Selepas 17 tahun...
Bukan aku menyerah. Tidak! Aku sudah berusaha. Namun segala usaha itu tidak berhasil. Dengan segala laporan yang telah aku buat, menggunakan medium yang ada, usahaku seakan menemui jalan buntu.
Pasrah? Kadangkala ya. Namun untuk aku menyerah tidak sekali. Cuma saat ini aku memilih untuk mengubati kerinduan dihati dengan melangkah pergi dari tempat yang banyak menciptakan kepahitan buatku. Aku pasti, satu hari nanti segalanya akan terjawab. Cuma ketika itu, adakah kesakitan semalam akan terubat oleh masa?
Saat itu, aku percaya dan yakin, anakku berada dalam keadaan yang baik. Naluri seorang ibu itu sentiasa benar. Naluri ini adalah kurniaan terindah oleh Yang Maha Esa. Aku tidak akan menidakkan rasa yang sentiasa menemaniku ini. Yang menjadi pengubat rinduku kerana aku tahu dia sedang dibelai oleh insan yang sangat pengasih.
Aku punya sebab kenapa aku tidak meneruskan langkah. Merebut kembali dia dari mereka. Aku punya alasan untuk pergi dan meninggalkan dia disini tanpa belaian kasih seorang mama.
Bukan mudah tapi aku harus kuat melangkah. Akan ada yang menghukum? Hati dan jiwa ini sudah lali dengan kecewa dan kelukaan hinggakan tiada ruang lagi untuk merasakan kesakitan. Mereka berhak berkata apa saja. Kala itu, aku harus menentukan masa depanku. Cukuplah sekali aku tersalah langkah.
Aku tahu mereka kaget dengan keputusanku. Mereka tidak menyangka sedrastik ini aku membuat keputusan. Menarik semua laporan yang dibuat, menoktah segala usaha dan pergi. Sebelum itu, aku gigih berusaha tanpa lelah tapi disatu hari yang lain aku datang dengan kata pemutus. Mereka akan tahu dan faham juga nanti. Bukan kehadirannya menjadi beban tapi aku perlu bersedia untuk berdepan. Disatu sudut, aku pasti abang Uzair juga punya alasan.
Aku pasti satu hari nanti, segalanya ada jawapan. Antara aku dan dia pasti akan bertemu. Saat itu akan aku tagih pada soalan-solan yang masih bergantungan jawapan.
Pergiku bukan untuk selamanya. Saat ini, aku tidak mampu untuk berlamaan disini. Jiwa dan hatiku makin lara.
Memendam sudah sekian lama. Andai ini yang ditakdirkan untukku, aku akan melalui jalan ini untuk mencari penawar agar luka ini terubat, biarpun sedikit.
Sayang, mama pasti akan kembali. Ya, setelah mama persiap dan perteguhkan segalanya. Agar mereka tidak mampu mempertikaikan keadaan mama seperti waktu dulu. Agar mereka terbisu untuk mempersoalkan segalanya. Bukan mama berdendam cuma saat ini kemaafan itu seakan lenyap bersama debu yang bertebangan.
Berkelanalah aku dengan mengusung semua derita yang mencengkam. Bersama rasa rindu yang tak pernah padam.
Berbekalkan sepersalinan yang masih terlekat harum baunya, aku gagahkan diri melangkah bertahun lama untuk terus bernafas diatas tanah ini. Bukan mudah menyembunyikan pilu dihati apatah lagi tatkala malam menjenguk diri. Kesunyian ini seakan membuatkan aku terus larut dalam memori. Terikat pada kisah yang belum ternoktah lagi.
"Mengelamun lagi?" soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berpaling.
"Ya?"
Dia hanya tertawa kecil. Oh... rupanya dia sengaja mempermainkan aku.
