"Kenalkan, inilah mama aku, Hajah Fadilah. Mama, inilah Nurul Jannah yang selalu Ezah ceritakan tu." Ezah memperkenalkan kami.
Terus saja tubuhku dipeluk erat olehnya. Aku tergamam seketika.
"Ya Allah, akhirnya mama dapat jumpa juga dengan Jannah. Dah lama mama berdoa akhirnya Allah makbulkan." Bisiknya ketika aku masih dalam pelukannya.
"Aunty sihat?" soalku sebaik pelukan kami terlerai.
"Mama. Panggil mama. Jannah dah mama anggap macam anak sendiri. Dah rindu macam anak yang berjauhan dari mamanya. Setiap hari asyik teringat."
Ya Allah, syukur. Engkau selalu membawa aku kepada insan-insan yang berhati mulia.
"Kenapa tak ikut sama masa Ezah kesana dulu?"
"Ada saja halangan. Lagipun, mama ni tak berapa sihat. Lagilah kalau nak ketempat yang sejuk. Kalau boleh mama elakkan. Nak bercuti nanti lain jadinya. Dah tua beginilah, Jannah. Tak mengapalah. Janji mama dapat ke Mekah saban tahun, mama dah cukup bersyukur." Luahnya.
"Mama sihat?" soalku sekali lagi.
"Alhamdulillah. Bila Jannah sampai sini? Dimana Jannah tinggal? Kenapa tak terus ke rumah mama?"
"Baru dua hari, ma. Buat masa sekarang tinggal diMarriot dulu."
"Kenapa tinggal dihotel? Marilah kerumah mama. Jannah tak sudi ke?"
"Eh bukan begitu, ma. Jannah sebenarnya mahu pulang ke kampung. Ada urusan disana. Minta tolong Ezah carikan kereta." Beritahuku.
"Ezah nak bagi honda civic tu, ma. Tak ada siapapun yang guna. Elok juga kalau Jannah yang guna dari terbiar macam tu saja."
"Elok juga tu. Mama setuju. Kalau nak diharapkan Ezah guna, memang taklah. Kalau penat, dia merengek pada Iezat minta hantarkan. Nanti Jannah datanglah ke rumah dan ambil kereta tu. Makan malam sekali ya?"
Aku anggukkan kepala. Tidak mampu untuk menolak pelawannya lebih-lebih lagi melihat dia bersungguh.
Saat kami sama-sama menikmati makan malam dan melihat dia meladeni aku dan adik beradik Ezah termasuk cucu-cucunya, entah kenapa, tiba-tiba jiwaku diselubungi rasa sayu. Rindu. Melihat layanan dia membuatkan rinduku pada umi dan ayah membuak-buak. Sekuatnya aku menahan getar yang bertandang.
'Tunggu Jannah, umi... ayah... Izinkan Jannah memohon ampun. Berikan Jannah kesempatan untuk membetulkan kesilapan lalu.'
Gurau senda yang menghiasi makan malam ini membuatkan aku terasa diterima ditengah-tengah keluarga besar ini. Tidak terasa asing disini. Melihat layanan mereka membuatkan aku tiba-tiba rindu pada mereka yang berada disana. Apa khabar kak Yati sekeluarga. Juga Ethan.
Sejak aku sampai, aku sempat berbual dengan kak Yati beserta 'airmatanya'. Berpuluh pesanan dia tinggalkan tidak termasuk dengan pelbagai soalan seolah-olah aku ini seorang anak kecil dimatanya. Begitu juga dengan Ethan.
Pada Bonda aku sempat khabarkan berita kepulanganku padanya. Bonda sangat teruja dan mahu aku terus kerumahnya dan akan menjemput aku nanti. Begitulah perancangan yang dibuat. Tapi, niat untuk menemui Bonda disini terpaksa aku batalkan kerana Bonda ke US. Adik ipar kak Yati yang menetap di sana melahirkan dan Bonda mahu menziarah. Bonda mahu juga aku kerumahnya dan tinggal disana hingga dia pulang. Tapi, aku menolak dan tidak mahu berterusan menjadi beban pada dia.
