Suasana hiruk pikuk di KLIA malam ini masih lagi melatari ruang. Kiriman email dari Ethan yang ku terima membuatkan aku terpaksa pulang juga kesana. Berat untuk aku memutuskan tapi aku tahu, mungkin ini juga adalah jalan yang terbaik. Jujur aku tidak mahu melangkah lantaran masih ada yang belum usai. Cuma aku tidak boleh membiarkan masalah yang ada, berlarutan. Kasihan aku pada Ethan yang terpaksa memerah keringat menjaga cafeku saat ibunya juga sedang memerlukan perhatian. Dia seorang yang jarang berkongsi masalah hinggalah dia sendiri tidak mampu untuk memikulnya. Itu yang aku pasti tentang dia.
Melangkah bukan bermakna aku menyerah dalam perang perasaan ini. Cuma, masih ada tanggungjawab yang menantiku di sana. Mungkin juga inilah ruang yang diberikan untuk Chempaka berfikir tentang semua yang terjadi. Mungkin kerana aku masih di sini dia merasakan dia makin didesak untuk menerima. Dia juga manusia yang ada perasaan. Aku cuba memahami perasaan kecewanya. Aku muncul dengan tiba-tiba. Sudah tentu dia perlukan masa dan ruang untuk menerima.
Ya, aku tahu, aku sudah menanti selama berbelas tahun untuk satu panggilan, "MAMA". Tapi sehingga kini, lidahnya seakan payah untuk memanggilku dengan panggilan itu. Dan, aku cuba untuk mengerti juga. Seperti pesan umi, walau apapun panggilan itu tetap milikku. Malah, namaku akan disebut dan diseru tatkala dia mahu bertemu dengan yang Satu. Lihatlah, di mana Allah letakkan darjat seorang ibu.
Aku sedar. Kasih perlu dipupuk. Sayang perlu dibelai. Andai tidak disemai, maka tanduslah perasaan. Pincanglah kehidupan. Aku sedang berdepan dengan saat-saat kecamuknya satu perasaan. Benar aku ini mamanya. Tapi kasihku yang teralir hanya sementara cuma. Apakah aku layak untuk terus menagih sayang darinya? Mendapat perhatiannya? Oh Tuhan.
Berat kaki melangkah. Berat lagi hati untuk meninggalkan. Mama masih berusaha dan takkan pernah putus asa, sayang.' Bisikku perlahan. Anak mata kularikan melihat suasana malam agar air mata yang bergenang ditubir ini tidak menitis.
Abang long, kak Balqis dan abang Amar sedang berbual dengan abang Mahmood dan ayah Megat. Kak Yati masih duduk di sisi bonda. Mereka juga akan pulang ke London denganku.
"Mama...." Ujar Naim yang duduk disebelahku. Aku menjawabnya dengan senyuman. "Mama okay?" Aku anggukkan kepala.
"Maafkan Naim, mama."
"Tak mengapa. Mama faham. Beri dia ruang. Insya Allah, dia akan sedar. Mungkin pemergian mama kali ini memberikan dia ruang untuk berfikir. Mama yakin, dia akan datang pada mama."
Kepala Naim terlentuk dibahuku. Aku usap rambutnya yang tebal itu.
Sungguh, kehadiranku disini bukan untuk melukakan sesiapa. Aku disini sekadar ingin mengisi ruang yang sudah aku kosongkan. Rupanya, masih lagi berhalangan. Kecewa? Ya, aku memang kecewa. Apa yang aku impikan tak seindah yang aku harapkan. Pintu itu masih tertutup rapat. Putus asa? Tidak sehingga hujung nyawa.
Kasih dan sayang ini tetap utuh untukmu, anakku. Mama percaya, takdir Allah adalah hadiah yang paling indah walaupun kadangkala menerimanya adalah sesuatu yang menyakitkan. Mama yakin, satu hari nanti, pasti ada ruang untuk kita. Jika tidak disini, mama menantimu di'sana'.
Panggilan untuk penerbanganku sudah bergema. Kepala Naim yang masih melentok dibahuku segera tertegak. Kami sudah bersedia dengan passport dan boarding pass masing-masing.
Aku menapak perlahan. Berat untuk aku meninggalkan apatah lagi untuk memandang kebelakang. Jika aku bersandar pada perasaan, sudah lama aku rebah. Namun, aku tidak boleh kecundang sekali lagi. Cuma persoalan yang bermain dibenakku, apakah gerhana hidupku akan berlalu dan diganti dengan taburan warna pelangi? Apakah kepulan awan itu akan terus mengiringi tangisanku? Aku pilih bahagia.
"Jannah......." Jeritan dari belakangku membuatkan langkahku terhenti. Sebaik saja tubuhku berpaling, ada susuk tubuh lain yang menerkam dan memelukku erat. Terdorong aku beberapa tapak kebelakang. Nasib baik Naim sempat menahan agar kami tidak tergolek jatuh.
"Mama......." Bisiknya bersama tangisan.