26

25 3 0
                                    


Andai bintang dilangit bisa kukira jumlahnya tidak dapat dibandingkan rindu yang sekian lama terpendam.

"Jannah?" tegur Ezah. Dia berpaling memandang padaku. Pandangan kami bertaut. "Mengapa menangis? Jom kita pergi jumpa dia." Pintu kereta sebelahnya sudah dibuka.

"Jangan!" Aku menghalang.

"Kenapa pulak? Kita dah sampaikan?"

"Ini bukan kali pertama aku melihat dia dari jauh, Ezah. Aku sudah kesini beberapa kali. Cuma aku tidak bercerita dengan sesiapa. Dan, setiap kali itulah aku menangis. Aku hanya mampu melihat dia dari jauh."

"Ya Allah! Kenapa kau tak cakap dengan aku? Kau ni selalu macam ni. Semua benda nak simpan sendiri. Tengok? Kau juga yang tanggung bebannya!" bebelnya.

"Aku ada sebab kenapa aku tidak melangkah. Aku ada sebab kenapa aku tak terus pergi pada dia."

"Aku tahu. Tapi, semua dokumen ada pada kau. Jadi, apa masalahnya?"

"Aku mahu buat cara yang betul. Berjumpa dengan dia dengan cara yang betul. Walaupun aku yang melahirkan dia, tapi bukan aku yang ada bersama dengan dia sepanjang dia membesar. Bukan aku yang ada dengan dia waktu dia sedih atau gembira. Aku juga tak pasti sama ada dia kenal dengan aku ataupun tidak. Aku perlu fikirkan perasaan dan penerimaan dia nanti. Aku bimbang, kalau aku pergi padanya dan bercerita, dia akan pergi lagi jauh dari aku. Kau fahamkan?"

Aku dengar Ezah melepaskan nafas yang panjang. Ada keluhan dihujungnya.

"Jadi, apa yang kau nak buat?"

"Buat masa ini, aku hanya mampu memandang dia dari jauh. Aku dah berbincang dengan peguam aku. Dan, aku menunggu beberapa dokumen yang kak Yati kirimkan dari sana. Lengkap semuanya, peguam akan buat permintaan melalui mahkamah. Kita ada undang-undang. Ezah... melihat dari keadaan dia sekarang, aku dapat rasakan dia melalui usianya dengan kasih sayang yang sempurna."

"Aku harap satu hari nanti, dia juga dapat merasakan betapa kau menderita kerana berpisah dengan dia. Dan juga, abang Uzair. Atas apa yang dia dah lakukan pada kau. Aku bukan nak jadi batu api, tapi melihat keadaan kau begini, aku tahu kau tersiksa. Menderita dalam diam."

Aku tersenyum pahit.

"Ini ujian untuk aku, Ezah. Aku sentisa ingat surah Al-Baqarah ayat 286. Ingat maksudnya, hati aku jadi tenang. Kekuatan itu datang dari Dia."

Jeda.

"Aku pernah kecewa dalam hidup. Aku usung lara ini hingga kehari ini. Aku rasa peritnya derita itu, Ezah. Semuanya aku rasa dan pendam sendirian. Tapi, disepanjang pelarian itu, bukanlah aku tidak pernah rasa bahagia. Bukan tidak bersyukur.

Positifnya, aku dapat berkelana ke tempat yang tak pernah sekalipun terlintas dalam fikiran untuk aku kesana. Tak pernah terfikir untuk dapat apa yang aku ada sekarang. Aku juga tak sangka yang aku akan menjadi sekuat ini. Saat aku berputus asa, Allah kirimkan aku insan-insan yang mulia hatinya. Allah beri aku masa untuk menghitung dimana kesilapan yang aku lakukan. Walaupun hidup ini tidak selalu indah tapi bukan untuk kita terus hidup dalam kepahitan. Masih ada sisi bahagia yang perlu kita cari. Bahagia itu kita yang rasa."

Stereng aku pulas ke kiri dan mula memandu. Impian yang masih belum ternoktah. Kutinggalkan dia dengan doa.

"Kalau boleh, ayah mahu Jannah selesaikan diluar mahkamah. Tak perlu orang lain yang tentukan. Berjumpalah dengan Uzair. Cakap elok-elok. Ayah yakin dia akan faham. Sejauh manapun dia menidakkan, Jannah tetap mama pada anaknya." Ujar ayah ketika kami sama-sama sedang menikmati minum petang. Saat ini aku bercerita kisah dengan mereka apa yang berlaku tengahari tadi. Tiada apa yang harus aku sembunyikan.

"Kalau boleh, ayah mahu apa yang putus dapat disambung kembali."

"Maksud ayah?" Aku pelik dengan kata-katanya.

"Tak baik kita simpan dendam lama-lama, Jannah. Lagipun, perkara ni dah lama berlaku. Kalau boleh ayah tak mahu kita terus bermasam muka."

"Tapi ayah... perkara ni bukan semudah yang kita sangkakan. Banyak yang perlu Jannah fikirkan. Sebab tu Jannah ambil keputusan biar mahkamah yang tentukan supaya tak ada sesiapa yang akan mempersoalkannya nanti."

"Ayah faham. Tapi, Jannah dah cuba? Maksud ayah dah cuba hubungi Uzair dan berbincang?"

Aku pula yang terkelu.

"Jannah tak ada nombor telefon dia, ayah. Lagipun, tak elok Jannah jumpa dengan suami orang."

"Minta abang long atau abang chik temankan. Atau jemput dia kerumah. Kita bincang sama-sama."

Aku telan liur. Biar betul ayah ni? Omelku sendiri.

"Ayah tahu Jannah marah. Ayah tahu Jannah kecewa dengan apa yang mereka buat pada Jannah. Ayah juga faham kenapa Jannah berdendam. Tapi, kalau Jannah cuba selesaikan dengan baik, lagi ayah suka. Buang rasa marah, kecewa dan dendam tu jauh-jauh."

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now