6

17 3 3
                                    

Bagai halilintar menyambar bumi. Begitulah yang aku rasakan kini. Aku makin bingung. Terjelepok aku dimuka pintu. Ya Allah! Apa sebenarnya yang terjadi? Jadi, abang dimana? Jangan buat Jannah begini, bang. Jannah perlukan abang. Tangisku didalam hati.

"Jadi, kemana abang, ibu? Apa yang dah terjadi pada abang, bu? Tolonglah berkata yang benar, bu. Jannah tahu ibu bohong. Jangan buat begini pada Jannah, ibu. Jangan. Tolonglah, Jannah perlukan abang. Bagaimana untuk Jannah teruskan hidup kalau abang tak ada." Tangisku sambil memeluk kedua kakinya memohon pengertian.

"Aku tak tahu! Aku tak tahu! Aku tak tahu!" Ujarnya sambil cuba melonggarkan pelukan aku dikakinya. "Lepaskan aku! Aku kata lepas, lepas!" Dia terus mencuba melepaskan diri sambil menunjal-nunjal dahi dan kepalaku.

"Kalau Jannah salah, Jannah minta maaf, bu. Ampunkan Jannah. Tapi, jangan buat Jannah begini, bu. Jannah mengandung, bu. Ini zuriat abang. Abang tak boleh pergi macam tu. Abang tak boleh tinggalkan Jannah begini. Kembalikan abang pada Jannah, bu." Aku merayu.

Tanpa sedar aku khabarkan pada mereka tentang keadaanku. Ya, mereka perlu tahu mengapa aku pulang semula kesini. Bukan mahuku tapi keadaan yang memaksa. Memikirkan keadaanku yang semakin tidak sihat. Tentang keadaan bayi kami, aku terpaksa tebalkan muka. Meletakkan segala kata nista yang pernah terlempar jauh-jauh. Melupakan seketika apa yang pernah terjadi.

Seandainya aku dapat bercakap dengan abang Uzair dan tahu keberadaannya, aku akan terus berdiam dirumah tanpa perlu melutut dan merayu begini. Aku juga ada maruah diri.

"Aku pedui apa! Kau mengandung ke, kau keguguran ke, itu hal kau. Sudah! Kalau kau pun aku dah benci, kau ingat keturunan kau akan aku terima? Pergi kau dari sini!"

Bukan hanya keperitan tapi hujahan kata nista itu umpama belati menikam jiwa. Bagai sumpahan buatku. Hanya Allah saja yang tahu betapa kala ini aku cukup terluka. Luka yang tidak akan sembuh walaupun mereka datang merayu dengan airmata darah sekalipun!

Besarkah dosa yang aku lakukan hingga tega mereka memperlakukan aku seperti ini? Terlalu besarkah kesalahan yang aku lakukan hingga mereka melemparkan cercaan begini? Puaskah hati mereka melihat aku dalam keadaan yang serba daif ini? Terbalaskah dendam yang tersemat saat airmata ini turun membasah ke pipi tanpa henti?

Andai ini yang mereka inginkan, ya aku akan pergi. Dan, selagi nafas ini masih menghuni jasad, aku akan terus mencari dia kerana aku perlukan jawapan. Aku tidak mahu terus ditinggalkan dengan persoalan tanpa jawapan.

Abang, Jannah percaya, seandainya abang melihat Jannah diperlakukan seperti ini, pasti abang akan mempertahankan Jannah seperti saat abang mempertahankan cinta kita dulu. Pasti hati Jannah tidak akan dilukai seperti ini. Tapi, abang dimana? Mengapa abang tinggal Jannah sepi tanpa khabar? Pulanglah, bang. Bersuaralah pada Jannah agar Jannah mengerti apa yang sedang abang alami. Jangan tinggalkan Jannah dalam kebingungan.

Perlahan-lahan aku bangun. Kusapu debu-debu yang melekat dibaju kurungku. Ku kesat airmata yang masih menitis. Aku membongkok dan mencapai beg yang dicampak oleh ibu sebentar tadi.

