Demamku masih berlarutan. Semalam bonda sekeluarga datang menziarah. Bising mulut bonda meminta aku ke hospital saja. Aku tetap menggeleng. Aku sudah membuat ujian darah seperti yang disarankan oleh doktor dan keputusannya tidak menunjukkan apa-apa. Aku hanya demam biasa. Itulah aku. Kalau sudah terkena sakit, payah pula untuk sembuh. Bila terlalu sihat, payah untuk jatuh sakit.
Hari ini aku berbaring saja. Badanku masih lemah walaupun suhu sudah tidak tinggi lagi. Kak Balqis sudah mengambil cuti untuk menemaniku. Walaupun aku menegah, tapi bimbang katanya. Aku masih boleh uruskan diriku sendiri.
"Jannah...." Mata yang hampir terpejam, kembali terbuka luas. Kepala aku dongakkan memandang kak Balqis yang berdiri dimuka pintu. Cemas lagaknya.
"Mengapa, kak?" soalku. Aku gagahkan diri untuk bangun. Kepala kembali memberat. Hidung masih tersumbat. Suara masih juga tersekat.
"Naim, Jannah." Jawab kak Yati. Dahiku berkerut.
"Kenapa dengan Naim?"
"Kak Yati baru lepas call akak. Katanya Naim hilang."
"Hilang? Macam mana boleh hilang?" soalku.
"Tak pasti. Tahu-tahu dia dah tak ada dibilik bila kak Yati panggil untuk sarapan."
"Belumpun 24 jam. Nak buat report pun tak boleh."
"Masalahnya, kak Yati bimbang kalau-kalau dia menyerang Chempaka."
"Ya Allah! Kenapa pulak?"
"Kak Yati cakap mungkin Naim terdengar perbualan dia dengan Bonda malam tadi. Sebab dia kata, kalau dia jumpa Chempaka sekali lagi, memang dia nak lanyak habis-habisan. Kak Yati risau kalau-kalau dia pergi cari Chempaka."
Dadaku berlari kencang. Tanganku dan kakiku mula sejuk semula. Badanku menggeletar. Ya Allah...Ya Allah... Ya Allah... aku berzikir.
"Tapi, dia tahu ke di mana rumah abang Uzair?" soalku pada kak Balqis.
"Jannah, Naim tu budak bijak. Dia bukan tak ada kawan di sini. Ramai. Bimbang kalau dia minta tolong kawan-kawan dia. Maklumat peribadi sekarang ni dah terdedah sana sini. Senang saja orang nak tahu. Alangkan nombor phone pun terpamer dalam FB apatah lagi alamat rumah. Kita tag saja di mana kita berada, satu dunia tahu tau?" jawab kak Balqis. Aku tak menyangkal kata-katanya. Memang benar. Dan, secara tak langsung, itulah yang mendedahkan kita pada bahaya cuma orang yang tak sedar.
Ya Allah. Apa pula yang bakal datang menguji?
Aku diam sebentar. Berbelit akalku berfikir apa yang harus aku lakukan. Bimbang juga kalau-kalau Naim dapat cari rumah abang Uzair. Maklumlah hari ini hari Ahad. Semuanya mesti ada dirumah. Pasti kecoh nanti.
"Akak tolong bawa Jannah ke rumah abang Uzair. Manalah tahu kalau-kalau memang betul dia ke sana." Putusku. Aku gagahkan diri untuk bangun dan mencapai baju sejuk dan tudung. Menukar kain batik pada seluar track saja. Kak Balqis datang memimpinku kerana badanku masih lagi tidak bermaya.
Benar telahanku. Dia sudah ada disini. Sedang berdepan dengan Chempaka. Terasa aura yang membahang antara mereka. Apakah sudah terlempias segala kata? Mereka langsung tidak menyedari kedatanganku.
Dalam perjalanan tadi, aku menghubungi kak Yati dan meminta dia kemari juga. Nasib baik rumah umi dekat saja di sini. Jadi, mudah untuk kak Yati bergegas ke sini.
