"Salam, sayang." Ujar abang Uzair pada Chempaka dan dia hanya menurut saja.
Percayalah, saat jemari kami mengenggam erat, sekujur tubuhku bagaikan sedang disiram air. Dingin dan terketar.
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Besar.
Sekuatnya aku menahan aimata ini agar tidak menitis. Aku tidak mahu dia melihat aku menangis. Pasti akan membuatkan dia tertanya-tanya.
"Siapa ni, papa?" bisik Chempaka pada abang Uzair yang duduk disebelahnya membuatkan aku dan abang Uzair berpandangan sesama sendiri. Aku lihat halkum abang Uzair bergerak. Liur ditelan perlahan.
"Ini..." tergagap pula abang Uzair mahu menjawab soalan anaknya.
"Auntie Jannah. Saudara papa, Chempaka." Bait yang meluncur dari bibirku menambah luka dihati. Sesungguhnya aku terpaksa.
"Jannah..." seru abang Uzair perlahan.
Kala ini biarlah aku berkata berlandaskan akal yang waras dari perasaan yang membuak. Bimbang pada penerimaan puteriku. Juga memikirkan keberadaan kami ketika ini. Sebolehnya, momen ini diabadikan dengan cara tersendiri. Bukan jerit pekik dan linangan airmata kesalan.
"Owh... nama ibupun, Jannah."
"Ya?"
"Jannah ertinya syurga. Nama yang baik pasti ramai orang suka."
Andai ini yang memulakan hubungan ini, aku rela biarpun jurang itu masih terasa. Biarlah. Akan aku pendam biarpun perit. Melihat dia berbicara dan tersenyum, kesakitan semalam bagai hilang dibalik waktu.
Sedang kami leka berbual, Iphoneku berbunyi tanda ada mesej masuk.
'Jannah boleh luangkan masa dengan Chempaka hari ini. Pergilah. Abang tahu Jannah takkan bawa dia 'pergi'.'
Aku pandang wajah abang Uzair yang duduk dihadapanku.
'Betul ni?'
'Pergilah. Tapi...'
'Jannah faham. Jangan bimbang.'
"Sayang, auntie Jannah nak bawa sayang jalan-jalan. Sayang mahu?" soal abang Uzair pada Chempaka. Mungkin 'sayang' adalah panggilan manja untuknya kerana sejak dari mula abang Uzair hanya memanggilnya begitu.
"Papa?"
"Sayang dengan auntie Jannah saja."
"Papa dengan ibu nak pergi dating ke?"
Soalan dari Chempaka membuatkan abang Uzair ketawa perlahan.
"Tidak. Papa ada kerja sedikit. Lagipun, petang nanti ibu minta papa bawa dia pergi beli barang. Bila dah selesai, papa jemput Chempaka. Okay?"
Lembut suara abang Uzair bila bercakap dengan Chempaka. Nampak sifat kebapaannya. Dan, dapat aku telah betapa dia amat menyayangi anaknya itu.
"Tapi, jangan susahkan auntie. Jangan minta auntie belikan apa-apa."
"Tak apa. Auntie tak kisah semua tu. Kemana pun Chempaka nak pergi, auntie bawa. Lagipun, auntie baru balik. Jadi, banyak tempat yang auntie tak tahu."
"Auntie baru balik dari mana?" soalnya.
"Nanti auntie cerita. So, are we okay now?"
"I'm ready."
Terus saja abang Uzair bangun dan menuju ke kaunter membuat bayaran.
"Bila nak balik nanti, Jannah call abang." Bisikku perlahan. Bimbang didengari Chempaka. Nanti dia dapat meneka. Aku dan papanya ada hubungan lain pula.