Semalam...
Aku memandu ke sekolah Chempaka. Selepas keluar dari café, aku kesini. Rindu. Biarpun dari kejauhan, cukuplah menjadi penawar untukku.
Sabar ya sayang. Kita pasti akan bertemu.
Dan, bagaikan kisah yang sedang diadaptasi, aku terasa waktu seakan berhenti dari berdetik saat aku melihat siapakah gerangan yang mengetuk cermin keretaku. Aku benar-benar terkejut dan tidak menduga sama sekali. Aku tahu, lambat laun kami akan bertemu jua namun aku tidak menjangkakan seawal ini. Aku masih belum bersedia! Mental dan fizikal.
Aku tersandar seketika ditempat duduk. Cuba menenangkan diri. Mata terus legat memandang ke hadapan. Sepi. Sukar untuk aku pamerkan perasaanku padanya. Marah? Kecewa? Sakit hati? Ataupun rindu? Yang pasti tidak ada sekelumitpun rasa kasihan atau rasa cinta buat dirinya. Tidak ada lagi rasa yang sama seperti dulu. Jiwa yang sudah dilapah ini seakan sudah ampuh. Benarkah?
Perlahan-lahan aku keluar dan bersandar pada kereta. Dia juga begitu. Berdiri bersebelahanku. Dihadapan kami pintu pagar sekolah Chempaka.
Tidak kami peduli kereta yang lalu lalang. Biarpun kebisuan melanda, kami larut dalam dunia sendiri.
"Assalamualaikum...." ucapnya perlahan.
Terasa seperti sesuatu menikam hati. Suaranya masih seperti dulu. Walaupun raut wajahnya jelas kelihatan berbeza, namun nada suaranya masih sama. Garau dan memikat.
Aku menelan liur. Masih membisu. Otakku seakan gagal berfungsi. Entah kemana akal melayang. Kosong. Aku hanya mampu melihat dirinya yang kini tegak berdiri dihadapanku. Terasa seluruh tubuhku tiba-tiba menggeletar.
Bila pandangan kami bertaup, redup sinaran matanya membuatkan aku kalah. Akhirnya aku menundukkan wajah. Tidak mahu terus berlawan pandang. Biarpun aku tidak menanam benci, disatu sudut hatiku, aku masih mahu dia terhukum atas apa yang berlaku. Aku mahu dia rasa apa yang aku tanggung selama ini.
"Sekurang-kurangnya jawablah salam abang tu. Takkan nak menunduk saja." Tegurnya perlahan.
Ada debar didada yang datang menjengah. Bukankah hati ini sudah disiat? Bukankah jiwa ini sudah dilapah? Mengapa kenangan itu mahu menjenguk kembali saat ini? Gemersik suaranya seakan-akan mahu menjemput dia kembali menyapa rindu dihati.
Aku menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Aku mendongak. Pandangan kami bersabung. Sekali lagi. Bagai ada kuasa renjatan. Aku akan kalah kalau keadaan terus begini. Segera anak mata aku larikan kearah lain. Biarlah dia terus meratah tubuhku dengan pandangannya.
Sama seperti dulu, kehangatan itu hadir kala berdua begini. Masih aku terasa. Melalui pandangannya, dia seolah sedang cuba menghidupkan kembali perasaanku yang sudah lama terkubur. Tapi, mengapa sekarang? Tidakkah dia terfikir semuanya sudah terlewat?
Hati, kuatlah untuk aku terus menentang pertempuran jiwa ini. Jangan biarkan engkau hanyut dalam lautan yang bergelora. Aku tidak mampu untuk terus berenang sendirian. Aku sudah hampir lemas. Dan, aku tidak mahu karam sebelum bertemu dengan sidia yang aku rindukan.
"Jannah apa khabar?" Soalnya setelah seketika kami kebisuan.
Terik matahari makin memeritkan kulit. Deruan enjin kereta yang lalu lalang sedikit pun tidak mengganggu dia. Aku pula yang terasa malu bila sesekali ada yang menoleh memandang kearah kami. Sudah tentu pelbagai persoalan muncul dibenak. Pergaduhan suami isteri barangkali? Apakah akan terjadi sketsa seterusnya. Peperangan suara? Atau ada tampar menampar. Pengawal sekolah juga masih setia memerhatikan kami dari tadi.
