37

21 4 0
                                    


Aku hidupkan kembali telefon bimbit sebaik saja aku mula memandu. Dari sini aku perlukan arah untuk membantu aku pulang kerumah.

Kedengaran bunyi pesanan bertali arus. Melihat di skrin telefon, terdapat beberapa panggilan yang tidak berjawab.

Kak Balqis – Jannah pulanglah. Ayah dihospital Putrajaya. Ayah pengsan dirumah. Terkejut dengan apa yang dah terjadi.

Menggeletar tubuhku. Berkali-kali aku membaca mesej dari kak Balqis untuk kepastian. Ya Allah! Utuh tanganku memegang dinding masjid. Berpaut agar aku mampu untuk berdiri. Lemah lututku membaca mesej dari kak Balqis.

Terketar-ketar tanganku mencari nama kak Balqis untuk dihubungi.

"Assalamualaikum.... Akak..." Sebaik salam terluncur, aku terus menyeru namanya.

"Jannah. Pulanglah. Walau apa pun yang terjadi, kita selesaikan sama-sama. Membisu begini tidak akan menyelesaikan masalah. Kami semua ada di sini. Pulanglah, dik." Suara kak Balqis menerpa cuping telinga sebaik saja salamku bersambut.

Sayu. Aku tahu dia sedang menangis. Ada sedu di hujung suaranya. Aku juga payah menahan sebak didada.

"Ayah....kak." Tidak terucap kata-kataku. Bagai tersekat dikerongkong. Aku bimbang andai ada perkhabaran buruk dari dia. Adakah aku bisa bertahan agar diri tidak rebah?

"Jangan risau. Ayah dah okay sikit. Kami semua ada disini. Pulanglah. Jangan ditambah susah hati ayah. Kalau tidak kerana kami, buatlah kerana ayah. Pulang ya, dik. Akak tunggu disini sampai Jannah tiba. Akak tahu Jannah takkan kecewakan kami semua." Suara kak Balqis semakin lembut memujuk.

Runtuh juga benteng tangisan yang cuba aku tahan. Air mata ini kembali menitis. Mendengar pujukannya, apatah lagi memikirkan keadaan ayah, fikiranku tambah berkecamuk. Ya Allah, mengapa semua ini terjadi dalam satu hari? Aku semakin lelah. Hati ini terus mengusung duka yang entah bilakan reda.

Ayah... Jannah akan pulang, ayah. Tunggu Jannah. Tunggu sampai Jannah sampai.

Aku pecut selaju yang mungkin. Aku tidak lagi memikirkan apa-apa selain dari ayah dan seluruh keluargaku yang kebimbangan. Diam tidak akan menyelesaikan masalah, Jannah. Bisikku perlahan.

Aku terus berlari ke lobi hospital kerana kak Balqis sedang menantiku disana. Itu yang dipesannya sebentar tadi. Sebaik terpandang dia yang berjalan mundar mandir, aku terus memeluk tubuhnya erat.

"Maafkan Jannah, kak. Maafkan Jannah."

Aku dibiar melempiaskan rasa dibahunya. Teresak-esak melepaskan tangis.

"Tak apa. Akak faham perasaan Jannah. Jannah perlukan masa untuk semua ini. Tapi, satu perkara yang perlu Jannah ingat, kami semua ada di sini untuk Jannah. Jannah bukan sendiri lagi. Ingat tu." Bisik kak Balqis perlahan.

"Sabar, Jannah. Ini ujian. Allah sayang dengan orang yang sabar. Dia kirimkan ujian tanda Dia sayang. Baru sedikit nikmat yang Allah tarik tapi kita sudah kegelisahan. Sudah kebingungan. Bayangkan kalau Allah tarik semuanya. Apa reaksi kita, Jannah?"

Aku terdiam.

"Akak faham tentang perasaan Jannah yang selalu turun naik. Kadang kuat. Kadang mahu melawan. Tapi, ada suatu ketika Jannah rasa kalah. Rasa lemah. Itu namanya kehidupan. Kita tak pernah sempurna, Jannah. Dan, tak semua yang kita harapkan, akan kita dapat seperti yang kita mahu. Allah beri dengan cara lain yang kadangkala kita tak pernah terfikirpun."

