"Jadi, apa keputusan kau? Jumpa abang Uzair ataupun isterinya?" soalan pertama dari Ezah ketika kami sedang membersihkan ruang hadapan café.
Aku angkat bahu.
"Selama mana kau nak mengelak?"
"Bukan mengelak tapi memikirkan tentang rasionalnya aku berjumpa dengan Amani."
"Dalam hal ini, aku rasa Amani bertindak atas naluri keibuannya. Dia yang mengasuh dan mendidik Chempaka dari kecil. Chempaka hanya mengetahui dia sebagai ibunya. Kau tak boleh menepikan realiti, Jannah. Ini kenyataan. Dalam hal ini, aku fikir dia juga memikirkan perasaan Chempaka. Sama macam kau."
Diam.
"Kalau kau tanya pendapat aku, ada baiknya kau jumpa dia. Duduk berbincang. Itupun kalau kau mahu menyelesaikan secara baik. Kalau tidak, biar mahkamah yang tentukan. Dan kau tahukan, apa kesannya? Chempaka akan bertambah terkejut."
"Hmm... entahlah. Lagipun, aku bukan mahu meminta hak aku dikembalikan. Aku cuma mahu berjumpa dengan dia sahaja."
"Aku tahu. Tapi, tak salah kalau kau jumpa mereka."
"Sorry Ezah. Aku rasa tak sihat tiba-tiba. Aku nak balik."
Sakit kepala! Lebih-lebih lagi aku terus diasak persoalan yang sama. Lemas! Jadi, biarlah aku mencari tenang seketika. Sendirian.
******
"Jannah pergi mana? Semalaman tak balik. Satu panggilanpun tak berjawab." Soal kak Balqis.
Kak Balqis meluru kearah keretaku sebaik saja aku mematikan enjin. Dibelakangnya berdiri abang Amar.
Ya aku tahu aku salah. Semalam aku mengambil keputusan untuk bermalam dihotel saja. Selepas keluar dari café, aku tidak pulang ke Putrajaya.
"Maaf, kak. Jannah tahu akak bimbang. Tapi, tolonglah. Jannah letih."
"Akak juga letih, Jannah. Bertambah letih bila Jannah buat perangai begini. Bertambah penat bila Jannah asyik pentingkan diri sendiri."
Dumm! Langkahku terhenti. Aku berpaling dan memandang tepat wajahnya.
"Ezah... Ethan... abang long... semua orang cari Jannah. Semua orang bingung. Tapi, ini jawapan Jannah? Jannah tahu tak betapa kami kebimbangan? Jannah tahu tak yang kami semua takut Jannah pergi lagi? Jannah tahu tak?"
"Akak... tolonglah. Jannah tak ada tenaga nak bergaduh dengan sesiapa."
"Kenapa Jannah ni? Sekurang-kurangnya hargailah orang yang sayang pada Jannah. Buanglah sikap pentingkan diri tu? Hidup Jannah bukan sendiri. Kalau ada masalah, susah sangat ke nak berbincang? Kami semua cuba faham keadaan Jannah. Tapi, Jannah fikir tak keadaan kami?"
Aku kelu.
"Jangan terlalu pentingkan diri, Jannah. Cuba bertindak macam orang yang dah matang. Jangan fikirkan perasaan sendiri sampai mengabaikan perasaan orang lain. Kalau dengan kawan-kawan Jannah, akak tak kisah sangat. Tapi kami ni keluarga, Jannah. Umi dan ayah dah cukup risau bila semalaman Jannah tak balik."
"Umi dan ayah tahu?"
"Masakan umi dan ayah tak tahu. Semalaman Jannah tak balik. Sudah tentu umi dan ayah bertanya. Logik, Jannah... logik. Dan, takkan Jannah mahu akak berbohong pulak. Bila call Ezah, dia beritahu Jannah tak ada di café. Jadi, apa yang Jannah mahu akak fikir?"
"Sepatutnya akak rekalah cerita apapun. Janganlah beritahu umi dan ayah yang Jannah tak balik."
