38

20 4 0
                                    

Demi umi, biarlah aku terus kekal disini. Melewati usia ini bersama-sama dengan umi. Melengkapi hidup kami dengan kebahagian yang hakiki. Walaupun dihadapan ini masih lagi gelita, biarkan aku lalui walaupun aku yang terluka. Kalau itu yang akan membahagiakan umi, aku rela.

Ethan menghubungiku ketika mataku mahu terpejam.

"Jannah..." serunya perlahan sebaik salamnya aku sambut.

"Aku mengantuk. Letih." Dengannya kadangkala aku terlepas laku.

"Aku tahu kamu letih. Aku cuma ingin tahu keadaanmu."

"Aku sihat."

"Aku tahu. Tapi bagaimana dengan hatimu?"

"Aku terimanya dengan lapang hati. Insya Allah, aku reda."

"Alhamdulillah..."

"Ethan..."

"Ya..."

"Kamu akan selalu ada untuk aku kan?"

"Jannah... kamu tahu apa yang aku rasa selama ini. Jadi, mengapa harus kamu bertanya lagi?"

"Terima kasih, Ethan."

Dan entah bila aku hanyut dalam lena sedangkan Iphone masih aku genggam.

"Umi... Jannah rasa, elok Jannah tunaikan hasrat terakhir ayah. Jannah tak mahu bertangguh." Ujarku ketika kami sedang sarapan.

"Tak terlalu awal ke? Tak mengganggu kerja Jannah?" soal umi.

"Ini lebih penting. Hasrat ayah. Walau apapun penerimaan mereka, sekurang-kurangnya Jannah dah sampaikan pesan ayah."

"Tapi, ayah baru pergi."

"Tak apa. Umi jangan bimbang. Biar Jannah call abang Uzair dan berbincang." Ujarku padanya. Dalam hati tetap terselit rasa gundah. Walang ini tidak dapat aku nafikan. Sekuatmanapun aku cuba bertahan, kegalauan ini tetap menghantui.

"Abang minta maaf, Jannah." Suara abang Uzair memulakan bicara kami. Sungguh, aku tidak tahu bagaimana untuk memulakan kata. Meluahkan apa yang aku rasa. Aku bagaikan sehelai kain yang sedang ditiup semilir, meliuk tanpa arah.

Sedari tadi, aku lihat kekeruhan diwajahnya. Aku tahu dia masih lagi terhimpit oleh peristiwa kelmarin. Tapi, itu bukanlah tujuanku. Untuk menjernihkan apa yang keruh. Memberi peluang dan ruang.

"Maaf, bang tapi bukan itu tujuan Jannah berjumpa dengan abang. Ada perkara penting yang perlu Jannah bincangkan dengan abang."

"Perkara apa?" Soalnya.

"Jannah nak berjumpa dengan keluarga abang terutama ayah dan ibu. Ada pesanan dari arwah ayah yang perlu Jannah sampaikan." Terangku.

"Arwah ayah? Apa..."

"Ya, ayah meninggal beberapa hari yang lepas."

"Ya Allah! Innalillahiwainnailaihirojiun... apa betul semua ni, Jannah?"

"Soal nyawa bukanlah sesuatu yang boleh dibuat jenaka, bang."

"Kenapa Jannah tak beritahu abang? Kenapa Jannah tak call abang? Kenapa Jannah sembunyikan dari abang? Susah ke Jannah nak call? Kalau susah sangat, mesej saja."

"Jannah bingung, bang. Ayah pergi dalam tidurnya. Ayah pergi mendadak. Jannah rasa semangat Jannah terbang entah kemana. Jannah sendiri tak tahu nak buat apa."

"Ya Allah.... Abang tak sempat bertemu ayah. Memohon ampun. Abang banyak berdosa dengan ayah. Abang mungkir janji untuk jaga Jannah dengan baik."

"Maafkan Jannah, bang. Bukan niat Jannah nak sembunyikan dari abang tapi Jannah betul-betul lupa."

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now