"Wajahmu masih terlukis sejuta kedukaan, Jannah. Sejak pertama kali aku mengenalimu. Aku ingin sekali berkongsi rasa itu cuma kau tidak pernah memberi padaku ruang dan peluang. Mengapa?" Terlukis riak kesalan diwajahnya.
Soalan yang sama seperti dulu. Aku?
Yang terukir hanyalah senyuman buatnya. Hanya itu jawapanku sedari dulu. Ah, terlalu sukar untuk aku berkongsi rahsia hati ini, teman. Padaku biar saja begini dari engkau tahu apa yang telah aku lalui. Perit dan sangat menyakitkan. Engkau terlalu baik untuk aku kongsikan derita hati ini.
"Kamu adalah temanku yang paling baik, Ethan. Mana mungkin untuk aku berkongsi duka denganmu. Aku sudah bersyukur yang engkau sentiasa menemaniku selama ini." Ujarku seakan memujuknya kerana aku tahu dia kerap terluka dan kecewa kerana persoalannya tak pernah aku aku jawab.
"Seandainya dengan kata-kata itu bisa membuatkan engkau menerima aku untuk bernaung dalam hatimu, aku rela walaupun terpaksa menempuh ranjau berduri. Bukan setahun dua aku menantimu, Jannah." Dia seakan mendesak.
"Please, Ethan. Kalau aku sendiri sukar untuk memahami apa yang telah terjadi, bagaimana kamu yakin bisa memahaminya?"
Dia terdiam. Mungkin sedang mencerna apa maksud kata-kataku.
"Selama aku mengenalimu, kamu adalah insan yang sangat baik. Tuhan saja yang bisa membalas apa yang sudah kamu lakukan untukku selama ini. Biarpun masa kelamku sudah lama berlalu, tapi ianya tetap mengekoriku hingga kini. Walaupun kita jauh berbeza, kamu tidak pernah menjadikan ianya jurang antara kita. Malah kamu sentiasa ada disisiku saat aku tersenyum mahupun menangis." Aku menghurai kata. Lembut agar dia mengerti.
"Teman yang baik sentiasa ada disisi saat duka dan gembira sahabatnya." Balasnya perlahan. Sekali kali pandangan kami bertaut.
Aku tersenyum pahit. 'Tapi aku bukanlah temanmu yang baik. Dan, aku juga tidak tahu apakah ungkapan terima kasih itu bisa membalas segala kebaikan yang kamu sudah hulurkan padaku?' Namun kata-kata ini hanya terungkai didalam hati. Tak termampu olehku untuk meluahkan padanya. Aku hanya memandangnya sepi. Sesunyi hatiku yang sudah lama tertutup rapi.
"Maafkan aku, Ethan."
"Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya, kamu tak pernah menghalang untuk aku terus berada disisimu. Memadailah bagiku." Jawabnya lemah.
Hati melonjak untuk membalas katanya. Tapi seakan ada yang menghalang. Sudahnya, aku hanya mampu memandangnya dengan pandangan yang kosong. Hati dipagut rasa bersalah. Membiarkan dia terus mendampingi aku seakan menyekat dia dari terus mencari kehidupannya sendiri. Seharusnya aku tidak menjadi penghalang untuk dia mencari secebis kebahagiaan untuk dirinya. Dia berhak! Aku terhimpit rasa berdosa.
Pandangan aku alihkan pada panorama dihadapanku. Pepohon lavendar teroleng-oleng kiri dan kanan saat bayu datang menyapa.
"Ethan, seandainya satu hari nanti kamu bertemu dengan gadis yang menjadi pilihanmu, katakan saja padaku. Aku ingin sekali berkongsi rasa bahagia itu."
"Pintu hati ini sudah terkunci dengan namamu terukir didalamnya. Bagaimana aku mampu untuk mengukir nama insan lain selain dari namamu, Jannah."
YOU ARE READING
Kerana Rindu Ini
Roman d'amourYang sarat dijiwa itu adalah kekuatan untuk aku melangkah