"Marilah. Abang long dah beritahu kak Balqis lepas Jannah call abang long malam tadi. Ikutkan dia, malam tadi juga nak pergi jumpa Jannah tapi abang long yang tak benarkan. Biar abang long yang jumpa dulu. Dia dah tak sabar nak jumpa adik kesayangan dia. Takkan Jannah tak mahu jumpa dia pulak?" Usik abang long melihat aku yang masih membatu didalam kereta.
Gementar. Seperti yang aku rasa ketika mahu menghubungi abang long semalam. Malah kali ini, seperti kakiku semakin tidak berdaya untuk melangkah.
Dari jauh aku sudah melihat kepala kak Balqis terjenguk-jenguk memerhatikan kereta abang long yang sudah berhenti lebih lima minit yang lalu.
"Jangan fikir yang bukan-bukan, Jannah. Tak ada apa yang harus Jannah bimbangkan. Malah kami gembira dengan kepulangan Jannah kepangkuan keluarga. Semua orang akan sampai kejap lagi. Abang Chik Shukur dah dalam perjalanan dari Johor. Kak Hanis juga sama. Semuanya gembira dan teruja nak bertemu dengan Jannah hari ini. Buang segala perasaan bersalah dan takut Jannah tu." Pujuk abang long.
Dia membuka pintu kereta dan menarik aku keluar. Dia memimpin tanganku menuju ke pintu rumah kak Balqis. Tapi, belum sempat aku sampai ke muka pintu, Kak Balqis sudah berlari-lari anak mendapatkan kami. Terus saja dia memelukku erat tanpa menanti aku pergi mendapatkannya.
"Kenapa, Jannah? Kenapa sekarang? Kenapa? Kenapa sampai hati Jannah buat kami begini. Ternanti-nanti Jannah setiap hati. Kenapa?" Tangis kak Balqis beserta tamparan halus dibelakangku. Tubuhku yang dipeluk erat olehnya terasa basah dengan airmatanya.
"Kenapa perlu ambil masa yang terlalu lama? Kemana Jannah menghilang? Kenapa Jannah? Kenapa?!" soalnya tanpa henti.
Aku mengeratkan dakapan. Meluruhkan rindu. Tidak mampu untuk aku membalas setiap soalan darinya. Yang pasti linangan airmata ini adalah jawapan pada kerinduan yang tak pernah ternoktah.
Kak, percayalah. Andai masa dapat diputar kembali, pasti kita tidak akan melalui detik-detik begini. Cuma siapa kita untuk melorongkan takdir. Semuanya sudah tertulis. Walau bukan pinta kita untuk jadi begini, jalan ini sebenarnya mengajar kita untuk terus menghargai tanpa mengingati segala kekurangan yang ada. Tidak ada sesiapa yang sempurna, kak. Antara kita saling melengkapi dengan kasih sayang.
"Masuk dulu, sayang. Tak elok begini. Nanti jiran-jiran tertanya-tanya pula."
Suara lelaki yang tiba-tiba datang mendekati kami, menyapa lembut dari belakang. Pelukan kami terlerai.
"Suami akak, abang Amar." Kak Balqis memperkenalkan kami. Ya, sewaktu aku pergi, ketika itu kak Balqis masih lagi sendiri.
"Abang, inilah Jannah yang selalu Balqis ceritakan tu."
Sebagaimana dia, aku hadiahkan dia senyuman. Dengan wajah yang masih dihujani airmata, bukan waktu yang sesuai untuk bertanyakan apa-apa soalan padanya.
Kak Balqis mengheret aku mengikuti langkahnya untuk masuk kedalam rumah. Persekitaran rumah teres dua tingkat di Persiaran Diplomatik ini masih lagi sunyi.
"Tunggu sini." Arah kak Balqis ketika kami sudah berada diruang tamu.
"Tak apa, kak. Biar Jannah saja yang kesana." Aku menghalang.
"Tak apa." Kak Balqis menolak.
"Jangan kak. Tak seharusnya umi dan ayah yang datang pada Jannah. Ini salah Jannah. Ini dosa Jannah. Jannahlah yang sepatutnya pergi pada mereka, kak."
"Jannah..."
"Please... kak."
Aku lepaskan pegangan tangan kak Balqis dan melangkah perlahan pada ayah dan umi yang sedang menjamah sarapan pagi di meja makan. Mereka masih tidak menyedari apa yang sedang berlaku diluar rumah sebentar tadi. Mereka juga masih tidak menyedari kehadiranku disini. Umi masih setia menemani ayah dan meladeni ayah. Seperti dulu.