"Bijak! Sangat bijak jawapan tu. Umi dan ayah tu belum buta lagi tau. Jangan nak marah pada akak. Marah diri sendiri tu dulu. Buat sesuatu tak pernah nak fikir. Kalau Jannah lari lagi, kemana akak nak cari? Tak pernah nak fikir perasaan umi dan ayah. Perangai macam dulu juga."
"Suka hati akaklah nak cakap apa." Entah kenapa jawapan ini yang terkeluar dari bibir. Mungkin kerana penat dan juga fikiranku yang berserabut.
"Ni lah padahnya kalau umi dan ayah terlalu manjakan Jannah."
"Jannah bukan budak kecik, kak yang perlu beritahu semua orang ke mana Jannah pergi. Lagi satu jangan babitkan umi dan ayah, okay?"
"Sekarang ni, Jannah tak babitkan umi dan ayah ke?"
"Akak yang mulakan dulu."
"Tapi, Jannah yang tunjukkan jalankan?"
"Sudah...sudah... tak habis-habis nak bertekak!" suara umi pula yang meninggi dari belakang. Kami terdiam. Terkejut juga kami dengan sergahan umi. Jarang umi tinggikan suara pada kami. Selalunya bila keadaan mendesak saja. Seperti sekarang ini.
"Ini ke cara selesaikan masalah? Umi ajar anak-anak umi begini ke?"
"Umi...." kak Balqis terus mendapatkan umi dan menuntunnya untuk duduk disofa.
"Kenapa tak bermuzakarah saja. Kenapa perlu berlawan kata? Nampaknya peristiwa lama tu tak pernah diambil iktibar langsung." Rungut umi perlahan. Suara umi semakin kendur.
"Maafkan Balqis, umi. Balqis tak dapat kawal perasaan. Jannah tak pernah fikirkan perasaan kita, umi. Tak pernah. Jannah ingat kita gembira selama dia menghilangkan diri. Dia fikir kita semua boleh bergelak ketawa bila dia pergi dengan tak pernah menghubungi kita langsung. Dia tak pernah tahu betapa kita rindukan dia. Betapa kita juga rasa kosong bila dia tak ada. Betapa kita macam nak gila cari dia merata tempat. Betapa kita juga sengsara dan menderita. Dia tak pernah tahu betapa umi dan ayah kerap menangis kerana dia."
Suara kak Balqis bersulam esakan.
Terluah juga perasaan dari kak Balqis. Aku sedar akulah puncanya. Ya Allah, lihatlah betapa aku sudah membuatkan seluruh keluargaku menitiskan air mata.
Benarkah aku terlalu mementingkan diri dan perasaanku sendiri hingga mengabaikan perasaan insan-insan yang masih menyayangiku? Apakah selama ini aku tidak peka dan tidak peduli? Lalu, akukah yang bersalah. Oh Tuhan!
"Sudahlah...sudah... Mengapa cerita lama tu masih mahu diungkit balik?" soal umi.
"Jannah tu umi. Jannah. Dia tak tahu yang Balqis hampir putus nyawa bila Ezah kata dia tak ada di café. Terkejut. Rasa macam nyawa dah melayang entah kemana. Menggigil satu badan."
Aku tarik nafas panjang. Ya, aku sedar semuanya berpunca dariku. Aku yang mulakan lalu biar aku yang menoktahkannya.
"Kak Balqis...." Seruku perlahan. Anak mataku memandang dia dan umi yang duduk dihadapanku. Legat. Dan, tangan aku letakkan didada. "Kalau perkataan maaf tu boleh membuatkan semua orang senang hati, Jannah minta maaf. Sangat-sangat. Sungguh, Jannah tak terniat nak susahkan sesiapa. Cuma sekarang ni Jannah mohon diberikan ruang untuk berfkir. Itu saja" Mohonku.
Sungguh, bukan ini pintaku. Tika ini aku tidak mampu untuk menutur kata membariskan bicara yang indah sedangkan hatiku ini makin tercarik pedih. Tasik hatiku sudah terkocak riaknya. Apakah ketenangan itu akan kembali menghuni?
Aku tinggalkan mereka dengan pelbagai persoalan. Biarkan mereka tertanya. Pasti akan ada ruang dan masa untuk aku menjelaskan. Cuma, bukan sekarang.