7

22 3 3
                                    


"Bermalamlah dirumah akak dulu, Jannah. Dah nak malam ni. Bas pun dah tak ada." Dia memberi cadangan. Aku? Apa pilihan yang aku ada saat ini?

Ya Allah, apakah masih ada sinar untukku esok hari?

Dengan perasaan yang semakin memberat, aku gagahkan juga mengikut kak Anah pulang kerumahnya. Aku tiada pilihan. Untuk malam ini sekurang-kurangnya aku ada tempat untuk berteduh. Esok, lusa, aku hanya berserah pada takdir.

Namun, tatkala aku mahu menyuap nasi ke dalam mulut, terdengar bunyi bising dari dalam bilik. Suara abang Murad membentak-bentak. Sebentar tadi dia pulang. Melihat saja mukaku di dalam rumahnya, riak wajahnya yang tenang itu berubah. Drastik! Lalu, dia memanggil kak Anah ke tingkat atas. Terkocoh-kocoh kak Anah menyaingi langkahnya. Dalam hati, aku berdebar.

"Aku cukup pantang kalau kau buat keputusan tanpa minta izin aku terlebih dulu! Kenapa kau bawa anak derhaka tu jejakkan kaki ke dalam rumah ni? Kau nak sial dia tu terpalit pada keluarga kita?!"

Suara abang Murad lantang. Aku dengar tiap bilah kata yang terhambur. Biarpun kak Anah ada bersamanya aku pasti kata-kata itu khusus buatku supaya aku sedar siapa aku. Tetamu yang tidak diundang!

"Saya kesian pada dia, bang. Lagipun, hari dah petang. Bas pun dah tak ada. Untuk malam ni saja." Suara kak Anah memujuk.

Aku tidak sanggup untuk menelan lagi. Sial? Anak derhaka? Itukah gelaran yang layak untuk aku sekarang? Ya Allah, pedihnya jiwaku mendengar kalimat-kalimat itu. Teramat sakit!

"Aku tak peduli! Aku mahu dia berhambus dari rumah aku sekarang!"

Jeritan abang Murad tiada kesudahan. Aku jatuh kasihan pada kak Anah. Sudahlah letih berniaga siang tadi. Balik rumah terkocoh-kocoh menyediakan makan malam untuk keluarga. Katanya, abang Murad tidak suka makan makanan yang dibawa balik dari gerai. Dia mahu makanan yang panas-panas. Memilih!

Anak-anak mereka pula aku lihat sudah menikus. Langsung tidak bersuara. Hanya menunduk dan terus menyuap nasi. Mungkin faham perangai bapa mereka yang kadangkala baran itu.

Perlahan aku bangun. Aku tidak sanggup mendengar kak Anah diherdik begitu.

"Abang Murad, bukan salah kak Anah. Semuanya salah saya. Tapi, saya mohon simpati. Izinkanlah saya bermalam untuk malam saja. Esok pagi-pagi saya keluar."

Biarlah aku pula yang bersuara. Malu ku tolak ketepi. Demi keselamatan aku dan anak yang kukandung, aku tidak sanggup bermalam diluar. Keselamatanku tidak terjamin. Aku bimbang andai sesuatu terjadi pada kami berdua.

"Simpati?? Untuk apa aku nak bersimpati dengan kau?! Ha?? Disebabkan kaulah mak bapak kau terpaksa keluar dari kampung ni. Malu ada anak macam kau. Belum tahu apa-apa, dah gila nak berlaki!"

"Abang cacilah saya. Katalah apa saja. Saya mohon, bang, untuk malam ni saja. Kalau abang tak kesian pada saya, kesianlah pada anak yang ada dalam kandungan saya ni."

Tanpa selindung, aku beritahu dia tentang keadaanku. Lelah untuk terus berselindung. Penat untuk terus berfikir.

Langsung abang Murad terdiam. Tidak ada lagi kata yang terkeluar dari mulutnya.

"Saya janji bang. Esok pagi-pagi saya keluar. Dapat tumpang tidur untuk malam ni pun tak apa. Hanya Allah saja yang mampu balas pertolongan abang pada saya. Saya bersyukur."

"Aku mahu kau berhambus esok pagi! Aku tak hingin nak hadap muka kau tu. Anak derhaka!"

Anak derhaka!! Terngiang-ngiang kalimat itu ditelingaku. Namun, apa yang mampu aku buat. Aku hanya mampu menelan kata-kata herdikannya. Biarlah. Kepahitan dan sengsara ini terpaksa aku telan bukan dari abang Murad saja. Tapi, dari masyarakat sekeliling juga. Dan, semua yang datang padaku hari ini bertimpa-timpa hinggakan aku tidak tahu apakah perlu aku tangisi untuk kesekian kalinya?

"Jannah nak kemana tu?" soal kak Anah ketika melihat aku membawa beg keluar dari bilik anak perempuannya.

"Dapat menumpang teduhpun, Jannah dah bersyukur, kak. Takkan Jannah nak tidur dalam bilik tu. Kesian dekat anak-anak akak. Jannah tidur dekat dapurpun tak apa."

Adat orang menumpang, harus sedar dimana aku berada.

"Jangan begitu, Jannah."

"Kak, saya dah cukup berterima kasih dengan akak. Saya tak mahu akak dengan anak-anak kena marah dengan abang Murad lagi. Jangan disebabkan saya, akak dengan abang Murad bertelagah. Cukuplah."

"Tapi...."

Aku tepuk tangannya berkali-kali. Tak mengapa. Aku akan lalui semua ini dengan kudratku yang masih bersisa. Jalan dihadapanku masih lagi berliku dan aku sendiri kelam dengan kesudahannya. Aku sendiri tidak tahu apa yang harus aku lakukan esok. Apa yang akan terjadi denganku seterusnya. Malam terus terhanyut sepi.

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now