"Masih ada yang tertinggal?" soal kak Balqis ketika kami berdua didapur. Aku yang tidur dibilik yang dihuni umi dan ayah keluar sebentar untuk minum.
"Tertinggal? Maksud akak?"
"Cerita Jannah?"
"Tak ada."
"Betul ni?"
"Kenapa akak tanya begitu?"
"Jannah tidak berdendam?"
"Dendam?"
"Ya. Dendam. Insan yang paling Jannah sayang dirampas depan mata. Ikatan yang Jannah bina terputus tanpa kerelaan. Apakah tiada dendam dihati Jannah?"
"Entahlah, kak. Dendam? Susah untuk Jannah cakap. Tapi untuk menghulurkan kemaafan, terlalu berat untuk Jannah lakukan. Jannah tak tahu macam mana nak hulurkan maaf, seikhlasnya."
"Akak faham."
"Derita itu tetap perit, kak. Jannah usung setiap saat sampaikan satu masa Jannah rasa dah tak mampu nak bernafas. Kekuatan tu dah tak ada. Jannah rasa lemah sangat. Cuma ketika tu, ada Naim. Mujur ada dia. Kalau tak ada dia, entahlah."
"Naim? Siapa Naim?"
"Anak susuan Jannah. Anak kak Yati. Kebetulan waktu tu kami sama-sama hamil. Kak Yati dapat sepasang anak kembar. Tapi, Allah lebih sayangkan Sofea. Dia meninggal bila jantungnya ada masalah. Ketika kak Yati ulang alik ke hospital, Jannah susukan Naim. Walaupun tak sama, tapi kasih Jannah tetap sama pada dia, kak. Dialah yang menjadi penyelamat."
"Sabarlah, Jannah."
"Itu saja yang tinggal untuk Jannah. Kalau ikutkan hati, dah lama Jannah mati."
"Jangan begitu. Setiap yang berlaku itu bersebab. Allah tahu Jannah kuat untuk melaluinya."
Membaitkan kata memang terlalu mudah. Tapi, untuk melangkah dijalan yang penuh duri ini, amat memeritkan. Luka dikaki, parutnya jelas kelihatan inikan pula dihati. Ku pendam biarpun makin parah.
"Oh ya, Jannah terlupa. Esok akak teman Jannah ambil kereta di hotel, boleh?"
"No problem. Jadi, apa rancangan Jannah."
"Cari rumah kot."
"Rumah? Untuk apa?"
"Yalah, takkan nak tinggal disini?"
"Jangan nak mengada-ngada. Duduk saja disini."
"Tapi, abang Amar?"
"Tak ada tapi-tapi. Tinggal saja disini. Abang Amar lagi suka. Kalau Jannah keluar, bukan Jannah saja yang kena marah, akak sekali tau! Jangan nak pandai-pandai buat keputusan sendiri."
"Amboi! Garangnya!"
"Macam Jannah cakap, pengalaman tu mengajar kita. Sekarang akak belajar dari pengalamanlah."
"Ewahhh..."
"Sudah... sudah... dah pagi ni. Pergi tidur. Takkan 'jet-lag' lagi?"
Aku tertawa kecil mendengar sindirannya.
Bahagia? Ya, aku sedang bahagia. Dikelilingi oleh ahli keluarga adalah momen terindah. Sukar diungkapkan. Inilah yang aku harapkan sebaik saja aku kembali kesini. Syukur padamu Ya Allah biarpun pertempuran jiwa ini masih belum ternoktah. Masih ada urusan yang belum selesai. Namun, nikmat yang sedang aku kecapi ini, tidak dapat aku nafikan.
Tiba-tiba, aku teringat sesuatu.
Aku tidak terus lena. Perlahan aku melangkah dan mengambil telefon bimbit didalam bilik. Keluar semula dan duduk dimeja makan.
Jari telunjuk menekan ikon 'Gmail' diskrin. Dan aku mula menaip.
Ethan,
Memang sukar. Tapi inilah yang terbaik ketika ini. Syukur, aku sudah bertemu kembali dengan seluruh keluargaku dan kemaafan itu masih ada untukku. Alhamdulillah. Aku gembira. Dengan itu aku berkeputusan untuk menetap disini buat sementara waktu. Selain dari umi dan ayah yang terlalu mengharapkan aku tidak kepergian lagi, aku juga masih ada urusan yang belum selesai.
Ethan,
Pencarian ini belum ada noktahnya. 'Dia' tidak lagi aku temui. Aku kepingin untuk bertemu dengannya walau hanya sekali. Jadi, maafkan aku teman kerana sekali lagi terpaksa menyusahkanmu. Aku tahu kamu selalu ada untukku. Aku tahu kamu tidak mengharapkan balasan. Hanya Allah yang bisa membalas jasamu. Dan aku, hanya mampu mengucapkan terima kasih atas pertolonganmu.
Ethan,
Maaf aku tidak sanggup untuk berbicara denganmu secara tulus. Jadi, hanya email tempat aku menyampaikan maksud hati. Aku tahu kamu akan kecewa. Dan aku tidak sanggup menerima kekecewaanmu. Teman, seandainya ada waktu, insya Allah, kita akan bertemu lagi.
Ikhlas,
Nurul Jannah
'Send'.
Ethan,
Satu hari engkau akan mengerti. Satu hari engkau akan tahu. Cuma saat ini, diamku lebih menjaga hati agar tidak terus terluka dengan sejuta alasan yang aku berikan padamu.