Sejak umi pergi aku lebih senang bersendiri. Jiwa ini makin kosong. Lebur bersama jasad yang sudah terkubur. Payahnya untuk aku memberi nyawa pada hati yang sudah mati.
Aku berteleku lagi di sini. Mengenang kembali saat-saat aku dan umi. Mendengar celotehnya, senyuman dan tertawa, merasai usapannya, mengeratkan dakapannya. Semua masih terasa. Ah, sukarnya untuk aku melupa. Umi, kuatkah, Jannah? Soalku berbisik tanpa henti.
Sejak semalam, tidurku bertemankan kain batik, baju kurung dan tudung umi. Inilah pakaian umi yang terakhir. Masih melekat bau umi yang aku cium saban hari. Sungguh aku rindu padanya. Aku tidak tahu bagaimana untuk aku menyisirkan rasa rinduku ini.
"Jangan terus begini, Jannah. Kirimkan al-fatihah banyak-banyak." Tegur kak Balqis yang menjenguk aku dalam bilik tinggalan umi ini.
Aku mendongak. "Jannah tak tahu nak buat apa, kak. Mampukah Jannah teruskan hidup?" tangisku lagi.
Kak Balqis datang dan memelukku erat. "Kami selalu ada untuk Jannah. Jangan fikir Jannah sendirian." Pujuknya. Terasa tangannya mengusap belakangku perlahan. Aku sudah teresak-esak.
"Kenapa secepat ini, kak? Jannah tak bersedia langsung."
"Kematian itu akan datang sama ada kita sedia atau tak, Jannah. Redalah pemergian umi."
"Jannah perlukan masa untuk semua ini, kak. Bukan Jannah tak reda cuma Jannah perlukan masa untuk diri Jannah menerima semua ini. Ayah...umi.... Pergi dalam masa yang terlalu singkat. Rasanya tak puas lagi untuk Jannah menabur bakti."
"Bakti seorang anak itu tak pernah putus, Jannah. Kirimlah sebanyak mana ayat suci sebagai tanda kita anak yang soleh. Itu lebih berharga dan bermakna. Bukan terus meratapi pemergian mereka."
Terkesan juga aku dengan kata-kata kak Balqis. Bukankah doa anak yang soleh itu adalah salah satu dari tiga perkara yang dibawa oleh ayah dan umi selama mereka tenang dalam persemadiannya? Sementara menanti saat dan ketika untuk bertemu dengan Yang Esa?
"Mari kita keruang depan. Masih ada lagi amanah yang harus kita lunaskan. Kita semua sedang berduka, Jannah. Tapi, jangan biarkan kami semua hilang Jannah juga."
Perlahan aku bangun dan mengekori langkah kak Balqis. Benar kata-katanya. Yang pergi tetap pergi. Aku perlu teruskan hidup.
Semua adik-beradik masih lagi berkampung di sini. Sanak saudara sudah pulang sebaik saja urusan pengkebumian selesai. Ada juga yang menanti hingga majlis tahlil selesai malam tadi. Abang long sudah berkeputusan untuk majlis tahlil malam ini dan seterusnya akan dibuat dimasjid dan dirumah-rumah anak yatim yang sudah dipilih. Abang Amar sudah menghubungi mereka melalui temannya yang bekerja dijabatan kebajikan masyarakat. Kata abang long selain majlis untuk umi dan ayah, kita juga boleh bersedekah terutamanya pada anak yatim piatu. Besar ganjarannya.
Aku duduk bersebelahan kak Hanis. Ketika itu, aku lihat abang long dan abang chik sedang berbincang sesuatu. Sebaik saja aku sampai, mereka terus memandang padaku.
"Jannah dah okay?" soal abang long. Aku mengangguk.
"Baiklah. Semuanya dah ada kan? Elok abang teruskan. Ini, encik Razman dari As-Salihin yang menguruskan wasiat arwah ayah dan umi."
"Wasiat? Secepat ini? Takkanlah." Soalku pelik. Baru dua hari umi pergi takkan sudah mahu membicarakan perihal harta pusaka pulak? Aku tidak begitu terdesak. Apakah adik-beradikku begitu ketagih?
"Maaf ya. Biar saya jelaskan agar tidak ada timbul kekeliruan." Sampuk encik Razman. "Begini. Memang nampak macam seolah-olah kita mahu berebut pusaka. Tapi, jangan salah faham. Ini fardu kifayah. Benar kita masih lagi berduka, tapi pembahagian pusaka ini wajib dilaksanakan. Harta ini harus diberi pada yang berhak seperti yang dituntut dalam agama. Dan sebaiknya, wasiat ini dibaca dalam masa tujuh hari selepas tarikh kematian. Ini disebabkan waris-warisnya masih berkumpul dan memudahkan kami sebagai pentadbir harta. Tidaklah tercari-cari waris. Kita tidak boleh menangguhkan atau melengahkan pembahagian pusaka terlalu lama."
Aku terdiam.
Satu persatu diterangkan pada kami terutamanya hukum faraid iaitu pembahagian harta mengikut syarak seperti didalam surah An-nisa' ayat 10-12.