"Baik, alhamdulillah," jawabku ringkas. Suara aku keraskan. Hati sengaja aku bekukan. Riak wajahku sengaja aku keruhkan. Sememangnya aku tidak pernah mengimpikan pertemuan semula dalam keadan begini.
Diam. Aku membisu. Biarpun masih banyak persoalan yang aku dahagakan jawapan darinya. Namun, dalam situasi begini, untuk aku bertanya, tidak mungkin kerana aku mahu dia yang memulakannya dahulu.
"Kita perlu berbincang, Jannah. Banyak persoalan yang belum terjawab diantara kita." Suaranya lembut menampan pendengaranku.
"Dah tak ada 'kita' antara kita, bang. Yang ada hanya Chempaka." Jawabku dengan helaan nafas yang panjang.
"Dia yang menjadi asbab untuk hubungan ini kekal, Jannah. Selama ini."
"Tidak. Dia bukan asbab. Tapi, dia adalah tanda cinta Jannah yang tak kesampaian." Akhirnya terluah juga kata-kata itu untuknya.
"Jannah...." Aku terdengar dia mengeluh. Mungkin tidak mengharapkan jawapan begini dariku.
"Maaf bang. Jannah kena pergi dulu. Jannah masih ada urusan." Aku tidak mampu untuk terus berlamaan disini. Semuanya melemaskan aku!
"Nanti dulu, Jannah.Kita perlu leraikan segala keksusutan ini. Abang tak mahu semua ni terus tergantung. Abang mahu selesaikan semuanya."
"Buat Jannah, antara kita dah lama usai. Yang Jannah mahukan hanyalah anak Jannah, Chempaka. Yang lain Jannah tak mahu ambil kisah."
Benarkah? Apakah penderitaanmu sudah menemui noktah, Jannah? Apakah semua persoalan sudah kau temui jawapan? Apakah ini akan meleraikan segala yang tersimpul? Benakku membariskan persoalan.
"Tapi abang perlukan penjelasan dari Jannah. Bukan sedikit tapi banyak." Suaranya keras. Seperti tidak puas hati. Aku? Hanya memandang padanya.
"Jannah tak ada apa-apa yang perlu dijelaskan lagi."
"Jangan terus mengelak, Jannah. Terlalu banyak yang tergantung. Semuanya perlukan jawapan. Selama ini abang cari Jannah."
Kata-katanya membuatkan aku terpempan. Apa benar dia mencariku selama ini? Tapi untuk apa? Bukankah dia sendiri yang mencampak aku bagaikan tiada harga. Kenapa kini kembali menuntut semua jawapan? Atau sebenarnya mahu meletakkan semua kesalahan padaku?
"Maksud abang?"
"Walaupun sudah terlafaz talak yang meleraikan kita, bukan bermakna abang berdiam. Abang juga mahukan jawapan dari Jannah. Abang juga mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi?"
"Abang mahu tahu apa yang terjadi? Apa yang abang cakap ni?"
"Seharusnya kita duduk berbincang, Jannah."
"Tak ada yang perlu dibincangkan. Semuanya sudah jelas. Hak yang sepatutnya menjadi milik Jannah juga sudah menjadi milik abang."
"Jadi, kenapa sekarang Jannah kembali dan menuntut hak itu semula?"
"Jannah kembali bukan menuntut hak. Jannah kembali kerana rindu. Jannah kembali kerana mahu dia tahu yang Jannah ini mamanya. Itu saja."
"Setelah sekian lama, Jannah? Kenapa sekarang? Kenapa dulu Jannah tak pernah fikir semua ini? Kalau abang sendiri tak faham dengan apa yang terjadi, apakah Jannah fikir Chempaka akan faham?"
Aku pandang wajahnya. Aku tahan rasa amarah yang sedang berperang dalam diri.
"Maaf. Jannah nak balik."