Aku tahu dalam hatinya terselit rasa kecewa. Tapi Bonda tidak memaksa setelah tahu niatku. Ketika berkongsi dengan Bonda tentang perancanganku, Bonda lahirkan kebimbangan. Bertambah bimbang bila aku terpaksa melakukannya sendirian. Gusar andainya ada sesuatu yang terjadi. Bonda tahu luka ini terlalu perit apatah lagi andai aku terpaksa lalui sekali lagi. Tetapi, setelah aku meyakinkannya, Bonda mengalah. Tapi, pesan Bonda, andainya saat itu aku tersungkur lagi, ingatlah yang dia sentiasa ada untuk aku hamburkan tangisan dan kedukaan.
"Hei, kenapa termenung ni?" Sergah Ezah dari belakang. Sengaja aku bersendirian ditepi kolam renang ini. "Ingatkan siapa? Ethan ke?"
"Mana ada! Kau jangan nak reka cerita, boleh tak? Mama dengar nanti bertambah panjang pulak aku kena jelaskan."
"Jangan nak mengelak. Betulkan?" Provoknya lagi. Sengaja mahu mengusik aku. Dari dulu, dia memang tak sudah-sudah cuba untuk 'menyatukan' aku dengan Ethan.
"Tidaklah. Aku tengah fikirkan apa yang perlu aku lakukan seterusnya."
"Jangan nak mengelak. Jangan nak nafikan. Aku tahulah."
"Kalau ya, kenapa? Aku single. Dia single. Tak ada bab rampas merampas. Okaylah tu." Jawabku malas. Malas mahu menidakkannya lagi. Biarlah dia dengan andaiannya. Tidak luakpun padaku.
Ezah ketawa besar seolah-olah sudah mencapai kemenangan. Aku tersenyum sinis.
Kalaulah dia tahu apa yang sedang aku fikirkan, pasti tawa riang itu lenyap. Melihat pada personaliti Ezah, aku pasti airmata yang mengalir itu pasti payah untuk berhenti. Sama seperti aku satu ketika dulu.
Tapi, yang perit itu bukan semuanya pahit untuk ditelan. Kadangkala ianya adalah penawar yang paling baik untuk luka yang masih berdarah bak air dingin yang sedang menuruni ke lembah.
"Itulah, aku suruh kau kahwin saja dengan dia, kau yang tak mahu. Sengaja menolak tuah." Aku tertawa mendengar omelannya.
Aku tidak mahu membalas usikan Ezah. Padaku dia berhak berkata apa saja, tapi keputusan itu tetap ditanganku. Lagipun, aku bimbang andai silaturahim ini bertukar cara, keikhlasan dan kejujuran juga akan kabur pada pandangan mata hati. Aku senang begini. Sekurang-kurangnya dengan begini aku tahu dia sentiasa ada disisiku bila aku memerlukan. Pentingkan diri? Mereka berhak menafsir apa saja.
"Dia tak menangis ke kau balik sini?" usik Ezah lagi. Sengaja mahu menggiatku terus.
"Laaaa... aku bukannya pergi tak kembali lagi. Nak menangis buat apa? Dia bukannya budak tak cukup umur yang nak menangis bagai."
"Manalah tahu. Kekasih hati dah pergi jauh ni. Kot-kot dia meraung. Mana kau tahu sebab dia tak nak tunjuk pada kau! Jatuh air muka tau? Hilag macho."
"Kau ni kan? Sengaja nak kenakan akukan? Masa bila pulak aku jadi kekasih dia? Dan, untuk pengetahuan kau, tak ada sesiapapun yang hantar aku ke airportpun. Kak Yatipun aku tak benarkan. Aku tak mahua da drama airmata disana. Jadi, manalah aku tahu siapa yang menangis, siapa yang meraung." Jawabku geram. Aku menampar lengan Ezah perlahan. Dia tertawa. Suka benar mengusik aku.
"Insya Allah, dia akan selamat. Aku tahu tentang itu." Ujarku perlahan menutup komen Ezah seterusnya.
Ya, dia akan selamat walau dimanapun dia berada. Aku amat yakin tentang ini. Aku akui, dia berat melepaskan aku pulang tapi apakan dayaku. Masih ada urusan yang belum selesai. Jika diberi pilihan, aku juga tidak ingin lagi memijakkan kakiku disini jika sekadar menoreh kembali parut luka yang masih berdarah itu. Tapi, hatiku seakan menolak untuk aku berkata tidak. Seakan aku terdengar ada suara yang menyeru aku untuk pulang.
Hati, akan binasakah rasa andai kuturut apa yang terpendam?