Hati ini semakin lapang. Lega dengan penerimaan abang Uzair. Dia makin mengerti. Syukur kehadratMu, Ya Allah.
Benarlah pesan ayah. Jiwa ini tidak akan tenang andai kita tidak mampu mempertahankan silaturahim yang terjalin sedangkan seluruh umat Islam itu bersaudara. Kini, aku mengerti. Walaupun antara aku dan abang Uzair ditakdirkan tidak bersama lagi, bukanlah alasan untuk aku tidak boleh bertentang mata dengannya. Antara kami masih ada tanggungjawab yang tergalas, Chempaka Khairina. Amanah Allah yang bisa menentukan syurga atau sebaliknya.
Hari ini lengang sedikit. Mungkin kerana pertengahan bulan. Kami juga tidak menerima banyak tempahan seperti hujung bulan. Namun, dari bulan November hingga Disember, kami sudah menutup untuk tempahan baru kerana sudah penuh.
Alhamdulillah. Usahaku kini tidak sia-sia. Memperkenalkan masakan ibunda yang menjadi turun temurun adalah satu langkah yang berani. Baru bulan lepas aku dan Ezah mendapat chef baru yang pakar dalam masakan baba dan nyonya. Satu lagi menu hidangan eksotik yang akan diperkenalkan direstoran ini. Kepelbagaian menunya adalah tarikan utama untuk pengunjung singgah di sini.
Café kecil yang sudah lama aku tinggalkan di sana juga dalam keadaan baik. Syukur kerana selama ini anak saudara Ethan yang mengurusinya dengan dipantau oleh kak Yati. Saban minggu kak Yati akan datang melihat dan menasihati terutama dalam penyediaan menunya. Jika dia tidak berkesempatan, Yasmin akan menjenguk. Walaupun tidak lagi menyediakan roti canai sebagai sarapan pagi, kepelbagaian menu yang diperkenalkan membuatkan pengunjung tidak pernah putus. Alhamdulillah. Rezeki untukku melimpah ruah.
"Kak, ada yang mahu berjumpa?" sapaan Intan mengejutkan aku dari lamunan.
"Siapa Intan?"
"Entah. Tapi, kali ini perempuan."
"Kali ini? Nampak sangat selama ini hanya lelaki yang mahu bertemu dengan akak kan?" gurauku pada Intan. Ulas bibirku menghadiahkannya senyuman untuknya. Dia tertawa kecil.
"Ada-ada sajalah kak Jannah ni."
Aku melangkah menuju kepintu utama. Namun, langkah kakiku semakin perlahan bila pandangan mata ini menjamah susuk tubuh yang mematung di situ. Peluh dingin mula memercik. Apa mahunya? Antara aku dan dia, masihkah ada urusan yang belum selesai?
Ya, dan ada... Chempaka Khairina.