Mengetahui. Namun, naluri hati seorang ibu juga tidak dapat aku ketepikan. Aku tahu dia akan terpelihara dengan sempurna.