"Assalamualaikum..." seruku perlahan. Ada esakan yang semakin menghampiri. Ada air yang sedang bertakung di kelopak mata. Yang akan gugur bila-bila masa saja.
"Waalaikumsalam..." seraya umi mendongak. Ayah yang jelas kelihatan uzur juga mendongak memandang kearah yang sama. Arah dimana suaraku semakin tidak kedengaran.
"Umi... ayah..."
"Jannah???"
Tujuh belas terpisah tidak mampu menjadi ukuran untuk umi melupakan segalanya tentang aku. Untuk umi tidak kenal padaku. Untuk umi tidak mengecam suaraku. Untuk umi tidak memanggil namaku semula.
Walau terpisah berbelas tahun, umi tetap kenal dan tidak salah meneka. Ya Allah! Maka nikmat yang mana satu diantara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang hendak kamu dustakan?
"Ya umi... ini Jannah." Jawabku bersama rembesan airmata. Tanganku letakkan didada. Menahan esakan yang makin jelas kedengaran.
"Ya Allah! Allahuakhbar! Jannah! Abang, Jannah dah balik. Anak kita dah balik, bang. Jannah"
Aku yang masih terpasak langkah, terlalu kaku untuk bergerak. Walaupun setapak. Bukan! Aku terlalu takut untuk mendekat. Bimbang keampunan itu semakin menjauh kala airmata itu laju menuruni pipi tua itu.
Namun, melihat langkah umi yang terlalu payah, aku segera mendapatkan tubuhnya dan kudakap erat. Seeratnya tanpa mahu melepaskannya lagi.
"Maafkan Jannah, umi. Maafkan Jannah. Ampunkan dosa Jannah, umi."
"Ya Allah, Jannah. Kemana Jannah selama ini? Mengapa tinggalkan umi, sayang? Mengapa?"
Esakan. Itulah jawapan dariku. Tidak mampu aku bersuara untuk menjawab apapun pada soalan yang terlontar.
"Ayah?"
"Hmm..." Terasa suara ayah jauh kedalam kerongkong. Aku dapat lihat matanya berkelip berkali-kali. Basah tubir matanya.
Ayah legat memandang padaku. Dia cuba bangun tapi nampak payah. Baru aku teringat cerita Wan Yong. Ayah pernah jatuh sebelum ini. Mungkin kerana itu pergerakannya terbatas.
Aku melutut dihadapan ayah. Tanpa menanti, aku menyembamkan wajahku ke lutut. Memegang kedua-dua kakinya.
"Ampunkan Jannah, ayah. Ampunkan Jannah. Jannah berdosa." Ujarku bersama esakan yang tidak berkesudahan.
Tiada jawapan dari ayah. Yang terasa hanyalah usapan tangannya dikepalaku. Seperti masa dulu. Inilah yang akan ayah lakukan sebagai tanda dia sudah memaafkan. Dia akan mengusap kepalaku perlahan tanpa suara.
"Ayah..." Aku mendongak memandang tepat wajahnya. Terlihat airmatanya menitis juga. Seingat aku, ayah jarang menangis. Dia bijak menyembunyikan rasa sedihnya seperti ketika aku membuat keputusan untuk bernikah dengan abang Uzair dulu. Yang dilempiaskan hanyalah rasa kecewanya.
"Jangan menangis, ayah. Cukuplah. Cukuplah dosa yang sedang Jannah pikul. Jannah tak sanggup lagi. Berat, ayah. Terlalu berat. Ampunkan Jannah, ayah." Ujarku sambil menyapu titisan itu agar berhenti menitis.
"Jannah tak pernah berdosa dengan ayah. Ini Jannah ayah. Syurga ayah. Macam mana ada dosa."
Ya Allah... aku kekeluan. Kata apakah lagi yang mampu aku bariskan andainya kata ayah seakan menghanyutkan segala beban yang telah aku pikul. Dosa kerana menderhaka. Dosa kerana menghukum mereka. Dosa kerana melanggar kata. Dan dosa kerana pergi meninggalkan mereka tanpa pernah berpaling.
"Ayah..."
"Kenapa tinggalkan ayah terlalu lama, Jannah? Kenapa Jannah tak pernah balik? Kenapa Jannah? Marah sangatkah Jannah dengan ayah?"
"Maafkan Jannah, ayah. Maafkan Jannah."
Hanya itu. Hanya kata-kata maaf yang mampu aku tuturkan. Tidak mampu lagi untuk aku menyusun kata untuk menzahirkan rasa kesalan. Yang tertinggal untukku hanyalah keampunan.