"Benar. Untie ini mama Chempaka." Jawabku jelas.
"Jadi, betullah apa yang Chempaka dengar malam tadi, papa? Jadi, selama ini benarlah apa yang Chempaka rasa yang Chempaka ini bukan anak kandung ibu?" Abang Uzair dan Amani memandang satu sama lain.
"Jangan ingat Chempaka tak tahu apa-apa, papa. Chempaka bukan bodoh untuk meneka. Nama mama Nur Jannah Amani tapi dalam sijil kelahiran tertulis nama Nurul Jannah. Adakah Chempaka buta untuk mengeja?" soal Chempaka keras.
Jantungku bagaikan ditusuk pedang tajam yang berada ditangan Chempaka.
"Chempaka mahu lihat sejauh mana ibu, papa dan untie mempermainkan hidup Chempaka. Chempaka mahu lihat apa yang akan terjadi selepas ini." Dia masih memanggilku untie. Ini bermakna aku masih jauh dari hatinya.
"Papa.... ibu.... walaupun Chempaka tidak tahu apa yang terjadi, susah sangat ke nak berterus terang? Kita ada banyak masa dan peluang untuk bercerita, tapi ibu dan papa sia-siakan. Chempaka juga ada perasaan ingin tahu." Soalnya pada abang Uzair dan Amani yang terus membisu.
Pandangannya dialihkan padaku. "Untie, tujuh belas tahun Chempaka menanti. Tujuh belas tahun Chempaka menaruh harapan. Andai benar Chempaka ini anak untie, mengapa Chempaka terbiar begini? Tidakkah untie terasa yang sekarang ini sudah terlalu lewat untuk untie menagih kasih anak sendiri?"
Laju airmataku menuruni pipi.
"Sejak Chempaka tahu yang Chempaka bukan anak ibu, Chempaka cuba mencari siapa sebenarnya ibu kandung Chempaka. Chempaka asuh akal ni supaya menerima keadaan yang sebenar. Chempaka bina impian dan harapan. Tapi, hampa. Hati dan akal sudah teramat kecewa setelah penantian Chempaka selama ini sia-sia. Chempaka bina hidup dan belai perasaan Chempaka sendiri. Jadi, sekarang ni, tolong jangan ganggu Chempaka."
"Bukan begitu, sayang. Keadaan yang memaksa." Ujarku menepis sangkaannya.
"Berapa lama untie sudah di sini? Berapa kali sudah kita bertemu? Selama ini Untie ada banyak peluang. Tapi, mengapa untie masih membisu? Untie yang mempersiakan peluang itu."
"Kami memikirkan tentang keadaanmu, sayang. Kami bimbang kalau-kalau Chempaka tidak dapat menerimanya." Pujuk Amani pula bila Chempaka masih teguh dengan kata-katanya.
"Ibu.... Apakah layak seorang ibu yang meninggalkan anaknya berbelas tahun untuk mendapat gelaran itu? Andai dia sanggup memberikan zuriatnya sendiri kepada orang lain tanpa rasa bersalah, apakah dia layak diberi ruang untuk satu kemaafan? Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan zuriatnya sendiri. Bukan dengan pergi meninggalkan anaknya dan kembali semula ke sini dan menuntut hak tanpa rasa bersalah?" lantang Chempaka bersuara. Mempertikaikan kata-kata Amani.
Perasaanku? Bagai disambar petir tatkala telingaku mendengar kata-kata Chempaka. Aku tidak menyangka sebegini hebat penolakannya.