'Naim tahu, mama tak ada FB, insta atau twitter. Jadi, Naim hantar email pada mama. Rindu sangat dengan mama. Bila mama nak balik ni?'
Soalan Naim beserta icon menangis sebanyak yang boleh seolah-olah dia sudah separuh mati merindui aku. Ada-ada saja keletah mereka yang mencuit hatiku. Mama juga sangat rindu denganmu, sayang. Insya Allah, sedikit masa lagi mama akan pulang. Bersabarlah anakku. Doaku dalam hati.
Tetikus dijari terus aku larikan ke email seterusnya. Dari Ethan? Aku pelik. Dua hari lepas? Aku tertanya-tanya. Laju tetikus aku klik untuk membuka email yang dikirimkan.
'Assalamualaikum... Jannah....
Maafkan aku. Tapi, inilah yang terbaik. Sebagaimana kamu, aku juga berasa sakit memikirkan permasalahan ini. Jujur, aku rasa tersinggung bila kamu terus melarikan diri dan mengelak dari berjumpa denganku. Inikah Jannah yang aku kenal selama ini?
Mengapa kamu mengambil jalan ini? Kamu bisa berikan apa saja jawapanmu padaku tapi bukan dengan cara begini. Melarikan diri tidak akan membantu kamu.
Jadi, aku tidak mahu terus membebanimu. Aku tidak mahu kamu terus berasa dalam keadaan serba salah. Aku amat menyayangimu, Jannah. Membuatkan kamu terseksa, seakan aku sedang menyiat tubuhku sendiri.
Sungguh, aku tidak mahu kamu terus berperang dengan perasaanmu sendiri... Lalu, inilah yang terbaik. Mungkin juga petunjuk dari yang Esa. Aku terpaksa pergi. Ada yang sedang mendesak aku supaya kembali ke sana. Dan juga, aku tidak mahu dirimu terus berada dalam kerunsingan. Aku tidak mahu kamu terus ditemani airmata. Aku tidak sanggup melihat kamu terus menderita.
Jannah,
Izinkan aku terus mendoakan kebahagiaanmu. Izinkan aku terus menyayangi dirimu biarpun engkau bukan lagi untukku. Aku tahu, aku bukan sesiapa dalam kehidupanmu. Tapi, ketahuilah, dirimu adalah segalanya buatku. Jannah, demi Allah, aku mencintaimu kerana Dia yang memilih.
Assalamualaikum - Ethan
"Ethan?? Apa maksudmu untuk pergi dari sini? Apa sebenar yang terjadi, Ethan?" Bisikku sendiri. Aku bingung memikirkan kata-kata Ethan dalam emailnya.
Ya Allah, apa yang sedang kamu lakukan, Ethan. Apa yang kamu sedang fikirkan? Soalku bertalu-talu.
Aku berlarian mencari Intan. Mungkin dia tahu ke mana Ezah dan Ethan pergi. Mereka perlu aku cari. Segera!
"Dua hari lepas, Intan terdengar Ethan ada beritahu pada kak Ezah yang dia nak balik London. Ada hal penting katanya." Jawab Intan. Hampir tumbang aku dibuatnya. Nasib baik aku cepat bersandar pada dinding. Kalau tidak, pati terjelepok dihadapan Intan. Terasa nadiku seakan terhenti serta merta.
"Betul ke?"
Dia mengangguk. "Semalam kak Ezah tinggalkan pesan yang dia akan lambat sikit pagi ni sebab nak hantar Ethan ke airport. Tak silap Intan, penerbangan Ethan petang nanti. Tapi, dia nak pergi awal sikit. Sebab apa, tak tahulah pulak." Beritahu Intan.
Tanpa menanti kata-kata Intan seterusnya, aku terus mencapai tas tangan dan berlari keluar meninggalkan dia yang pasti tertanya-tanya. Bukan masanya untuk aku menjelaskan pada dia. Aku perlu segera bergegas ke airport. Bimbang aku tidak dapat bertemu dengan Ethan nanti.
Aku berlari bagaikan orang gila menuju ke tempat parkir. Tidak peduli pada mereka yang memandang. Air mata yang sudah berhamburan, aku biarkan terus menitis.
Aku terus memecut menuju ke airport. Dalam hati terus memanjatkan doa agar aku diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ethan. Sungguh aku tidak sanggup untuk berpisah dengannya lebih-lebih dalam keadaan begini.