36 - Part 1

22 2 0
                                    

"Banyak yang Jannah perlu ceritakan pada abang. Banyak yang abang tak faham." Nada suaranya keras dan tegas.

"Bukankah abang yang perlu menjawab setiap persoalan apa yang terjadi antara kita? Menjelaskan semuanya? Mengapa pula Jannah? Kalau abangpun tak faham apa yang terjadi, abang ingat Jannah faham ke?" Aku menjawab sebaiknya. Tenang.

"Jadi? Jannah fikir semua ni salah abang? Abang yang mahukan semua ni terjadi? Bukankah Jannah yang menuntut supaya kita bercerai? Bukankah Jannah yang rela tinggalkan Chempaka pada abang? Bukankah Jannah yang pergi bertahun-tahun lamanya? Jadi, semua ini abang yang harus menjawabnya?"

Apa yang terbuku akhirnya terluah juga oleh dia. Benarlah telahanku. Selama ini dia meletakkan semua kesalahan dibahuku. Aku tidak tahu sebanyak mana kebenaran yang dia tahu. Aku tidak tahu cerita apa yang ada dalam pengetahuannya. Merumuskan setiap persoalan daridia, membuatkan aku dapat menelah. Tak perlu lagi bersuluh.

Mungkin dia sudah lupa apa yang terjadi dan siapa yang menjadi puncanya. Mungkin dia sudah lupa bagaimana kisah ini bermula. Bertahun ku asuh diri agar dapat berfikir dengan waras. Bertahun aku ajar diri untuk menerima semua ini. Dengan kisah itulah aku menjadi kuat. Dengan kenangan itulah aku membina harapan. Dengan kesakitan itulah aku terus bernyawa kerana aku tahu bahagia itu akan tetap menjadi milikku jua. Satu hari nanti.

"Setiap yang berlaku perlu ada permulaannya, Jannah. Kenangan takkan tercipta andai kita tahu akhirannya. Itu bukan kenangan tapi kita sedang mengatur hidup. Jadi, soalan pertama abang. Kemana Jannah selama ni? Setiap pelusuk abang cari. Tapi tak jumpa." Suaranya kembali mengendur. Mungkin melihat aku terus membisu, dia tidak terus dengan kekerasan.

"Sungguh abang tak tahu apa yang terjadi? Bukankah lafaz cerai itu..."

"Mahkamah yang buat. Bukan abang."

"Tapi, surat dari abang tu?" Soalku pelik.

"Kalau abang dah terima surat dari mahkamah, abang tahu Jannah nekad."

"Tapi, kenapa sewaktu proses sulh, hanya kak Bada dan abang Indera yang datang? Kenapa bukan abang? Sedangkan waktu itu Jannah harap sangat dapat jumpa abang. Tapi..."

"Abang kecewa dengan Jannah. Apa salah abang sampai buat Jannah menuntut cerai? Apa benar-benar buntu."

"Apa? Kecewa? Bukan salah abang?" Mahu saja aku lemparkan gelas dihadapanku ke mukanya.

"Abang tinggalkan Jannah terkapai-kapai sendirian tanpa sebab. Abang yang hilangkan diri begitu saja. Dan, sekarang abang kata abang kecewa dengan Jannah? Bukan salah abang? Skrip mana yang abang sedang baca ni? Abang berlakon ke?" soalku marah.

Aku benar-benar rasa tercabar bila dia berkata begitu. Sekian lama aku terbeban dengan bebanan yang sangat berat dan sekarang dia menambahnya lagi. Dasar lelaki!

"Abang ada sebab mengapa abang tidak datang. Abang akan jelaskan pada Jannah. Tapi, beritahu abang dulu kemana Jannah menghilang? Apa yang membuatkan Jannah hilang tanpa dapat abang jejak? Mengapa sebegini kejam Jannah menghukum abang?"

Aku ketawa sinis. Hilang? Kejam? Apakah frasa itu layak untuk aku atau sepatutnya pada dia? Aku semakin bingung.

"Ada saja. Disini." Jawabku malas. Jemariku terus memegang gelas yang sudah tinggal separuh airnya.

"Disini? Dimana? Jangan terus berbohong, Jannah. Jangan terus bermain teka teki begini. Susah sangatkah untuk Jannah berterus terang?" Suaranya kembali tegas.

Aku tarik nafas panjang. Cuba untuk bersabar dan bertenang. Sebaiknya aku tidak mahu mencetuskan suasana tegang disini. Dihadapan semua orang. Jadi, aku harus letakkan diriku dalam keadaan yang waras biarpun perasaan aku ketika ini semakin sukar digambarkan.

"Memang susah pada Jannah untuk berterus terang. Cukuplah sekadar abang tahu yang Jannah sudah ada di sini. Sudah kembali."

"Mudahnya Jannah membuat kesimpulan. Itu pada Jannah. Tidak pada abang. Abang mahukan jawapan yang lengkap. Abang mahu tahu apa yang terjadi?"

Kalau tidak memikirkan kami berada dikhalayak ramai, aku pasti suaranya sudah pasti memetir. Aku picit dahiku yang tiba-tiba menyengat.

"Apa lagi yang abang tak puas hati? Apa yang abang mahukan dari Jannah?" Geram aku dengan sikapnya yang masih tidak berubah. Degil. Mahu setiap orang mengikut cakapnya tanpa membantah.

"Abang mahu tahu semuanya! Semuanya sekali, Jannah!"

Nafas kuhela berat. Kalau ini yang dia mahukan.

"Kalau abang mahu tahu, tanyalah pada keluarga abang. Mereka lebih faham. Terutama pada ibu, kak Bada dan abang Indera. Mungkin juga abang Zam. Mereka lebih tahu apa yang terjadi. Mungkin pada Amani sendiri? Kalau Jannah sendiri bingung dengan apa yang terjadi, bagaimana untuk Jannah bercerita pada abang? Bagaimana untuk Jannah jawab setiap soalan abang?" Ujarku perlahan tetapi tegas.

Teringat pesan ayah, kekerasan jangan dibalas dengan keras. Balaslah dengan kelembutan kerana air yang mengalir itu bisa mendamaikan.

"Tidak! Abang mahu tahu dari Jannah mulut sendiri. Kenapa Jannah pergi? Kemana Jannah menghilang? Kenapa Jannah tinggalkan abang? Kenapa Jannah mahu kita bercerai? Kenapa Jannah sanggup tinggalkan seorang anak sekecil itu dengan orang lain? Apakah tidak ada perasaan kasih dalam diri Jannah? Itu zuriat Jannah sendiri! Yang Jannah kandung selama sembilan bulan! Sanggup Jannah memperlakukan Chempaka seperti tu? Adakah kerana terlalu membenci abang, tega Chempaka, Jannah persiakan? Kalau tak mahu dia, kenapa Jannah lahirkan dia? Sekarang, Jannah kembali dan mahu menuntut hak Jannah? Apakah Jannah sudah hilang akal?!"

Macam peluru. Tujuhan soalan demi soalan dari mulut abang Uzair benar-benar mencalar perasaanku. Kasar. Kesat bahasa abang Uzair. Dia datang padaku dengan tuduhannya. Dia mampir dengan amarah yang dipendamkan selama ini. Dia tidak pernah berniat untuk meleraikan kekusutan. Kata-katanya sebelum ini hanya dusta! Dia berbohong. Kehadirannya penuh tersirat. Dan aku? Masih percaya pada dia? Oh! Bersabarlah duhai jiwa yang sedang menahan perit yang menjalar di segenap urat nadi. 

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now