Aku lihat abang Uzair dan Amani tegak mematung di tengah halaman. Tidak jauh dari Chempaka berdiri. Bimbang barangkali Chempaka diapa-apakan.
Aku berjalan perlahan mendekati mereka.
Salam kuberikan. Nama Naim aku seru perlahan melawan rasa tekak yang perit. Tapi, melihat keadaan mereka, hatiku bertambah sakit.
"Naim tak sayang pada mama ke?" soalku saat dia berpaling dengan wajah yang sedikit terkejut.
"Kerana sayanglah, Naim harus berdepan dengan anak derhaka ini!" Dia menjawab sambil jarinya menuding tepat ke wajah Chempaka. Keras dan tegas. Chempaka hanya terkebil-kebil memandangnya tanpa suara.
"Kalau sayang, kita balik?" pujukku. Aku tidak mahu menambahkan lagi kekeruhan yang sudah ada. Aku sedang sedayanya menjernihkan semula keadaan. Aku bimbang, dengan tindakan Naim begini, peluang untukku meraih kasih Chempaka terus tertutup.
"Maafkan mama, sayang." Bisikku setelah aku mendekati Chempaka. Aku tahu dia terkejut dengan serangan Naim. Aku tahu apa yang dia rasa. Sebolehnya aku ingin mendakapnya erat dan memujuk hatinya agar rusuh itu pergi. Supaya dia tidak bimbang lagi.
Tapi, saat tanganku ingin menjamah wajah yang sering aku rindu itu, dia mengelak. Wajahnya dijauhkan sedikit. Tangannya diangkat sebagai isyarat supaya aku tidak meletakkan telapakku dipipinya. Aku terpanar. Terundur langkahku setapak dua.
"Kau jangan nak berkurang ajar!" Tiba-tiba Naim datang menjerkah. Tubuhku ditarik kebelakang sedikit. Amarah yang tadi sudah reda, kembali datang menggasak dalam dirinya.
"Kalau kau fikir mama bahagia, kau memang buta. Selama ini hidup mama hanya berendam airmata. Dihadapan kami semua mama tersenyum, sedangkan hatinya semakin parah terluka. Mama sorok semua perasaan mama. Tapi, kami tahu mama menderita. Mama ada sebab kenapa dia tidak pulang selama ini. Semuanya kerana kau. Tahu tak? Ikutkan hati dia mahu segera pulang. Tapi, kerana bimbang dia akan dipersoalkan dari segi materialnya, mama bekerja keras mengumpul dana agar tidak akan ada sesiapapun yang akan mempertikaikan kedudukannya. Kau tahu, apa yang mama lakukan. Siang malam mama bekerja hingga kadangkala dia terlupa dirinya sendiri. Pada dia, hanya memikirkan kau, dia menjadi kuat. Dia seakan ada nyawa baru. Kerana ingin mempertahankan kau, mama harus mempersiapkan dirinya untuk menentang semua ini! Bukan mudah untuk mama bangun dari semua kesakitan ini. Kalau nyawa mama bukan kurniaan Allah, sudah tentu mama dah tak ada didunia ini. Faham tak?"
Kakiku terpaku disini. Kaku dan kelu. Tidak mampu untuk bersuara. Singkapan tabir duka oleh Naim itu benar-benar membuatkan aku terpanar.
"Tak bolehkah untuk sekali, hanya kali ini kau buangkan ego. Fikirkanlah keadaan mama yang begitu tersiksa berpisah dengan anaknya? Anak kandungnya sendiri? Jangan terus meneka dan menuding jari mencari silap mama. Ya, mungkin mama silap kerana menanti terlalu lama untuk mencari kau. Tapi, galilah sebabnya untuk terus menghukum. Hanya manusia yang gila saja mampu bergembira bila anak sendiri dirampas begitu?" Rintih Naim pilu. Airmatanya menitis juga akhirnya. Aku juga tidak dapat menyembunyikan kepedihan.
"Untuk kali ini, berfikirlah dengan waras. Andai mama bersalah, maafkanlah dia. Dia sudah berjuang melahirkan kau. Tidak adakah ruang untuk kemaafan untuknya?" rayu Naim meminta ikhsan Chempaka.