Tanpa pamitan, aku melangkah meninggalkan rumah yang membawa sejuta kisah duka. Diherdik dan dihalau begini. Maruahku dipijak tanpa belas. Yang tertinggal hanyalah kesan luka yang dalam. Sesungguhnya, dugaan ini amat berat buatku. Ya Allah, apakah masih ada sinar dihadapanku untuk aku terus melangkah? Hatiku telah dilukai hingga aku tidak tahu bagaimana untuk aku sembuhkannya. Andai maaf adalah penawar, aku lebih rela menjadi pendendam.

Aku menangis dan terus menangis. Bersama langkah yang kuaturkan, entah kemana arah tujuan. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan? Kemana derita ini harus kubawa pergi?

Terus akal teringat pada umi dan ayah. Ya, aku harus mencuba nasib. Andai mereka juga masih menolak kehadiranku, aku akan memohon ihsan untuk menumpang teduh hanya semalam. Hari semakin menjenguk remang petang. Untuk kembali semula ke Bangi, aku memerlukan beberapa jam lagi. Aku melihat jam ditangan. Bas terakhir ke Ipoh akan bertolak sekejap lagi. Aku perlukan tempat untuk berteduh. Dengan keadaanku begini, aku sudah tidak berdaya lagi untuk melalui perjalanan yang panjang semula. Hanya doa yang tertinggal untukku.

Namun, hampa. Sebaik saja tiba dihalaman rumah, suasana sepi. Melihat keadaan rumah, bagaikan sudah lama ditinggalkan. Kemana umi dan ayah pergi? Apa yang telah terjadi pada mereka? Hatiku makin kacau. Galau mencari jawapan.

Aku pandang pula kerumah sebelah. Rumah Wan Yong, kakak ayah. Juga tidak berpenghuni. Yalah, wan Yong dan ayah Chor hanya balik ketika cuti sekolah saja. Rumah dibina untuk dihuni selepas pencen nanti. Itulah jawapan mereka ketika ditanya dulu.

Perut mula berkeroncong. Hari sudah melangkah ke senja. Mahu tidak mahu aku harus kepekan semula dan mengambil bas terakhir untuk ke Ipoh. Dari Ipoh, aku akan pulang ke Bangi. Itu saja yang terlintas dalam kepala. Aku menapak kembali menuju ke pekan.

Sampai dipekan, keadaan sudah lengang. Mata melilau ke sana sini. Aku tidak sempat untuk solat lagi. Aku terpandang warung kak Anah yang masih buka. Laju aku melangkah ke situ. Mana tahu nasibku baik, aku boleh menumpang solat dan bertanya sesuatu dengannya.

Alhamdulillah, syukur, kak Anah sedang berkemas-kemas untuk pulang setelah habis berjualan. Segera aku memberi salam. Nyata riak wajahnya berubah. Mungkin tidak menyangka akan bertemu denganku lebih-lebih lagi dalam keadaan begini. Aku yakin dia tahu apa yang sudah terjadi. Jika tidak masakan dia terperanjat dan kelu untuk bertanya.

"Kak, sebelum apa-apa, boleh Jannah tumpang solat?" soalku pada kak Anah.

Dia hanya mengangguk. Segera aku berwuduk dan menunaikan solat Qasar dan Jamak untuk waktu Zuhur dan Asar. Dalam apa jua keadaanpun, ayah selalu mengingatkan kami adik beradik supaya jangan meninggalkan solat. Hanya dengan bersolat kekuatan diri itu akan muncul dengan sendirinya kerana ketika bersolat adalah masa kita berbicara dan mengadu pada Allah. Bersujud memohon keampunan kerana kita adalah insan lemah yang sentiasa memerlukan pertolongan.

Kumohon doa agar Allah memeliharaku dari sebarang musibah. Aku bimbang andainya nanti aku akan tersungkur akhirnya. Aku khuatir akan terjadi sesuatu yang tidak baik. Apakah aku bisa untuk terus membina tembok kekuatan agar sokong tidak membawa rebah?

Kerana Rindu IniWhere stories live. Discover now