45 - Part 1

24 3 2
                                    


'Bila kamu akan kembali, Ethan?'

Rasa ini kian membara saat hatiku mula menyulam namamu. Aku bagaikan disuntik nafas baru untuk terus menghirup udara segar untuk menikmati betapa indahnya dunia ini. Syukur, aku masih lagi berpeluang dan tidak terus larut dalam bebanan perasaan yang menyakitkan. Sesungguhnya dirimulah yang menyedarkan aku dari terus lena dalam tangisan.

"Ethan...." seruku perlahan. Kepala aku lentokkan di atas meja. Dari tadi aku duduk di sini. Ezah semakin malas melayan kerenah aku yang bagaikan orang gila talak. Dia hanya menggeleng untuk kali yang keberapa apabila melihat aku masih disini.

"Jannah?" suara yang tiba-tiba menyapa aku dari belakang membuatkan kepalaku terus tegak. Terbang lamunanku. Berganti dengan memandang susuk tubuh yang kini tegak berdiri dihadapanku.

"Abang Uzair?" Soalku terkejut.

Memang aku tidak menyangka yang dia akan datang menemuiku dengan tiba-tiba. Sejak dia melamar aku hari itu, dia seakan terus lenyap dan membisu. Entah ke mana dia menghilang.

Mengelak? Ya, kalau itu yang dia tanya. Sengaja dirinya tidak aku hubungi biarpun rinduku pada Chempaka tidak dapat aku gambarkan.

Biarpun kadangkala aku menghantar pesanan pada Chempaka, namun keinginanku untuk bertemu dengannya membuak. Tapi, dek kerana ingin mengelak dari bertemu abang Uzair, dia juga aku hindari. Maafkan mama, sayang!

"Kenapa ni? Jannah tak sihat ke?" soal abang Uzair. Prihatin.

"Eh, tak adalah. Sihat saja. Alhamdulillah."

"Tapi, abang tengok muka Jannah pucat. Kenapa? Kalau tak sihat, abang bawa Jannah pergi klinik."

"Taklah. Mungkin Jannah letih sikit."

Tanpa dipelawa, dia terus duduk dihadapanku. Memandang aku yang masih lagi memikirkan maksud kedatangannya.

Intan datang menghampiri kami setelah aku melambai padanya. Aku minta dia bawakan dua cawan teh dan kuih untuk abang Uzair. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang ingin abang Uzair bincangkan denganku pagi ini. Aku sudah bersedia.

"Mengapa, bang?" soalku setelah mendengar ada keluhan yang terbit dari dia. Wajahnya dipalingkan padaku semula setelah dia begitu asyik memandang keluar. Mungkin mencuri sedikit ketenangan pada alam.

"Jannah......" Serunya. Renungan matanya tajam menjamah wajahku. "Mengapa jurang antara kita semakin dalam?" soalnya tersirat.

"Kerana jarak dan masa yang menjadikan kita semakin jauh, bang. Cinta itu dah lama mati."

"Cinta kita tak pernah mati, Jannah. Cuma 'berdiam sebentar disatu sudut dalam hati' kita. Jadi, izinkanlah abang untuk kejutkannya dari lena yang panjang itu."

Berkias tapi aku mengerti. Sekali lagi. Lamaran itu terucap dari bibirnya dengan cara yang berbeza.

"Abang... jujur, Jannah hargai cinta abang pada Jannah. Abang yang mengajar Jannah apa itu erti cinta. Abang yang memberi peluang untuk Jannah merasai nikmatnya. Tak pernah sesaatpun, Jannah keterlupaan. Benar, abang yang pertama. Tapi, terimalah takdir Allah. Dia sudah menentukan abang bukanlah yang terakhir. Jannah tidak mampu untuk memberikan nyawa baru pada cinta kita, bang. Maafkan Jannah."

Aku berterus terang. Biar dia mengerti perasaanku. Biar dia tahu jawapanku. Hati ini bukan lagi miliknya. Aku tidak mahu dia terus membina harapan. Ibarat memasang lukah. Belum tentu ikan terjerat walau sudah disua umpan. Walau pernah menyayangi dia, aku tidak mampu untuk terus mempertahankan cintaku padanya.

"Tidak adakah ruang untuk kita bersama semula,Jannah?"

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now