"Jannah terlalu kecewa dengan apa yang berlaku hari ini, kak. Benar, apa yang Jannah harapkan bukan seperti ini jadinya. Jannah dah cuba sedayanya. Tapi, bila..."

"Sudahlah. Walaupun akak tak tahu apa yang terjadi sebenarnya, Ezah sudah ceritakan serba sedikit."

Seperti yang kuduga.

"Macam mana dia boleh call akak?"

"Dia nak tahu kalau-kalau Jannah dah balik rumah. Dia bimbang bila dia nampak Jannah berlari keluar dari restoran dan pergi entah ke mana. Jadi, akak mintalah dia ceritakan dari mula."

"Macam mana keadaan ayah, kak?" soalku. Aku mahu fokus pada kesihatan ayah dan meletakkan seketika masalahku ketepi.

"Alhamdulillah. Ayah dah sedar tadi. Salah akak juga. Masa Ezah bercerita, akak tak perasan yang akak diruang tamu. Ayah dan umi pula didapur. Masa tu lah ayah terdengar bila akak tertinggi suara masa Ezah kata Jannah dah lari entah kemana. Akak panik. Ayah terus rebah." Cerita kak Balqis.

"Ya Allah. Semuanya berlaku dalam satu hari! Jannah tak tahu macam mana nak berdepan dengan semua ni, kak."

"Jangan fikirkan sangat. Zikir. Akak tahu Jannah kuat. Lagipun, kalau umi tengok Jannah macam ni, lagi bertambah susah hati umi." Pesan kak Balqis.

"Abang long? Kak Hanis? Semua dah sampai?" soalku.

Kak Balqis mengangguk. "Abang long dah datang dengan kak Dhija. Kebetulan mereka memang mahu menjenguk ayah dan umi. Kak Hanis dengan abang Mukhlis yang mula-mula sampai tadi. Abang Chik dah dalam perjalanan. Kejap lagi sampailah tu."

Terangguk-angguk aku mendengar kata-kata kak Balqis. Debaran dalam hati reda sedikit. Semua ahli keluargaku sudah sampai. Alhamdulillah.

Tanganku ditarik kak Balqis menuju ke bilik tempat ayah ditempatkan. Dadaku kembali berdebar. Sukarnya untuk aku mengatur nafas. Aku seakan lemas dalam ganasnya ombak yang sedang menghempas dasar hati.

"Umi......" seruku perlahan. Aku menapak mendekatinya. Jelas raut wajahnya masih lagi kebingungan. Kasihan umi. Aku terus memeluknya. Seingat aku, umi tidak pernah memelukku sebegini erat. Mungkin masih terselit kebimbangan dalam hatinya. Tentang aku dan ayah. Jannah, minta maaf umi. Bisikku perlahan.

"Jangan sesekali pernah terfikir untuk tinggalkan umi lagi, Jannah. Umi merayu. Walau apapun yang terjadi, umi sentiasa ada untuk Jannah. Jangan takutkan umi lagi, sayang." Suara umi seakan tersekat. Benar telahanku, dia dalam kebimbangan.

"Tidak. Jannah takkan tinggalkan umi lagi. Jannah janji, umi." Luluh hatiku mendengar permintaan umi.

Aku lihat ayah. Mata ayah masih lagi terpejam rapat. Biarlah ayah berehat walaupun hatiku seakan mendesak untuk bercakap dengan ayah. Meluahkan apa yang aku rasa agar dia tidak lagi kebimbangan. Sungguh, aku tidak akan melukakan perasaan mereka lagi.

Tapi, kini ayah terbaring kaku. Umi pula menangis kebimbangan. Kalau dulu aku tidak tahu bagaimana mereka menderita, tapi kini, untuk menghirup nafaspun aku rasa berdosa.

"Jannah minta maaf, umi. Jannah bersalah. Kalau tak kerana Jannah, ayah tak begini."

"Tidak. Jangan fikir macam tu. Semuanya dari Allah. Lagipun ayah memang dah tak sihat." Pujuk umi, lembut.

Umi, Jannah bukan lagi anak kecil untuk umi sembunyikan realiti dengan kata-kata manis. Apa yang terbentang ini sudah menjawab segalanya. Tidak perlu lagi terus berlindung dibalik bayang sedangkan wajah jelas kelihatan.

Terdiam. Suasana terus sepi. Tiada satupun dari kami yang bersuara. 

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now