Aku menghitung hari untuk bersama-sama dengan zuriatku. Kini kandunganku sudah memasuki trimester terakhir dan syukur, alahanku beransur pergi. Bukan mudah untuk aku mendepani semua ini, sendirian.
Segala persiapan aku buat sekadarnya. Jujur, kebanyakkan disediakan oleh Bonda Sharifah. Kalau ditanya padaku, pasti hanya gelengan. Sudahlah tidak berpengalaman dalam hal-hal sebegini, kini ditinggalkan sendirian tanpa sesiapa membantu. Hanya berharap pada ihsan mereka yang benar-benar memahami keadaanku.
Malu? Aku telan sepahit-pahitnya rasa itu. Ketika ini, aku lebih memikirkan zuriatku yang bakal lahir. Resah memikirkan masa depan kami berdua. Ketika ini, baru aku sedar mengapa umi dan ayah menghalang keras keputusanku dulu dan mahu aku melanjutkan pelajaran keperingkat tertinggi. Ya, ketika ini aku sudah sedar seandainya aku mempunyai sekurang-kurangnya diploma, dapatlah aku mencari kerja yang lebih baik untuk kelangsungan kami berdua.
Fikiranku semakin berkecamuk. Buntu memikirkan hari esok dan masa depan terutama dia yang masih kecil untukku kuzahirkan apa yang aku rasa. Anakku ini tidak seharusnya melewati kegetiran ini. Seharusnya dia aku berikan yang terbaik. Bukan hanya tanda cintaku tapi dia adalah kekuatan aku untuk terus mengharungi hidup. Ya, kerana dia aku tekad berjuang.
Perutku yang sudah lari dari bentuk asal kuusap perlahan-lahan. Terasa ada pergerakan seolah-olah anakku sedang cuba untuk memahami apa yang aku rasai.
"Anak mama, maafkan mama, sayang. Mama tidak menyangka semua ini akan terjadi seperti ini. Seharusnya kita dilindungi oleh ayahmu. Tapi, mama juga bingung kemana ayah menghilang. Mama juga tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Cuma ketika ini, mama harap anak mama kuat untuk kita sama-sama mengharungi kehidupan ini."
Aku terus berbisik seperti hari-hari sebelum ini tatkala kami berduaan. Sekurang-kurangnya aku masih bisa berbicara walaupun hanya berbalas dengan gerakannya yang perlahan. Seakan dapat memahami betapa ketika ini aku sedang gusar memikirkan masa depan kami berdua.
"Kak, Jannah rasa nak minta fasakh." Ujarku pada kak Sham. Dia datang menjengukku seperti biasa sebaik saja dia pulang dari restoran Bonda.
"Fasakh? Jannah dah habis fikir ke? Jangan ikutkan hati sangat. Fikir baik-baik. Mungkin nanti Uzair akan balik semula."
Riak wajah separuh umur itu nyata terkejut. Siapapun juga akan terperanjat dengan keputusanku. Malah aku juga tidak terfikir untuk mengambil kata putus sebegini. Tapi melihat keadaan yang sedang berlaku, hati ini makin berat berkata hanya perpisahan jalan terbaik buat kami.
"Ingat anak dalam kandungan, Jannah." Pujuk kak Sham lagi.
"Kerana anak Jannahlah, Jannah fikir inilah keputusan yang terbaik. Masa yang ada semakin suntuk, kak. Jannah perlu fikirkan masa depan kami berdua. Dalam keadaan begini, seandainya Jannah masih seorang isteri, susah untuk Jannah bergerak. Jannah tak tahu apakah semua yang Jannah buat ni mendapat izin dari abang. Nak minta izin, dimana abangpun Jannah tak tahu. Jadi, biarlah Jannah putuskan saja. Senang Jannah bergerak tanpa memikirkan apa-apa."
Diam.
Sayang? Usah pernah dipertikaikan. Jika tidak kerana sayang, aku takkan sanggup memilih dia dan berpaling dari mereka yang mencintaiku tanpa hijab. Jika tidak kerana kasih yang tersua, aku tidak ampuh bertahan seteguh ini. Apakah yang terhidang ini tidak mampu untuk aku persembahkan sebagai tanda setia? Tegakah aku selayaknya terhukum begini?
Lalu, pabila keputusan ini yang aku ambil, adakah aku akan terus menerima hukuman tanpa perbicaraan? Aku pilih untuk meneruskan.
"Jannah tak mahu terus berteka-teki, kak. Mengharap dan terus berharap. Jannah tak tahu bila abang balik. Seandainya abang balik, apakah akan sama seperti sebelum ni? Jannah juga tak mahu setiap langkah Jannah nanti Jannah terpaksa memikirkan yang Jannah ni masih lagi seorang isteri sedangkan Jannah sedang teraniaya. Kalau abang masih sayangkan Jannah, dia tak buat Jannah begini. Mungkin setakat ini sajalah jodoh kami. Jannah tak mahu memikirkan apa-apa lagi. Pada Jannah, inilah yang terbaik."
"Akak tak tahu nak kata apa, Jannah. Ada betul juga cakap Jannah tu. Kalau Jannah fikirkan inilah yang terbaik, akak menyokong saja."
"Saya nak minta tolong Bonda dan kak Yati. Mungkin mereka tahu macam mana nak uruskan semua ini. Kalau boleh Jannah nak uruskan secepat mungkin. Jannah nak semuanya berakhir disini."
Berputus asa? Tidak. Tapi lebih kepada kecewa dihati. Aku tidak menyangka ini semua terpaksa aku lalui, sendirian. Aku tidak menduga, sepahit ini yang terpaksa aku telan. Seperit ini yang terpaksa aku terima setelah setulus kasih aku berikan pada dia.
Tapi, mengapa, hingga ke detik ini, aku tidak mampu untuk menjemput benci mendiami hati?
Berulang alik dalam keadaan sarat begini, bukanlah mudah. Kadang Bonda Sharifah yang menemaniku. Kadang kak Sham. Dan, selalunya aku melangkah sendirian bersama peguam yang dilantik. Menurut Bonda anak teman suaminya, ayah Megat ketika kami diperkenalkan seminggu yang lepas. Dalamkeadaan ini, aku perlu kuat. Kuat untuk menempuh semuanya.
Dalam pada itu, aku berharap agar dapat berdepan dengan abang Uzair. Walau untuk lima minit. Akan aku adukan semuanya.
Ingin ku luahkan apa yang terpendam selama dia tiada disisi. Akan aku gambarkan rasa kecewa ini. Ingin aku tanyakan mengapa tega dia mungkiri segala janji yang terpatri.
Tapi sayang, jangankan tubuhnya, bayangnya juga masih belum aku temui. Dia masih lagi bersembunyi entah dimana. Aku jadi bingung. Aku jadi tertanya-tanya. Apakah dia sudah menanam benci sehinggakan dia tidak mahu bertemu denganku?